MALAYSIA kini berubah untuk menjadi lebih baik. Sememangnya akan terdapat pelbagai analisis mengenai PRU14 yang bersejarah. Saya mahu fokus pada masa depan.

PRU14 adalah mengenai anak muda. Satu perkara yang ingin saya katakan adalah sangat jelas bahawa anak muda Malaysia - termasuk seluruh rakyat - mengundi untuk perubahan.

Mereka juga mengambil bahagian secara aktif untuk membawa perubahan. Ramai anak muda Malaysia yang bekerja untuk kempen ataupun menjadi sukarelawan.

Selain itu, Pakatan Harapan: Keadilan, DAP, Amanah dan Bersatu menampilkan ramai calon muda pada kali ini: 104 orang, termasuk 23 untuk Parlimen dan 81 untuk Dewan Undangan Negeri (Dun) yang berbeza.

Saya bersyukur untuk mengatakan bahawa 13 calon dilantik sebagai Ahli Parlimen dan 45 calon sebagai Adun.

Saya yakin bahawa rakan sekerja saya yang baru dilantik sebagai wakil rakyat akan menjadi suara yang berkesan untuk Malaysia yang baharu dan muda.

PRU14 merupakan sesuatu yang semua rakyat Malaysia, terutama sekali golongan muda, boleh dibanggakan. Kita mengambil tanggungjawab untuk mencorak masa depan negara kita sendiri. 

Mesej kepada rakyat Malaysia di luar negara

Kepada rakyat Malaysia yang kini berada di luar negara, saya minta maaf kerana ramai daripada kalangan anda tidak berpeluang untuk mengundi.

Saya berjanji kepada anda bahawa perkara ini tidak akan berlaku lagi. Walau bagaimanapun, kami dapat rasakan sokongan anda untuk kami dari jauh. Kami tidak akan mengecewakan anda.

Mesej saya adalah ringkas: pulanglah. Saya berharap bahawa anda akan pulang ke tanah air untuk menyumbang kepada gerakan reformasi negara kita. Negara anda memerlukan anda. Negara anda mahukan anda. Pulanglah.

Kotakan janji kepada golongan muda

Perkara yang paling penting ialah kerajaan baharu yang ditadbir oleh Tun Dr Mahathir Mohamad mengotakan janjinya kepada golongan muda. Pentadbiran ini mempunyai permulaan yang baik, dengan penurunan GST kepada kadar sifar.

Namun begitu, kami mesti mengotakan janji-janji lain yang dibuat dalam manifesto kami, terutamanya janji untuk belia.

Kami tidak boleh melupakan bahawa kami telah menjanjikan untuk menangguhkan bayaran balik PTPTN bagi graduan yang gajinya kurang dari RM4,000 sebulan, untuk membina satu juta rumah mampu milik dalam tempoh dua penggal dan untuk mewujudkan skim insentif perkahwinan.

Kami telah menjanjikan untuk memansuhkan dan menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Perkara yang sama harus dilakukan bagi semua undang-undang atau amalan yang menyekat kebebasan awam dan kebebasan politik. Kami sememangnya tidak boleh gagal dalam komitmen kami untuk memperkasa golongan belia.

Ini termasuk mewujudkan 1 juta pekerjaan dengan gaji minimum sebanyak RM1,500 dalam tempoh 5 tahun (200,000 daripadanya akan diwujudkan di Sabah dan Sarawak), dana tahunan sebanyak RM1 bilion bagi golongan belia iaitu Dana Pemerkasaan Usahawan Muda, dan juga untuk mengurangkan kos jalur lebar termasuk memastikan wujudnya akses internet berkelajuan tinggi di semua bandar dan kampung di seluruh negara.

Saya berharap bahawa kerajaan baharu ini akan mengutamakan perkara-perkara tersebut. Masalah muflis golongan muda, pengangguran, ketiadaan kemahiran, dan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak termasuk diskriminasi terhadap minoriti haruslah dibendung.

Pemuda Harapan sememangnya tidak akan berputus asa sehingga kerajaan melaksanakan janji-janji yang telah mereka tawarkan yang membolehkan peralihan kuasa ini. Kita mungkin berdepan sedikit sebanyak masalah. Tetapi rakyat telah memberikan kepercayaan mereka dan kami harus bekerja keras

Malaysia perlu bersaing

Kita juga harus merancang untuk sebuah dunia yang kian berubah. Keadaan geopolitik global masih tidak menentu, walaupun Malaysia telah menumbangkan pentadbiran kleptokrat.

Revolusi Perindustrian Keempat - yang didorong oleh automasi dan Big Data - tidak dapat disangkal akan menimbulkan gangguan besar dan dislokasi kepada ekonomi negara dan serantau.

Ini tidak mengatakan apa-apa bagi sebuah dunia di mana adat sosialnya digegarkan dengan kemunculan semula identiti politik dan gerakan #MeToo.

