“Kerajaan yang kuat ialah Kerajaan yang tidak takut mengamalkan demokrasi.” (Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Menteri Dalam Negeri Julai 1969)

Itu bezanya Menteri Dalam Negeri dahulu berbanding hari ini. Meskipun beliau memegang jawatan tersebut ketika negara dilanda tragedi 13 Mei 1969, beliau dihormati semua kerana pendiriannya yang berprinsip.

Sebelum 9 Julai, pelbagai cara digunakan untuk menekan dan menghalang aktivis serta penganjuran himpunan Bersih. Lebih 200 orang ditangkap atas pelbagai tuduhan. Ada yang ditahan di bawah Ordinan Darurat, memakai kemeja T dan kasut berwarna kuning.

Bagi Karnival Mesra Rakyat Bersama Menteri Besar yang diadakan di DUN Seri Setia, antara lain saya menjemput ikon dan personaliti TV Wardina Safiyyah untuk menyampaikan ceramah motivasi pada sebelah malam yang turut dihadiri Yang Berhormat Bukit Antarabangsa.

Kebetulan Wardina menasihatkan ibu bapa untuk menekankan tentang kebersihan setempat dan ada gambar beliau bersama saya, Bukit Antarabangsa dan Ahli Majlis kawasan yang secara kebetulan memakai baju Bersih. Beliau terus diserang teruk oleh blogger-blogger tertentu kononnya menyokong perhimpunan Bersih.

Mengapakah Bersih begitu ditakuti? Pada 3 Julai, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar Kerajaan Persekutuan dan Bersih berunding secara baik. Dalam titahnya, baginda menasihatkan Kerajaan Persekutuan:

“Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat bermasyarakat majmuk negara ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.”

Kemudian Datuk S Ambiga, Datuk A Samad Said dan Zaid Kamaruddin mewakili Bersih, menghadap Yang di-Pertuan Agong dan umumkan Bersih bersetuju tarik diri perhimpunan jalanan kepada stadium.

Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian umum Kerajaan Persekutuan bersedia untuk bertemu dengan Bersih dan membenarkan perhimpunan 9 Julai dibuat di stadium.

Namun Datuk Seri Hishamuddin Hussein Onn kemudian menarik balik tawaran stadium dan meminta program diadakan di stadium negeri Pakatan Rakyat. Bagi stadium negeri Pakatan Rakyat tidak perlu Perdana Menteri menawarkan, sudah lama pun kita adakan program di sana. Ibu negara Malaysia masih lagi Kuala Lumpur, jadi sudah tentulah rakyat hendak berhimpun di Kuala Lumpur.

Pada 9 Julai lalu saya bersama kira-kira 50,000 rakyat berhimpun secara aman. Ada Melayu, Cina dan India, malah ada yang datang dari Sabah dan Sarawak. Ada doktor-doktor kerajaan, ada ketua-ketua jabatan, ada penuntut kolej. Ada pemandu teksi dan ustaz-ustaz dari kampung. Kami berhimpun menjerit “Bersih”, “Daulat Tuanku” dan menyanyikan lagu “Negaraku”. Dalam kegagalan PM merealisasikan 1Malaysia dengan yuran rundingan jutaan ringgit, rakyat merealisasikannya di perhimpunan Bersih.

Namun, kami terkejut dengan tindakan pihak berkuasa. Pimpinan dan aktivis ditembak dengan gas pemedih mata secara dekat, ada yang ditendang dan ditangkap. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ditembak gas pemedih mata secara langsung. Motosikal yang dibonceng Mohamad Sabu pula dilanggar kenderaan polis sehingga lutut kanannya cedera teruk.

Lebih mendukacitakan lagi, Baharuddin Ahmad meninggal dunia selepas terperangkap dalam gas pemedih mata.

Sewaktu saya menuntut di London selama tiga tahun, saya banyak turut serta dalam demonstrasi menentang peperangan Iraq. Pernah, dua juta orang termasuk rakyat Britain beragama Kristian dan Islam berarak di bandar raya London, namun polis menjaga keselamatan rakyat yang berarak.

Aneh sekali, saya seorang Muslim lebih selamat berarak membantah Britain dan Amerika menawan sebuah negara Islam berbanding berarak menuntut pilihan raya bersih dan adil di negara sendiri.

Sebab itu perhimpunan Bersih di Australia, Singapura, Thailand, Jepun, Taiwan, Korea, Britain, Dubai dan Amerika Syarikat aman damai. Hanya di Malaysia Bersih menjadi perkataan kotor.

Benar kata-kata Ronggorwarsito, penyair Jawa yang menyebut tentang Jaman Edan atau zaman gila. Warna kuning ditakuti, perkataan Bersih menjadi kotor, rakyat dizalimi dan Perlembagaan seolah-olah dibuang ke bakul sampah.

 

  • Semua pandangan yang dikemukakan adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Sinar Harian. Pihak kami telah menyunting artikel supaya lebih jelas dan ringkas untuk memudahkan kefahaman pembaca