KERAJAAN Pakatan Harapan di negeri Selangor dan Pulau Pinang - yang telah menggantikan pentadbiran Pakatan Rakyat - kini berusia 10 tahun.

Saya percaya dasar dan inisiatif yang telah diperkenalkan dan diambil oleh kerajaan ini banyak memanfaatkan orang tempatan dan juga kawasan Dun saya, Seri Setia.

Program tuisyen komuniti yang telah saya asaskan, Projek Mentari telah membantu kira-kira 500 kanak-kanak yang menetap di pangsapuri kos rendah Desa Mentari. Ramai kanak-kanak yang pertama kini sudah pun melanjutkan pelajaran di peringkat universiti- satu pencapaian yang patut dibanggakan.

Seri Setia mempunyai kemudahan komuniti, termasuk Tadika Rakyat Kampung Lindungan yang dibantu oleh kerajaan negeri; sebuah dewan masyarakat yang diperluaskan, Sekolah Tamil Seaport yang dibina semula dengan kemudahan baharu di kawasan yang mempunyai populasi lebih tinggi, dan juga sebuah masjid baharu, manakala perpustakaan komuniti hampir selesai dibina.

Kerajaan Selangor telah memenuhi pelbagai janji daripada manifesto 2008, termasuk dasar kebajikan dari lahir sehingga akhir hayat dan air percuma kepada penduduk negeri.

Pada tahun 2017, kita telah memperkenalkan perkhidmatan percuma penjagaan kesihatan bagi rakyat berpendapatan rendah, Skim Peduli Sihat.

Negeri Selangor pada hari ini juga percaya dalam pendidikan inklusif. Kami percaya bahawa ibu bapa berhak untuk mempunyai pilihan menghantar anak mereka ke sekolah.

Sekolah agama rakyat, sekolah jenis kebangsaan dan sekolah mubaligh diberikan bantuan- pada awalnya sebanyak RM16 juta setahun bermula pada 2008, kini sebanyak RM24 juta setahun bermula tahun ini.

Pada 2015, sebagai sebahagian daripada manifesto PRU 2013, Selangor telah menjadi antara negeri terawal di Malaysia mengiktiraf sijil pelajaran UEC sebagai kelayakan untuk memohon kemasukan ke IPT. Pemegang sijil pelajaran tersebut layak untuk memohon ke institut pengajian tinggi Selangor, iaitu Unisel dan Kuis.

Di Unisel, terdapat juga pengenalan program asasi percuma di samping peningkatan dalam bilangan biasiswa yang ditawarkan kepada pelajar Selangor, termasuk sebuah kategori khas bagi Orang Asli. Program Peduli Siswa diperkenalkan untuk IPTA di Selangor manakala Biasiswa Menteri Besar untuk pelajar Timur Tengah.

Selangor telah memperkenalkan skim Selangor Brain Bank, di mana pelajar akan dihantar untuk meneruskan pengajian pada peringkat PhD di universiti terkemuka luar negara.

Negeri Selangor telah memperbaharui fokusnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk memastikan pelajar-pelajar lebih bersedia sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang sentiasa berubah pada masa ini dan akan datang.

Selangor juga telah membelanjakan sebanyak RM52 juta untuk mengenalkan sebuah program TVET, iaitu IKTISASS untuk memberikan haluan alternatif bagi lepasan sekolah menjadi pekerja teknikal yang berkemahiran.

Jumlah pelaburan dan peluang pekerjaan turut ditingkatkan. Gene-ral Electric, UMW dan Ikea telah melakukan pelaburan secara besar-besaran di Selangor. Di Pulau Indah, Ikea mendirikan sebuah pusat pengagihan yang merupakan ketiga terbesar di dunia.

Industri aeroangkasa global kini memindahkan tumpuannya kepada tiga M di seluruh dunia- Mexico, Morocco dan Malaysia- industri aeroangkasa Malaysia berpusat di Selangor dengan tiga S pula- Sepang, Subang dan Serendah.

Kita juga telah melihat pemerkasaan sebuah Dewan Negeri. Di Dewan Negeri Selangor, semakin ramai wanita menjadi wakil rakyat. Pelaksanaan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Keber-tanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) membenarkan Adun memantau tindakan eksekutif dengan lebih berkesan.

Dewan Negeri Selangor juga telah meluluskan usul pembangkang manakala Ketua Pembangkang juga dipertanggungjawabkan untuk mempengerusi mesyuarat Jawatan-kuasa Kira-Kira Wang Negeri.

Wakil rakyat pembangkang juga menerima peruntukan kerajaan buat kali pertama. Pulau Pinang dan Selangor sajalah dua negeri di seluruh Malaysia yang berbuat begini. Pada 2011, Selangor juga menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat pertama negara Malaysia.

Tidak dapat disangkal bahawa sememangnya terdapat banyak lagi perubahan yang boleh dilakukan. Isu air di Selangor tidak dapat diselesaikan selagi Kerajaan Perse-kutuan enggan mendahulukan rakyat. Banyak lagi yang boleh dilakukan untuk memastikan kerajaan lebih bertanggungjawab dan boleh diakses dengan lebih mudah oleh rakyat Malaysia.

Kita perlu bersatu, bekerja keras dan memenuhi aspirasi rakyat.