Malaysia, secara ringkasnya, perlu bersaing supaya tidak tercicir. Cabaran dalaman kita tidak terbanding dengan cabaran sukar yang negara kita bakal hadapi dalam beberapa dekad yang akan datang.

Kini tiba masanya untuk kita menjadi lebih matang. Tiada sesiapa yang akan mengambil berat mengenai masalah Malaysia dalam persaingan sengit untuk sumber, pelaburan dan pengaruh di peringkat dunia

Pembaharuan institusi diperlukan

Tugas yang dipertanggungjawabkan lebih rumit kerana kita sudah begitu lama di bawah rejim sebelum ini. Namun, tugas itu tidak mustahil untuk dilaksanakan. Perpaduan dan disiplin akan diperlukan. Oleh kerana itu, saya berasa bahawa penekanan Pakatan Harapan terhadap pembaharuan institusi sangatlah penting.

Institusi awam kita haruslah bebas semula. Amalan rasuah yang sebelum ini menjadi kebiasaan haruslah dihentikan. Kita haruslah menyelesaikan skandal yang berlaku pada masa lalu.

Pilihan sukar, termasuk yang melibatkan sistem pendidikan kita perlu dilakukan. Perkara-perkara ini hanya akan berjaya dilaksanakan jika kami mempunyai sokongan rakyat Malaysia yang majmuk.

Sokongan itu hanya boleh diberikan sekiranya institusi-institusi kita, termasuk media, adalah bebas.

Semua rakyat Malaysia patut yakin bahawa hak-hak mereka dilindungi oleh pihak berkuasa - badan kehakiman, penguat kuasa undang-undang dan perkhidmatan awam, walaupun apabila negara kita berkembang.

Pembaharuan institusi mungkin dilihat sebagai sesuatu yang mengkhuatirkan, tetapi kita tidak boleh mengelaknya. Sesungguhnya, kemakmuran masa depan kita bergantung padanya. Ambil “ekonomi kreatif”, yang kebelakangan ini menjadi kata kunci politik.

Mengenali kepentingannya merupakan sesuatu yang Pemuda Harapan tekankan dalam Tawaran Harapan Anak Muda kami dan akhirnya disertakan dalam manifesto kami.

Ramai anak muda impikan untuk menjadi Jack Ma yang seterusnya. Mereka mempunyai rancangan mereka yang tersendiri untuk start-up dan aplikasi yang hebat, tanpa sebarang rangsangan daripada pihak kerajaan.

Sesungguhnya rakyat Malaysia selama ini memang mampu untuk menghasilkan produk terkemuka. Tetapi negara kita tidak mampu menjadi pusat inovasi yang diaspirasikan jika sikap dalam sektor awam dan swasta tidak berubah.

Sokongan kerajaan tentunya merupakan sesuatu yang penting dalam kebanyakan kes. Ini akan terus dilangsungkan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Tetapi kerajaan tidak sepatutnya mengeluarkan wang kepada usahawan yang berkaitan politik, atau bertindak memberi ‘nyawa’ kepada mereka.

Sebaliknya, kerajaan harus memastikan anak muda Malaysia yang mempunyai bakat, tenaga dan idea diberikan peluang yang sama.

Mereka harus dilindungi daripada rasuah, tingkah laku pemangsa yang muncul akibat kepentingan tertentu dan peraturan serta proses yang tidak perlu dan bertujuan untuk menangguhkan.

Akses mereka kepada pembiayaan, lesen, kontrak dan biasiswa haruslah berasaskan merit sebenar-benarnya. Kejayaan atau kegagalan mereka haruslah berasaskan kebolehan mereka untuk melakukan sesuatu, dan bukannya bergantung pada kenalan mereka.

Kerajaan BN tidak mempunyai keinginan politik untuk melakukan ini. Itulah sebab pelan mereka yang mahal untuk dihasilkan telah gagal dengan teruk. Inilah sebab pembaharuan institusi adalah sangat penting dan sebab golongan belia perlu menyokongnya.

Inilah sebab Pemuda Harapan tidak akan mengalah dalam perkara ini. Dengan membuktikan bahawa kami mampu mengubah kerajaan secara aman, Malaysia telah memilih kemajuan dan bukannya ketiadaan usaha untuk melakukan apa-apa.

Tetapi lebih banyak lagi yang harus dilakukan. Anak muda haruslah memimpin jalannya. Kami berharap bahawa mereka akan menyokong kita, tetapi juga untuk membetulkan jika kami lari dari landasan.

Pilihan yang kita lakukan bersama-sama, sebagai sebuah negara, akan menentukan Malaysia dan dunia apa yang kita tinggalkan buat anak-anak kita.

* YB Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Ketua Pemuda Harapan dan Ketua Angkatan Muda Keadilan serta Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau ialah penulis beberapa buku dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Sebelum ini beliau berkhidmat sebagai Adun Selangor selama dua penggal termasuk sebagai Exco Selangor.