SAYA hendak mengembangkan lagi olahan saya baru-baru ini berkenaan Bajet 2016 Barisan Nasional.

Seperti dinyatakan sebelum ini, perkara paling mengecewakan saya tentang Bajet 2016 sebagai Exco Pendidikan Selangor adalah potongan sebanyak RM1.4 bilion daripada bajet pendidikan tinggi.

Saya percaya di antara kesan negatif langkah ini adalah akan ada lebih ramai mahasiswa yang terpaksa melanjutkan pelajaran di institut pendidikan tinggi swasta kerana potongan peruntukan yang begitu tinggi ke atas kolej dan universiti awam.

Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan betapa pentingnya universiti dan kolej swasta dalam sistem pendidikan negara. Terdapat begitu banyak institusi swasta yang boleh dikatakan cemerlang seperti Sunway University, Universiti Teknologi Petronas, Multimedia University dan Taylor’s University.

Tetapi sekarang apa yang kurang jelas adalah, sama ada institusi-institusi ini boleh menerima begitu ramai pelajar yang ditolak oleh universiti dan kolej awam akibat daripada potongan peruntukan, atau sekiranya mereka boleh sekalipun bagaimana pula dengan kemampuan untuk mengekalkan tahap kecemerlangan mereka yang sedia ada?

Seperti diperjelaskan dalam laporan Penang Institut yang bertajuk Pendidikan Tinggi Swasta - Mengelak Krisis Terselindung oleh Dr Paul Lim dan Dr Geoffrey Williams, kebanyakan IPTS sedang menghadapi tekanan kewangan.

Ini termasuklah — berdasarkan laporan kewangan 41 universiti swasta, 27 kolej universiti dan 8 kampus institusi asing — tahun 2013, 46 peratus daripada institusi-institusi ini tidak mempunyai aset yang mencukupi untuk menampung bebanan liabiliti sedia ada.

Tambahan pula, lebih 71 peratus institusi swasta ini gagal untuk memperoleh dua kali ganda aset berbanding liabiliti sedia ada untuk menampung risiko. 64 peratus daripada mereka pula mempunyai hutang jangka pendek yang melebihi modal berbayar.

Pada ketika itu terdapat lebih daripada 120,000 pelajar di dalam institusi swasta yang bermasalah kewangan seperti itu, dan ini tidak termasuk pula kakitangan akademik dan pentadbiran yang pasti akan terkesan juga sekiranya institusi itu gagal.

Kebanyakan masalah ini juga dikatakan telah disebabkan oleh potongan pinjaman PTPTN. Sememangnya, 70 peratus daripada punca kewangan institusi swasta ini didapati daripada pinjaman PTPTN.

Apa yang menarik perhatian saya dari laporan itu adalah, walaupun peratusan graduan IPTS yang mendapat pekerjaan adalah lebih tinggi daripada graduan IPTA, tetapi peratusan graduan yang menganggur juga lebih tinggi — yakni 27 peratus graduan IPTS didapati menganggur berbanding 25 peratus daripada IPTA.

Tindakan kerajaan yang seakan menolak mahasiswa untuk memasuki sektor swasta amatlah merisaukan kerana beberapa faktor.

Pertama, melainkan sesuatu dilakukan untuk mengawal dan memperbaiki keadaan kewangan institusi pendidikan tinggi swasta yang tahap sederhana atau rendah, akan terdapat lebih banyak risiko pelajar yang terabai jika institusi mereka terpaksa bungkus kerana bankrap.

Keduanya, kadar pengangguran yang lebih tinggi menggambarkan bahawa IPTS yang dikira bukan elit tidak berupaya menyediakan pelajarnya untuk menghadapi dunia pekerjaan.

Seperti saya nyatakan tadi, bukanlah saya menentang IPTS. Bagaimanapun, saya juga percaya mereka memerlukan pengawasan yang membina untuk memastikan kemapanan yang baik dan kebajikan pelajar terpelihara.

Bajet 2016 telah menjadikan ini bagaikan suatu perkara yang wajib, dan tindakan yang serius perlu diambil ke atas hal ini.

Bandingkan pula dengan Belanjawan Selangor 2016 yang diumumkan Menteri Besar Azmin Ali. RM21 juta telah diperuntukkan kepada Universiti Selangor (Unisel) untuk melangsaikan hutang mereka.

Biasiswa Selangorku untuk pelajar Unisel dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) juga dikekalkan pada jumlah RM10 juta. Sementara itu kadar kelayakan pendapatan isi rumah, Tabung Sara Diri Unisel dan Kuis ditingkatkan dari RM3,000 kepada RM5,000.

Peruntukan sebanyak RM5 juta pula disediakan bagi mereka yang hendak melanjutkan pelajaran pada peringkat kedoktoran di luar negara di bawah skim Brain Bank Selangor. Di samping itu, RM4 juta diperuntukkan untuk mengembangkan lagi kursus bidang teknikal di Inpens, iaitu institusi kemahiran teknikal negeri.

* Penulis ialah Adun Seri Setia