Kontroversi kenyataan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu tentang insiden Bukit Kepong dan ucapan Hari Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendominasi Syawal tahun ini. Berkenaan kenyataan Mat Sabu, mesej utama yang harus difahami semua ialah kita sewajarnya mengiktiraf semua pejuang kemerdekaan negara. Tidak kisahlah mereka itu kanan atau kiri, Umno mahupun Putera, AMCJA mahupun MCA.

Hakikatnya, golongan kirilah yang pertama sekali memikirkan bahawa Tanah Melayu sewajarnya Merdeka menerusi Perlembagaan Rakyat yang diusulkan oleh pakatan Putera-AMCJA. Hakikatnya, Putera-AMCJA telah ditakuti oleh pihak British. Apa yang tidak disedari ialah golongan kiri sendiri memilih pelbagai jalan untuk menghadapi tekanan British. Contohnya tiga pemimpin Awas (yang sebahagian daripada Putera): Aishah Ghani, Khatijah Sidek dan Shamsiah Fakeh selepas 1948. Aishah menyertai Umno – menjadi Menteri Kabinet dan Ketua Wanita Umno. Khatijah juga menyertai Umno dan menjadi Ketua Kaum Ibu Umno (nama lama Wanita Umno).

Beliau dikenali kerana ketegasannya dan keprihatinannya terhadap isu-isu wanita dan akhirnya dipecat daripada parti. Beliau menyertai Pas, memimpin Kaum Ibu Pas (nama lama Muslimat Pas) dan menjadi Ahli Parlimen Dungun. Shamsiah Fakeh pula memilih Rejimen Melayu Parti Komunis Malaya. Selepas mereka terpaksa berundur ke sempadan Thai, beliau ke China untuk bekerja dengan jentera propaganda di sana. Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa beliau kemudian berbeza pendapat dengan Chin Peng. Memandangkan tidak boleh pulang, beliau dan keluarganya menjadi pekerja biasa di China sebelum dibenarkan pulang ke tanah air pada 1994.

Siapakah kita untuk hukum Ibu-Ibu Kemerdekaan yang memilih jalan berbeza selepas Awas? Mereka tiada ilmu untuk membaca masa hadapan, justeru bagaimanakah mereka tahu pada ketika itu parti mana akan memimpin Tanah Melayu selepas Merdeka dan parti mana akan kekal dengan idealisme mereka? Kita seharusnya memahami keputusan itu dari konteks zaman mereka, bukan zaman kita. Pada masa sama, kita juga tidak boleh memperlekeh golongan kanan. Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, seorang anak raja meninggal dunia tanpa harta yang banyak. Harta-bendanya dikorbankan demi perjuangan dan tidak kayakan dirinya seperti sesetengah pemimpin hari ini. Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Razak Hussein ialah Menteri Dalam Negeri pada 13 Mei 1969, tetapi ketokohannya menangani insiden tersebut membolehkan beliau dihormati semua kaum.

Ketika DEB diperkenalkan, beliau berada di barisan hadapan perancangan dan pelaksanaan, namun menegaskan bahawa dasar tersebut bersifat sementara demi kebaikan orang Melayu sendiri. Sudah semestinya, tafsiran sejarah yang lebih luas dan adil diperlukan memandangkan generasi muda kita mungkin dipengaruhi versi berat sebelah yang diajar di sekolah-sekolah, universiti-universiti, kem-kem BTN dan media arus perdana. Tafsiran semula sejarah merupakan proses semula jadi yang sewajarnya dialu-alukan. Tapi kita biarkanlah tugas itu kepada sejarawan. Politikus sewajarnya menekankan cabaran hari ini dan masa hadapan. Malaysia hadapi pelbagai cabaran berat pada masa tidak menentu. Bukankah lebih afdal kita selesaikan masalah ini daripada diheret perbahasan tak sudah?

Pengumuman Hari Malaysia Najib ialah contoh yang baik. Alhamdulillah, selepas lebih 50 tahun merdeka, PM akhirnya akui kebenaran perjuangan rakyat selama ini untuk menghapuskan tahanan tanpa bicara dan bebaskan undang-undang media. Kami mahu bersangka baik dengan cadangan PM. Malangnya rakyat biasa kecewa berkali-kali dengan perubahan separuh masak atau tak kesampaian langsung. Rakyat tidak lupa bagaimana Mahathir dan Abdullah pernah bermula dengan imej perubahan pada awal pemerintahan mereka.

Bukan mudah untuk PM meyakinkan kelompok ekstrem Umno tentang keperluan perubahan ini. Umno-BN telah selesa dengan undang-undang zalim sebegini, dengan berhujah bahawa ia penting demi keselamatan negara. Malah ada menyatakan ia penting bagi kelangsungan Ketuanan Melayu. Justeru, banyak inisiatif perubahan ataupun reformasi gagal memandangkan inisiatif ini bertentangan dengan pihak berkepentingan.

Malaysia tidak dapat mendepani zaman dengan kepalsuan sebegini. Negara kita memerlukan kepimpinan yang bersandarkan hati berani dan minda yang jelas. Dasar-dasar tidak boleh dilakarkan berdasarkan turun naik kadar sokongan rakyat.