ARTIKEL ini bahagian dua dari siri satu yang lepas. Dalam bahagian pertama, saya telah ceritakan keadaan bola sepak Malaysia pada hari ini.

Walaupun saya akui terdapat peningkatan dari segi kejayaan serantau dan minat terhadap bola sepak tempatan, namun sudah tiba masanya untuk kita tidak mengehadkan matlamat kita kepada Piala AFF Suzuki dan Sukan Sea semata-mata.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna perlu pembaikan segera dengan menyalurkan wang yang banyak untuk mengupah jurulatih-jurulatih berprestij atau seperti perancangan terkini iaitu menghantar Harimau Muda A ke pertandingan liga daerah di Australia yang mana telah disokong oleh Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan.

Apa yang saya bersetuju dengan kementerian adalah usaha untuk merangka satu Pelan Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan yang lebih berjangka panjang dan menyeluruh.

Program ini diterajui oleh Lim Teong Kim, seorang bekas pemain negara yang pernah bermain dengan Hertha BSC dan menjadi jurulatih pasukan muda untuk gergasi Jerman, Bayern Munich.

Seperti dinyatakan dalam bahagian sebelum ini, Jepun datang ke Malaysia pada tahun 1990an untuk belajar membangunkan bola sepak dan mewujudkan pelan 100 tahun! Sekarang negara tersebut layak untuk Piala Dunia secara konsisten.

Pasukan kebangsaan mereka merupakan juara Asia manakala pasukan wanitanya adalah juara dunia. Ramai pemain terbaik mereka pula menerima tawaran bermain di dalam pasukan terbaik di liga-liga Eropah.

Adalah mendukacitakan apabila respons FAM terhadap inisiatif ini hanya dipandang enteng – kerana pada mulanya kementerian mempertimbangkan untuk memasukkan Annuar Musa, yang telah digantung jawatannya sebagai Timbalan Presiden FAM.

Walau bagaimanapun beliau yang telah memainkan peranan penting dalam mengubah bola sepak Malaysia, terutama membuat Kelantan – satu pasukan yang tidak pernah memenangi sebarang piala sebelum ini – bukan sahaja berjaya di atas padang, malah berjaya dari segi komersial. Pembangunan bola sepak seharusnya berada di bawah pemantauan FAM dan Kementerian Belia dan Sukan.

Tetapi di Malaysia hari ini, kebanyakan aspek ini jatuh di bawah Kementerian Pendidikan dan ini menyebabkan banyak perbalahan berlaku.

Kita mestilah mengambil iktibar bagaimana Sepanyol dan Jerman berjaya dalam sukan ini melalui penekanan khusus ke atas pembangunan belia yang mengembangkan liga domestik dan pasukan kebangsaan mereka.

Langkah seterusnya adalah untuk mengubah liga domestik yang mampu bersandarkan program pembangunan belia yang mantap.

Hari ini, minat terhadap bola sepak Malaysia semakin berkembang ke tahap di mana peminat ternanti-nanti untuk ke stadium, apatah lagi dengan suasana mengasyikkan hasil kumpulan-kumpulan ultras setiap pasukan.

Seorang penulis menggunakan nama pena Lucius Maximus, mengarang sebuah buku berjudul Cerita Malaysia Tidak ke Piala Dunia terbitan 2012.

Salah satu cadangan utama beliau menarik perhatian saya adalah untuk merombak pasukan-pasukan negeri dan ganti dengan liga domestik yang keseluruhannya berasaskan pasukan berstatus kelab.

Tindakan ini mungkin dilihat radikal atau lebih buruk lagi, tidak masuk akal. Walau bagaimanapun, seperti kita pelajari dari Jepun, kita memerlukan satu liga yang mempunyai jumlah pasukan profesional yang secukupnya untuk memberi anjakan kepada kita untuk maju.

Lucius mencadangkan agar pasukan-pasukan negeri sedia ada ditukarkan menjadi pasukan tempatan untuk ibu-ibu negeri – oleh itu untuk Selangor akan menjadi sebuah kelab Shah Alam manakala untuk negeri Kelantan adalah kelab Kota Bharu.

Akhir sekali, kita perlu mengubah barisan kepimpinan FAM dan persatuan-persatuan bola sepak negeri.

Demi kebaikan bola sepak negara, adalah perlu untuk menjauhkan kerabat diraja daripada terlibat dalam struktur formal persatuan bola sepak.

Jikalau perlu, mereka boleh menjadi penaung kehormat sementara ahli profesional atau bekas-bekas pemain dibenarkan untuk mengendalikan persatuan-persatuan bola sepak.

Oleh yang demikian, kita boleh mengadakan perbincangan jujur tentang mereka yang mengendalikan FAM dan persatuan-persatuan bola sepak tanpa ‘melanggar pantang’.