TAHUN 2015 penuh dengan peristiwa. Antara perkara yang menonjol pada tahun lepas – selain kontroversi 1MDB dan pemecatan Timbalan Perdana Menteri serta Peguam Negara – adalah peningkatan kos sara hidup di Malaysia.

Tahun lepas sememangnya ramai yang terkesan dengan peningkatan ini.

Hampir kesemua keperluan, daripada tauge ke minyak masak, pengangkutan awam ke kadar tol, menyaksikan peningkatan harga pada kadaran yang berbeza. Yang pasti, ramai terasa impak daripada kenaikan-kenaikan ini.

Malah, bidang pendidikan juga tidak terlepas daripada perkara ini.

Pada akhir tahun lepas, pejabat Exco saya di bangunan SUK menerima kedatangan ramai ibu bapa daripada golongan keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan untuk anak mereka yang akan memasuki alam persekolahan. Mereka mengadu tentang kenaikan harga barangan sekolah, termasuklah peralatan tulis dan baju. Kita bantu setakat yang mampu, tetapi ia sampai tahap di mana kakitangan pejabat saya sendiri terpaksa mengeluarkan wang daripada poket mereka untuk membantu.

Dalam pada itu, kita juga pasti sudah baca kisah-kisah sedih berkenaan pelajar IPT yang kelaparan. Memang benarlah pelajar universiti – sama juga seperti anak muda yang lain – perlu belajar perihal pengurusan wang.

Tetapi dengan keadaan yang sedia ada ini, saya dapat rasakan bahawa kebanyakan daripada mereka ini melalui kepayahan bukan kerana kesalahan sendiri.

Ia menjadi lebih susah sekiranya mereka dari kampung. Beberapa pelajar ini juga cuba menghantar wang kepada ibu bapa mereka di kampung, dengan wang pinjaman atau pendapatan yang tidak seberapa itu. Ada pula yang memberi cadangan agar mereka mencari pekerjaan. Sebenarnya ramai juga yang sudah bekerja sambil belajar, tapi ia menjadikan lebih sukar bagi mereka untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam pelajaran.

 Apatah lagi, pinjaman PTPTN pula telah dipotong sebanyak 15%. Potongan ini memanglah nampak seperti tidak begitu besar, tetapi jika dicampurkan pula dengan peningkatan kos sara hidup, termasuklah perbelanjaan perihal akademik seperti data internet, nilai potongan itu sebenarnya lebih hebat.

Kajian oleh Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia terhadap 25,632 pelajar daripada enam universiti awam, baru-baru ini menunjukkan seramai 18,675 atau 74 peratus daripada keseluruhannya, mengaku tidak mempunyai wang yang cukup untuk makan. Kebanyakan daripada mereka juga mengamalkan pemakanan yang tidak sihat seperti mi segera dan nasi bujang.

Sebab itulah saya rasakan komentar Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan serta Ketua Pemuda Umno, adalah tidak wajar: “Saya tidak mengatakan bahawa pelajar hidup senang dan tiada yang hidup susah, tapi saya tidak rasa ada pelajar yang kebuluran… Jika perkara ini benar kenapa pelajar-pelajar ini tidak memberitahu pensyarah atau pentadbiran universiti? Saya percaya tidak ada pelajar yang kebuluran sedangkan gelandangan pun Pemuda (Umno) berikan makanan percuma”. (Malay Mail, 12 Jun 2015)
Kita ini negara membangun, kenapa perkara seperti ini masih berlaku?

Khairy seakan-akan buat tak tahu bahawa ada pelajar yang berasa begitu malu untuk menghadap pihak universiti untuk meminta bantuan, ataupun, bantuan itu sendiri tidak ada.

Kementerian Pendidikan Tinggi pula memberikan solusi 7-langkah, kebanyakannya melibatkan inisiatif kebajikan dengan pertolongan universiti dan badan-badan pelajar.

Walau bagaimanapun, kupon makanan tidak akan dapat menyembunyikan fakta bahawa kerajaan telah pun membuat potongan sebanyak RM1.4 bilion daripada peruntukan bajet pendidikan tinggi.

Isu sebenarnya di sini adalah keadaan ekonomi yang tidak diurus dengan baik dan akhirnya rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung bebannya.

Cukai GST langsung tidak menjatuhkan harga barangan dan perkhidmatan walaupun Barisan Nasional berulang kali menjanjikan perkara itu sebelum perlaksanaannya.

Kerajaan juga seakan-akan tidak berusaha untuk bertindak menghukum peniaga yang tidak menurut peraturan dan mengaut keuntungan daripada kesengsaraan orang lain, walaupun beribu-ribu aduan telah dibuat kepada pihak kerajaan.

Dengan kadar kejatuhan nilai mata wang ringgit yang mendadak, perniagaan yang mempunyai jaringan antarabangsa pula perlu menyelaraskan semula perniagaan untuk memperoleh keuntungan. Kebanyakan perniagaan ini akan melepaskan hal ini kepada pembeli untuk mengelakkan daripada kerugian.

Adakah semua perkara memang langsung tidak boleh dielakkan ataupun sememangnya ia disebabkan oleh pengaruh asing, atau hanyalah sandiwara politik?

Saya rasa ada benarnya juga dengan pepatah: “Seseorang yang tidak ada kemahiran pasti akan menyalahkan alatannya.” Pemimpin yang teruk akan menafikan sesuatu permasalahan atau menyalahkan orang-orang yang mereka sepatutnya memberi khidmat.

* Penulis ialah Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor