TEPAT sedekad yang lalu, pada 8 Mac 2008, saya telah menjadi calon paling muda untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya yang bersejarah itu.

Sebelum 8 Mac 2008, Umno-Barisan Nasional memegang sebanyak 90 peratus jumlah keseluruhan kerusi dalam Dewan Rakyat.

Sebelum 8 Mac 2008, satu-satunya negeri yang tidak dikuasai oleh BN ialah negeri Kelantan.

Sebelum 8 Mac 2008, Keadilan hanya mempunyai satu kerusi - Permatang Pauh.

Sebelum 8 Mac 2008, hanya dua daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri di negeri Selangor dipegang oleh pembangkang - kedua-duanya oleh DAP.

Pada 8 Mac 2008, saya hanya berusia 26 tahun- dan hanya 2 tahun sejak saya mula bertugas untuk Anwar Ibrahim.

Parti meyakinkan saya untuk bertanding sebagai calon Keadilan bagi kawasan Seri Setia.

Saya teragak-agak untuk membuat demikian tetapi pada waktu itu, parti sibuk mencari calon yang layak. Bersama-sama beberapa rakan, saya telah memulakan projek tuisyen sukarela di Desa Mentari, projek pangsapuri kos rendah yang terbesar di Seri Setia.

Pesaing saya, penyandang Adun, merupakan seorang pimpinan Wanita Umno yang kanan dan ahli Exco negeri yang telah memenangi kerusi pada tahun 2004 dengan majoriti hampir 13,000 undi.

Pada 8 Mac 2008, rakyat telah pun jemu dengan kepimpinan yang lemah, kadar jenayah yang meningkat dan politik perkauman.

Pada 8 Mac 2008, rakyat berasa marah dan telah pun bersedia untuk suatu perubahan.

Pada 8 Mac 2008, sebagaimana yang kita tahu, kita telah pun melakar sejarah.

Pada 8 Mac 2008, saya telah memenangi kawasan Seri Setia dengan majoriti 2,863 undi.

Keadilan, DAP dan Pas - akhirnya membentuk sebuah kerajaan negeri Pakatan Rakyat di negeri Selangor.

Pas terus menguasai Kelantan, manakala Pakatan Rakyat membentuk kerajaan-kerajaan negeri di negeri Perak, Kedah dan Penang.

Pada 8 Mac 2008, Umno-Barisan Nasional hilang majoriti dua pertiga yang selama ini mereka rasakan hak milik mereka.

Kita beranjak ke tahun 2013 dan rakyat Malaysia pergi mengundi sekali lagi -bersemangat dan berfikiran optimistik.

Pakatan Rakyat-diketuai oleh Anwar-memenangi 51 peratus undi popular, tetapi Umno-Barisan Nasional mengekalkan kuasanya dengan pengagihan kerusi Parlimen yang tidak sama rata di seluruh negara yang memihak kepada mereka.

Tiada apa-apa perkara yang mudah berlaku sejak itu. Anwar telah pun dipenjarakan secara tidak adil sekali lagi. Kita kehilangan tokoh seperti Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Karpal Singh.

Pelbagai keputusan yang perlu, meskipun sukar telah pun diambil -sebagai contoh, penggantian Menteri Besar Selangor.

Sesuatu yang tidak perlu ialah keputusan Pas untuk keluar daripada Pakatan Rakyat.

Syukurlah -ahli-ahlinya yang masih percaya dalam membawa perubahan positif kepada Malaysia telah pun menubuhkan Amanah.

Daripada Pakatan Rakyat, wujudlah Pakatan Harapan melalui Keadilan, DAP dan Amanah.

Pada masa yang sama, perpecahan dalam Umno mengakibatkan pemimpin-pemimpinnya—Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir, Shafie Apdal—dan bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad keluar daripada parti. Shafie telah pun menubuhkan Warisan di Sabah manakala pemimpin-pemimpin yang lain bersama-sama menubuhkan Bersatu.

Bersatu kini merupakan ahli Pakatan Harapan. Warisan pula bekerjasama dengan Pakatan Harapan di Sabah.

Susulan itu, Pakatan Harapan telah menamakan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri. Anwar - apabila dibebaskan dan kembali ke Parlimen - akan menjadi Perdana Menteri.

‘Dramatik’ tidak cukup untuk menggambarkan perubahan politik di Malaysia - terutamanya pada spektrum pembangkang.

Tidak dinafikan bahawa ramai orang telah pun mengkritik keputusan Pakatan Harapan untuk menerima Dr Mahathir dan Bersatu.

