MALAYSIA sedang berhadapan dengan krisis dan rakyat kini begitu marah.

Kita boleh menghitung jumlah kontroversi yang ada. Daripada penahanan ahli politik, aktivis masyarakat sivil dan pengamal media, skandal 1MDB yang mengancam asas ekonomi negara, mudarat kepada rakyat umum Malaysia dengan pelaksanaan GST, dan polemik kelulusan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan.

Sejujurnya, semua isu ini menunjukkan Malaysia ketandusan kepimpinan. Pada masa sama, ia turut menjelaskan kemerosotan nilai yang sepatutnya menyatukan kita semua: keadilan.

Apakah itu keadilan? Untuk saya, 'keadilan' bukanlah bentuk amalan ideologi kiri atau kanan. Ia sebenarnya merentasi ideologi politik dan ekonomi. Ia bahagian penting tentang bagaimana agama dan budaya mendefinisikan hikmah.

Ilmuwan Islam abad ke-8 hijrah, Ibnu Qayyim al-Jawziyya menulis dalam kitabnya I’laam ul Muwaqqi’een:

“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmah. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmah kepada sia-sia maka ia bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”.

Sekiranya ada keadilan di Malaysia; orang miskin dan kelas menengah tidak akan dihimpit oleh kenaikan kos sara hidup, pelajar yang layak tidak dinafi tempat di universiti awam; atau dibebani hutang untuk membiayai pendidikan, anak muda tidak berdepan kesulitan mencari pekerjaan, rumah dan memulakan kehidupan berkeluarga, orang kampung – terutama di Sabah dan Sarawak – akan mempunyai akses kepada infrastruktur dan peluang yang lebih baik, kantung kewangan negara tidak akan disusutkan oleh kontrak penswastaan yang meragukan, rundingan perniagaan yang tidak jujur dan amalan pengambilalihan yang boleh dipersoalkan.

Jangan tersilap, masalah dalam negara kita bukan berpunca daripada aksi satu kaum. Sebaliknya, ia berpunca daripada kurangnya keadilan dalam wacana politik dan pembentukan dasar di negara kita.

Tinjaulah semua aduan yang disuarakan rakyat Malaysia: sama ada dalam hal ekonomi, politik atau hubungan kaum – dan lihatlah bahawa apa yang dimahukan sebenarnya ialah lebih keadilan dalam hidup mereka.

Tidak ada sesiapa yang rugi dengan adanya lebih keadilan. Jika ekonomi kita lebih adil dan saksama: orang Melayu dan bukan Melayu akan sama-sama mendapat manfaat.

Tentunya, kita tidak boleh menafikan bahawa kelas menengah Bumiputera pada masa kini wujud dengan adanya campur tangan strategik kerajaan sebagaimana yang digariskan dalam DEB. Namun, jurang antara kaya dan miskin dalam kalangan Bumiputera, dan juga bukan Bumiputera terus kekal tidak diselesaikan.

Sekiranya kita lebih adil dalam hubungan sosial, orang Melayu dan bukan Melayu tentu boleh hidup bersama dengan lebih stabil dan secara lebih terhormat. Ringkasnya, akan ada lebih rasa percaya antara satu sama lain.

Mengapakah integrasi terlalu sukar? Ini kerana kurangnya kepercayaan dalam kalangan orang Melayu dan bukan Melayu meskipun telah banyak usaha dibuat.

Orang Melayu bimbang kedudukan istimewa dan agama mereka bakal terhakis dengan ruang lebih besar kepada orang bukan Melayu. Orang bukan Melayu bimbang terhakisnya kebebasan mereka jika mengambil identiti nasional yang berorientasi kemelayuan.

Kita memerlukan pemimpin yang mahu menjadikan persoalan keadilan sebagai persoalan utama; mempunyai kredibiliti moral dan intelektual yang boleh mengembalikan keyakinan orang ramai kepada sistem yang ada di negara kita.

Apabila keyakinan ini dipulihkan, perubahan akan berlaku: sama ada dalam aspek ekonomi atau politik.

Jika Malaysia mahu terus mapan, mahu mara ke hadapan; kita mesti mencari jalan untuk menyantuni pelbagai kepentingan ini.

Tidak ada sesiapa perlu mengatasi mana-mana pihak: misalnya, tidak ada kumpulan sekular atau beragama di Malaysia yang boleh mendominasi sepenuhnya wacana awam dan meminggirkan pihak lain.

Ia tidak sepatutnya berlaku dan adalah membinasakan sekiranya ia berlaku demikian.

Kita perlu membimbing wacana sebegini, namun malangnya kita masih belum begitu berjaya setakat ini. Sebaliknya, kita dihambat agenda ideologi sendiri.

Kita menunda isu penting yang bercanggah: misalnya bagaimana memberi maklum balas realistik untuk isu kaum dan agama yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu.

Kita sebaliknya memberi fokus kepada isu-isu titik-bengik dan memecahbelahkan, sehingga mengecewakan penyokong dan mereka yang memilih menjadi pengundi atas pagar.

Kita seharusnya menyediakan model baharu untuk pentadbiran Malaysia, melangkaui modus operandi Mahathir Mohamad dan Lee Kuan Yew yang melelahkan dan bankrap. Sebagaimana dinyatakan oleh seorang penulis India, Pankaj Mishra, ada alternatif Asia untuk model Barat yang ketinggalan zaman dan tesis nilai Asia yang menekan rakyat.

Baru-baru ini, ada yang menunjukkan ketidakhadiran satu pertiga ahli parlimen semasa perdebatan Parlimen mengenai Akta Pencegahan Keganasan merupakan satu lagi petunjuk kegagalan kita.

Sementara setiap anggota parlimen perlu menjelaskan ketidakhadiran mereka, juga perlu difahami bahawa Parlimen kita sangat tunduk kepada tekanan eksekutif, memberikan ruang besar kepada kerajaan melakukan apa sahaja melalui undang-undang.

Tanpa perubahan legislatif yang baik, peranan pembangkang akan kekal terhad.

Saya masih yakin ia adalah wahana terbaik perubahan politik di Malaysia. Mari kita menilai semula dan membanding di mana kita kini berbanding era sebelum 2008. Ia tidak sempurna tetapi kita telah mencapai banyak juga perkara dalam menjadikan politik di Malaysia lebih berdaya saing dan memastikan kerajaan bertanggungjawab.

Dalam isu hudud dan syariah, kita tidak boleh mengabaikan prinsip-prinsip dalam tujuan syariah (maqasid syariah) dan fekah keutamaan (fiqh al awlawiyyat). Sekali lagi, kebaikan lebih besar mesti didahulukan. Kita mesti mengutamakan keadilan.

Pelaksanaan syariah boleh diperdebatkan. Proses ini mestilah turut melibatkan semua pihak berkepentingan dalam masyarakat. Mereka yang mengkritik konsep ini mesti ditangani di peringkat intelektual, bukan dengan ancaman dan cubaan untuk membantutkan wacana.