Dalam kehidupan seharian dan ketika merancang perkara manusia adakala terlupa bahawa ‘manusia merancang, Tuhan menentukan.” Atas sebab inilah manusia dianjur berdoa dan bagi umat Islam perlu disertai usaha dan ikhtiar halal.
 
Melihat ketentuan Ilahi, sesetengah calon mengetepikan faktor Tuhan, sebaliknya melobi sakan agar dipilih bertanding dalam PRU13. Ada juga tokoh idam jawatan penting di Putrajaya.
 
Sejarah memperlihatkan pada kita cita-cita politik seseorang itu sering menemui kegagalan. Tiada kelayakan menyukarkan ia direalisasikan atau calon berkenaan menjadi mangsa politik cah keting. 
 
Datuk Harun Idris misalnya, adalah tokoh berkarisma. Laluan politiknya menjadi payah kerana tercetusnya pertembungan antara dua kumpulan. Mantan Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu hampir mencatat sejarah sebagai orang Selangor pertama menjadi Perdana Menteri. 
 
Harun adalah winnable candidate, namun pada perkiraan rakyat ketika itu, Harun yang bertanding atas tiket Angkatan Perpaduan Ummah dan mewakili Parti Melayu Semangat 46 bagi kerusi Parlimen Ampang Jaya sudah tidak relevan. 
 
Kini menjelang PRU13, isu winnable candidate terlepas pandang apabila membabitkan tokoh-tokoh lama berkhidmat. Konon pada anggapan umum winnable candidate mesti mereka yang muda dan berpelajaran tinggi, lalu calon usia emas didesak beri laluan kepada muka-muka baru.
 
Kita tidak nafikan muka baru berstatus winnable. Pelapis perlu dipersiapkan bagi memastikan kesinambungan di semua bidang dan bukan sekadar dalam politik.
 
Namun, bukan semua warga emas dalam parti perlu undur diri. Banyak cara boleh dibuat bagi membolehkan dua kumpulan ini tidak terpinggir atau dipinggirkan.
 
Kalau Harun dikira tidak releven bila keluar dari Umno, Datuk Seri Nazri Aziz mahu undur diri dalam PRU13 dilihat sebaliknya. Namun walaupun beliau relevan dalam konteks apa sekalipun, hujahnya bahawa Umno harus persiapkan pelapis harus diberi pertimbangan.
 
Bagi sesiapa tidak mengenali Nazri secara dekat, melihatnya sebagai punca pelbagai kontroversi. Walaupun hujah ini ada benarnya kita harus ingat talian hayat orang politik bergantung kepada rakyat.
 
Nazri adalah last bastion atau pemimpin lama yang masih ada pengaruh dalam parti. Sementara menunggu yang lain mengucapkan lambaian terakhir, Nazri memilih meletakkan masa depan politiknya di tangan Perdana Menteri. Malah keinginan berehat sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas sudah pun dikemukakan baru-baru ini.
 
Agak mudah bagi umum mengira Nazri sama macam tokoh-tokoh lain - naik dari bawah sehingga mencapai tahap tertinggi dalam kerjaya. Sementara hal ini benar, Nazri membuktikan orang politik harus ada piawaian tersendiri. Beliau berterus terang tanpa mengukir janji semata-mata kerana ia suatu yang perlu dilakukan oleh orang politik. 
 
Nazri hanya berjanji sekiranya ia munasabah dan mampu ditunaikan. Semasa menjadi menteri menjaga Mara, Nazri menolak anak-anak yang mendapat 4A untuk kemasukan ke MRSM kerana tidak cukup syarat. Beliau juga memilih untuk menjadi tidak popular apabila mempertahankan Namawee, budak Cina mencipta kontroversi menukar lirik lagu Negaraku.
 
Sementara tugasnya sebagai menteri yang menjaga Parlimen diberi keutamaan, Nazri tidak memperlihatkan watak songsang. Maknanya puak-puak pembangkang menerimanya sebagai “bos Parlimen” malah mereka ikut memanggil Nazri ‘chief’ bila berdepan dengannya. Kadangkala Nazri dikerumuni puak-puak ini di kantin ataupun di ruang lobi, sesuatu yang jarang dilihat berlaku pada menteri-menteri lain. 
 
Selaku Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Nazri adalah calon layak menjadi ketua sayap tersebut. Namun beliau memilih meninggalkan Pemuda. Selain Daim Zainuddin, mantan Menteri Kewangan, Nazri adalah tokoh yang tidak bercita-cita tinggi walaupun berkelayakan. 
 
Pada zaman pertengahan Tun Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri, Nazri diberikan ruang berkhidmat. Tapi nasibnya macam bola yang disepak ke serata tempat dari jawatan penting kepada jawatan biasa saja. Merajuk bukanlah mainannya kerana Nazri sudah pun, seperti katanya, 58 tahun, dan merasakan perlu beri ruang kepada muka-muka baru menggantinya di Padang Rengas.
 
Kini Perdana Menteri yang juga presiden Umno harus memilih sama ada mengekalkan Nazri atau menghormati permintaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu. Walau apa Najib pilih, pengundi di Padang Rengas menganggap Nazri adalah wakil mereka yang ada reputasi dan beliau ialah the winnable candidate.