TAHUN ini sekali lagi tahun Piala Dunia. Edisi 2014 akan berlangsung di negara yang memenangi paling banyak Piala Dunia dalam sejarah, Brazil. Ini kali kedua Piala Dunia berlangsung di negara Amerika Latin tersebut. Justeru bagi peminat bola sepak seluruh dunia, tahun ini satu lagi tahun yang mengasyikkan, meskipun bagi kita di Malaysia, ini akan bermakna berjaga malam dan bangun awal pagi kerana perbezaan masa. Di Dun saya ada sebuah restoran yang cukup terkenal di kalangan kaki bola (terutamanya penyokong Liverpool seperti saya) iaitu D’Stall Corner Kelana Jaya.

Namun, meskipun bola sepak adalah sukan paling terkenal di negara kita, mutu bola sepak kini amatlah mendukacitakan.

Untuk berlaku adil, ada petanda positif, yang telah menyebabkan meningkatnya minat penyokong selepas skandal rasuah dan keluarnya Singapura daripada liga pada pertengahan tahun 1990-an. Pada 2009, pasukan bawah 23 tahun kita, Harimau Muda, meraih pingat emas Sukan Sea selepas Thailand mendominasi begitu lama dan berjaya mempertahankan kemenangan ini dua tahun kemudian. Pada 2010, pasukan senior, Harimau Malaya, memenangi Piala AFF Suzuki. Malangnya, kita telah kehilangan kedua-dua gelaran.

Lebih menyedihkan lagi, kita hanya boleh bermimpi untuk menjadi juara Asia Tenggara, bukannya bersaing di peringkat tertinggi di dunia atau sekurang-kurangnya Asia. Ini bukannya perkara baharu, kita pernah layak ke peringkat Olimpik dua kali dan menjadi kuasa bola sepak Asia pada zaman kegemilangan dekad 1970an dan 1980-an. Pada 1999, FAM umum reformasi besar-besaran dengan sasaran Malaysia layak ke Piala Dunia menjelang 2014!

Pun begitu, kini 2014 sudah pun tiba dan selain kejayaan-kejayaan kecil tersebut, ternyata Malaysia jauh sekali untuk layak ke Piala Dunia. Dalam ranking Fifa yang terbaharu, kita berada di tangga ke-154 di dunia. Di Asia Tenggara kita berada di bawah Filipina (127), Myanmar (130), Vietnam (144), Thailand (146), Singapura (150) dan Laos (152)! Tidak seperti negara kita, bola sepak bukannya sukan utama di Filipina. Prestasi kita di kejohanan-kejohanan serantau menggambarkan kita sekurang-kurangnya berada dalam kalangan empat negara terbaik di rantau ini, bukannya ke tujuh, tetapi ini adalah kerana kekurangan perlawanan A yang diiktiraf oleh Fifa.

Meskipun Piala Malaysia merupakan kejohanan piala kebangsaan yang tertua di Asia, Liga Super Malaysia kini bergred D dan berada di tangga ke-18 di benua ini. Justeru, pasukan-pasukan tempatan kita tidak layak ke kejohanan elit Liga Juara-Juara Asia. Liga-liga tempatan Thailand, Singapura dan Vietnam semuanya tersenarai di atas Liga Super Malaysia. Singapura, sebagaimana ramai di antara kita maklum, hanya memulakan Liga S mereka pada 1996 selepas mereka keluar daripada liga tempatan kita. Namun kini hanya Harimau Muda B (pasukan kita yang bermain di Liga S) boleh layak menerusi play off ke Liga Juara-Juara Asia, sementara pasukan yang bermain di Liga Super Malaysia tidak boleh berbuat demikian.  Pasukan-pasukan tempatan kita hanya boleh layak ke kejohanan Piala AFC - untuk negara-negara bola sepak yang masih ‘membangun’.

Ranking-ranking ini penting. Bagi sebarang pemerhati luar, inilah gambaran pertama bagi mereka menilai bola sepak negara. Bagi satu contoh yang lebih jelas, kita tidak boleh mengambil kesempatan terhadap dua kelab Britain yang dimiliki rakyat Malaysia – Cardiff City FC dan Queens Park Rangers – kerana sukar bagi sebarang pemain dari negara yang berada di bawah ranking 70 teratas Fifa untuk mendapat permit pekerjaan. Itulah hakikatnya ketika timbul cakap-cakap bahawa bintang-bintang negara seperti Safee Sali dan Safiq Rahim akan ke kelab-kelab tersebut.

Maka, ke mana kita sekarang? Selepas kontrak K Rajagopal tamat tahun lepas, timbul cadangan untuk melantik jurulatih tersohor Perancis Philippe Troussier – yang mempunyai pengalaman luas melatih Jepun, Afrika Selatan dan Nigeria – untuk melatih Harimau Malaya. Troussier walau bagaimanapun dikatakan meminta gaji sehingga RM400,000 sebulan. Hakikatnya, dengan keadaan bola sepak kita pada hari ini, penyelesaian segera, tidak kira betapa mahal, tidak akan berhasil.

Dalam bahagian seterusnya, saya akan melihat bagaimana kita boleh mengangkat martabat bola sepak negara. Antara contoh utama saya ialah sebuah negara yang mana bola sepak masih bersaing dengan besbol dan paling penting sekali hanya menjadi kuasa bola sepak pada tahun 1990an, Jepun. Sebelum itu mereka ketinggalan berbanding kita, malah mereka melawat Malaysia untuk mempelajari bagaimana untuk membangunkan sukan ini! Mereka memperkenalkan pelan 100 tahun untuk bola sepak mereka. Namun begitu, biarpun baharu dua dekad berlalu, mutu bola sepak mereka telah meningkat dengan drastik dan mereka telah meletak sasaran memenangi Piala Dunia pada 2050, baharu melebihi separuh tempoh pelan 100 tahun mereka.

Harus kita ingat, Malaysia boleh!