Perubahan tersebut dihentam oleh pelbagai pihak berbeza dan dianggap sebagai pengkhianatan terhadap semangat gerakan yang diwujudkan hampir dua dekad yang lalu, iaitu gerakan Reformasi - seolah-olah semua ini hanya sebuah perebutan kuasa yang tanpa nilai, atau kegagalan parti-parti pembangkang untuk menjana semula kekuatan mereka.

Saya bukannya tidak menyedari kritikan-kritikan tersebut. Dan saya tahu ramai dalam kalangan mereka mempunyai kepentingan tanah air kita di hati mereka.

Namun begitu, saya juga percaya bahawa langkah-langkah yang diambil oleh kepimpinan Pakatan Harapan adalah yang terbaik untuk parti-parti kita, gabungan kita dan terutamanya untuk rakyat Malaysia.

Amat penting bagi kesemua kelompok yang ingin melihat perubahan politik positif di Malaysia dan yang ingin membetulkan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan semasa untuk berganding bahu.

Negara kita sebuah negara majmuk dan pelbagai, dan sejujurnya, juga sebuah negara yang berpecah-belah, terutama sekali dalam hal kepercayaan politik dan sikap kita terhadap kaum, bahasa dan pegangan agama.

Mana-mana gerakan politik yang berpotensi haruslah menjadi sebuah pakatan yang membolehkan pandangan dan kepercayaan yang berbeza disuarakan. Konsep bertolak ansur ialah sesuatu yang perlu -termasuk tolak ansur apabila didatangi topik sensitif seperti politik identiti.

Saya benar-benar percaya bahawa tidak lama lagi akan tiba masanya bagi munculnya politik yang sebetul-betulnya progresif di negara kita Malaysia.

Dan saya percaya bahawa generasi kita - dan generasi yang kian membangkit selepas generasi kita - tidak lama lagi akan bersedia untuk bertanggungjawab memimpin parti-parti kita, rakyat kita dan negara kita.

Walau bagaimanapun, tiada yang disebut boleh berlaku - malah tidak akan berlaku - dengan pihak di sebelah sana yang ada pada hari ini.

Dan situasi ini tidak boleh berubah - malah tidak akan berubah - tanpa perubahan kerajaan pada peringkat persekutuan..

Ketidaksepakatan dan konflik membawa padah dalam politik.

Pilihan raya yang akan datang ini pastinya sangat mencabar, tidak kurang kerana persaingan tiga penjuru akan berlaku.

Tetapi saya menyimpan harapan.

Pada 2018, rakyat masih lagi jemu dengan kepimpinan yang lemah, kadar jenayah yang meningkat dan politik perkauman. Rakyat negara kita ingin maju ke hadapan dan meninggalkan isu-isu seperti dakwaan rasuah dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pada 2018, rakyat masih berasa marah dan sudah pun bersedia untuk suatu perubahan. Rakyat sudah bersedia untuk sistem pendidikan yang lebih baik, untuk pekerjaan, perumahan dan penjagaan kesihatan yang lebih mudah diakses dan untuk sebuah kerajaan yang responsif terhadap masalah orang kebanyakan dan bukannya terhadap kepentingan diri sendiri.

Pada 2018, kita boleh melakar sejarah sekali lagi.

2018 ialah tahun bagi rakyat Malaysia yang percaya dalam pentadbiran yang baik, kepelbagaian kaum dan kebebasan untuk bersatu padu.

2018 ialah tahun kita memastikan Dr Mahathir mengotakan janji beliau untuk melaksanakan reformasi politik.

2018 ialah tahun di mana saya berharap para anggota masyarakat awam -termasuk yang terlibat dalam gerakan “undi rosak” - menyertai kami berjuang untuk masa depan Malaysia. Saya berharap bahawa anggota masyarakat awam akan memberikan input melalui idea dan maklum balas -mahupun dengan semangat dan sokongan mereka.

2018 haruslah menjadi tahun yang mengotakan janji, harapan dan keyakinan tahun 2008 dan 2013.

2018 haruslah menjadi tahun rakyat Malaysia mengundi untuk perubahan, untuk sebuah permulaan baru dan untuk sebuah masa depan yang lebih baik bagi anak-anak kita -untuk membuat langkah terakhir bagi merealisasikan perubahan Kerajaan Persekutuan yang kita tidak pernah kecapi sejak Merdeka.

 

* Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Ketua Pemuda Harapan dan ketua Angkatan Muda Keadilan, Exco Kerajaan Selangor dan Adun Seri Setia