Budaya politik Dunia Pertama adalah kuasa untuk rakyat dan bukan kuasa untuk harta. Ia bercirikan demokrasi rakyat yang berteraskan kebebasan berfikir dan kebenaran ilmu.

Penumpuan kuasa dan pengagihan kekayaan di tangan segelintir manusia menjadi matlamat oligarki feudal Dunia Ketiga yang memerintah. Ia bercirikan oligarki feudal yang memenjarakan pemikiran dengan ideologi assabiyah sempit lagi batil. Kebenaran ilmu disekat dan propaganda batil diperluaskan melalui kawalan media massa. Akhirnya, keadilan rakyat dibenamkan demi mengukuhkan kapitalisme kroni.

Bila diambil kira ciri-ciri kawalan seperti di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa Malaysia adalah negara Dunia Ketiga.

Justeru, apabila kerajaan BN mengumumkan beberapa pencapaian Agenda Transformasi Nasional merangkumi program ETP dan GTP bersama NKRA-NKRAnya - ia wajib dilihat dalam konteks ‘kad laporan prestasi’ berdasarkan penilaian antarabangsa agar kita mendapat gambaran benar lagi tepat mengenai kedudukan Malaysia berbanding negara-negara lain.

Jika tidak, tahap pencapaian yang diumum ibarat memilih untuk dinilai dengan ujian bulanan sekolah dan bukannya ujian sijil rasmi seperti SPM.

Kita tidak boleh buta maklumat mengenai kedudukan negara yang mengalih perhatian daripada agenda perubahan besar yang wajib dilaksanakan. Dari segi kedudukan daya saing ekonomi pada 2010, kita di tangga 10 dan pada 2011 kita telah merosot kepada tangga 16. Manakala prestasi indeks persepsi korupsi kita juga telah merosot dari tangga 47 pada 2008 kepada tangga 60 pada 2011.

Sememangnya, kemerosotan daya saing ekonomi berkait rapat dengan indeks korupsi.

Sebagai penanda aras pembangunan ekonomi kita dapat melihat perbezaan pencapaian KDNK per kapita Malaysia dengan Korea Selatan. Pada 1980-an kedudukan KDNK per kapita hampir sama, malah kita melebihi Korea Selatan iaitu Malaysia

USD1,812 berbanding Korea Selatan USD1,745; tetapi pada 2011 Malaysia USD8,617 berbanding Korea Selatan USD23,749.

Natijahnya, dalam tempoh 32 tahun Korea Selatan meningkat tiga kali ganda dari Malaysia, sedangkan kita kaya sumber - minyak, timah, getah, kelapa sawit berbanding Korea Selatan yang tiada sumber asli dan masih hadapi ancaman Korea Utara.

Malah, melihat kepada prestasi negara jiran terdekat iaitu Singapura dengan sumber asli sifar, KDNK per kapita mereka adalah melebihi enam kali ganda hasil Malaysia, pada USD 50,714.

Sebenarnya, tahap perkembangan industri di antara Malaysia dan Korea Selatan adalah setaraf pada 1980-an. Sebagai contoh, bermulanya industri automotif, Proton di Malaysia pada masa itu hampir sama dengan Kia dan Hyundai dari Korea Selatan - tetapi sekarang amat jelas prestasi pencapaian amat jauh, Proton amat jauh berbeza bila melihat penguasaan pasaran antarabangsa, rupa bentuk model-model ditawarkan serta reputasi syarikat automobil.

Mengapa ‘kehilangan kekayaan KDNK rakyat’ ini berlaku - sedangkan kita kaya sumber asli serta kaya nilai agama Islam yang menuntut kemajuan serta kebaikan dalam semua bidang sebagai umat contoh?

Jawapannya adalah kerana pendekatan yang berbeza. Manakala Korea Selatan mengurus ekonomi mengikut pendekatan negara Dunia Pertama, kita sebaliknya masih menggunakan pendekatan negara Dunia Ketiga di mana korupsi atau rasuah berinstitusi (institutional corruption) menjadi teras budaya politik kita.

Bukankah rasuah dalam apa jua bentuk adalah haram dalam Islam dan bukankah Malaysia sebuah negara Islam diperintah parti Islam yang dikatakan terbesar di dunia, iaitu Umno?

Sekiranya kita menafikan hakikat kewujudan gejala rasuah ini dan tidak mahu berjihad membasminya - kerana ditakutkan ‘Melayu hilang kuasa’ atau dengan alasan ‘tidak apalah, ini perkara biasa dan tak boleh diubah’ - maka kita mungkin sudah jatuh hukum bersubahat dan mesti bersedia menerima padahnya.

Oleh itu, bagaimanakah kita dapat membasmi rasuah berinstitusi yang telah berakar umbi di negara kita?

Kita hanya boleh maju ke hadapan dan membasmi rasuah berinstitusi apabila dapat melakukan tiga perkara dasar dalam urusan kenegaraan secara komprehensif dan bukan kosmetik seperti sekarang - iaitu memulihkan demokrasi, membersihkan kerajaan dan membina ekonomi mampan.