SESUATU yang terlalu buruk telah melanda Malaysia. Sama ada itu, atau pun kita kurang bernasib baik.

Kejadian-kejadian beberapa minggu ini yang terlampau menghairankan memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada negara ini.

Keadaan sememangnya semakin parah selepas pendedahan isu-isu 1MDB dan dakwaan “derma” berbilion yang melibatkan akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

Kegagalan PM setakat ini untuk menyaman media-media yang telah melaporkan perkara-perkara ini, terutama Wall Street Journal, hanya mengundang syak wasangka dan pandangan sinis masyarakat.

Sememangnya tindakan untuk menggantung penerbitan The Edge dan pengeluaran waran tangkap terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, telah mengapikan persepsi bahawa kerajaan lebih rela ketepi persoalan dari menjawabnya.

Jika tidak, mengapakah perlu untuk halang ahli-ahli Parlimen termasuklah Tony Pua dan Rafizi Ramli dari ke luar negara?

Sama juga keputusan untuk menggugurkan Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal serta para pengkritik 1MDB daripada barisan Kabinet, dan juga tindakan melantik beberapa ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) yang sedang menyiasat syarikat milik kerajaan itu ke jawatan timbalan menteri.

Tambahan lagi, kerajaan juga telah menamatkan kontrak Peguam Negara Abdul Gani Patail secara tiba-tiba dan membuat penahanan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan pihak polis.

Malah (ketika artikel ini ditulis) dua pengarah SPRM yang sedang menyiasat kes RM2.6 bilion juga telah dipindah ke Jabatan Perdana Menteri tanpa notis.
Dalam pada itu, segala persoalan berkenaan 1MDB dan pengalihan wang masih belum dijawab.

Seperti saya nyatakan tadi, sama ada nasib kita kurang baik atau memang ada sesuatu yang tidak kena.

Ini sudah melangkaui politik kepartian. Ia bukanlah isu siapa patut jadi kerajaan atau siapa patut jadi perdana menteri.

Saya - dan saya yakin setiap rakyat Malaysia yang waras - pasti tidak akan menyokong sebarang peralihan kerajaan yang tidak berpatutan dengan Perlembagaan dan undang-undang negara.

Tetapi kita tidak mungkin boleh duduk diam sahaja sedangkan institusi-institusi awam dan kepercayaan rakyat jelata terhadap mereka semakin terhakis, hanya untuk kepentingan politik.

Kita tidak boleh berdiam sahaja ketika pemberi maklumat (whistleblower), sama ada media, NGO, kerajaan mahupun ahli Kabinet diugut atau dilucutkan jawatan.
Saya percaya tidak ada rakyat yang cintakan Malaysia, tidak kira sandaran politik, yang boleh menerima apa sedang berlaku.

Yakinlah bahawa Keadilan dan rakan-rakan kami di DAP, GHB dan NGO-NGO akan terus mencari kebenaran dalam isu-isu yang telah memporak-perandakan negara ini dan melindungi kepentingan setiap rakyat.

Beberapa minggu ini juga telah menunjukkan bahawa negara ini memerlukan reformasi secara sistematik dari semua segi.

Mestilah ada perubahan dari sudut penjanaan wang parti politik. Ini sememangnya matlamat jangka panjang dan kami akan terus mencari penyelesaian menyeluruh yang boleh diterima oleh setiap parti dan NGO-NGO dalam hal ini.

Kita juga mestilah memastikan kesamaran dalam penyingkiran bekas Peguam Negara, dan pemindahan pengarah SPRM tidak akan berulang. Pihak pendakwaan haruslah kekal bebas daripada pengaruh politik. Kita mestilah menyokong penjawat awam yang melakukan kerja tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Kaedah pentadbiran syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) juga wajib diubah, Kebertanggungjawaban dan ketelusan amatlah diperlukan dalam semua peringkat.

Semua perkara ini mestilah disokong oleh setiap rakyat yang mahukan tadbir urus  baik. Kita mestilah sampaikan mesej bahawa Malaysia tidak boleh terus-menerus dalam keadaan ini.

Kita juga menggesa Perdana Menteri untuk hentikan penangkapan rambang dan tekanan terhadap media, serta membiarkan penyiasatan yang bebas dan penuh teliti terhadap setiap kontroversi.

Masih belum terlambat untuk memulihkan negara kita yang kian berpecah.

*Nik Nazmi Nik Ahmad Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi.