AKU bertemu dengan rakan lama, di satu warung untuk bersarapan minggu lalu. Kami seronok bersembang kerana hampir 20 tahun tidak bertemu. Kami sempat bercerita tentang pengalaman dan kenangan zaman sekolah rendah kami.

Rakan aku ini lebih seronok berbual tentang filem kerana beliau tahu aku terlibat dalam bidang filem. Beliau juga gemar menonton filem dan membaca kolumku ini. Rakanku ini seorang pesara kerajaan.

Salah satu kenangan tidak dapat beliau lupa ialah menonton wayang pacak percuma di pekan kecil kami, Alor Gajah pada era awal 60-an. Tayangan filem wayang pacak percuma ini memang lazim ketika itu. 

Rata-rata generasi lahir pada era 70-an, sekarang berusia bawah 45 tahun pastinya tidak tahu apa dan bagaimana rupanya wayang pacak ini. Tetapi aku rasa, generasi yang sama tetapi membesar di Malaysia Timur dan di kebanyakan tanah rancangan Felda di Semenanjung Malaysia masih berpeluang menonton wayang pacak ketika mereka membesar.

Pada era 70-an liputan siaran televisyen RTM hitam putih masih belum meluas sehingga ke kawasan pendalaman terpencil negara ini. Wayang pacak dikendalikan oleh Jabatan Penerangan masih merupakan alat sebaran am informasi kerajaan kepada rakyat paling berkesan ketika itu.  

Apa itu wayang pacak? Wayang pacak merupakan tayangan filem di kawasan tanah lapang dengan cara penayangan filem paling asas. Cuma perlu ada projektor beroperasi dengan kuasa elektrik daripada generator untuk memainkan rel filem yang memancarkan imej dan visual bergerak ke sebidang kain atau layar putih.

Kain atau layar putih ini dipasang atau diikat pada dua batang kayu. Lokasi paling popular untuk mengadakan tayangan wayang pacak ini di pekan dan kampung ialah di padang sekolah atau kawasan tanah lapang.

Budaya wayang pacak membolehkan aku merasai pengalaman menonton tayangan wayang pacak yang beberapa bentuk dan cara pengendaliannya. Pertama, wayang pacak kerajaan diselenggarakan oleh Jabatan Penerangan.

Tayangan filem lewat wayang pacak bentuk begini berfungsi lebih kepada penyebaran maklumat kerajaan bukannya hiburan kepada rakyat. Ketika itu hanya radio merupakan alat penyebaran maklumat, berita dan hiburan.

Radio era 50-an dan awal 60-an hanya dapat dinikmati atau didengar di rumah sahaja. Ketika itu belum ada lagi kereta dilengkapi dengan radio. Alat pemain kaset jauh sekali kerana kaset belum wujud dan dicipta lagi. Jadi penyebaran maklumat kepada rakyat sangat terhad.

Tayangan wayang pacak lebih bersifat propaganda kerajaan ini dikelolakan oleh Jabatan Penerangan di setiap negeri dan daerah. Mereka bergerak ke setiap pekan dan pelosok kampung dengan van dilengkapi projektor, generator dan pembesar suara.

Siapa boleh melupakan van berwarna hijau putih dengan corong pembesar suara di atas bumbung? Imej ikonik van penerangan ini mengelilingi pekan dan kampung memberitahu orang ramai tayangan wayang gambar bakal diadakan malam nanti pasti terus melekat di minda generasi berusia 50 tahun ke atas hingga sekarang.

Filem-filem yang ditayangkan adalah produksi Filem Negara Malaysia (FNM) bermula 1963. Sebelum itu dikenali sebagai Malayan Film Unit yang terkenal dengan logo pembukaannya, seekor harimau melompat ke tengah skrin dan freeze frame.

Filem-filem keluaran FNM ini hampir kesemuanya berbentuk dokumentari. Ada juga filem-filem berbentuk cereka dihasilkan. Filem-filem ini lebih mirip bentuk genre docu drama yang menyelitkan usaha kerajaan memajukan dan merubah kehidupan rakyat. Contohnya, tema tentang masalah kesihatan, pertembungan antara bidan kampung dengan bidan dan jururawat kerajaan di kawasan pendalaman.

Banyak tema untuk filem cereka terbitan FNM memaparkan perlunya rakyat khususnya orang Melayu mengubah sikap dalam mengejar dan seiring perubahan dunia daripada aspek ekonomi, budaya dan perubahan pemikiran lama ke mentaliti moden.

Aku dan rakanku ini sering menonton wayang pacak era 60-an terbitan FNM. Aku dapati hampir keseluruhan filem-filem ditayangkan adalah filem dokumentari pendek. Filem-filem ini dalam bentuk hitam putih. Dokumentari tentang ancaman komunis, cara mengundi ketika pilihan raya dan penerangan rancangan kemajuan dan polisi kerajaan untuk rakyat.

Ada juga dokumentari pendek tentang berita semasa walaupun hayat berita tersebut kadang kalanya sudah melebihi dua atau tiga bulan. Contohnya, berita dalam bentuk dokumentari tentang askar kita menyertai misi keamanan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) antara 1960 hingga 1963 di Congo.
 
Paling menarik sehingga ada dokumentari mengajar orang kampung cara menanam cili. Bila diingat kembali membuat kami ketawa besar. Lucu tetapi ketika itu sememangnya rakyat perlu diberi sebanyak mungkin pengetahuan dari segala aspek kehidupan kerana kita baharu sahaja merdeka. Aku rasa beruntung ketika di sekolah rendah berpeluang melalui zaman tersebut. Pengalaman sinematik yang pasti tidak akan berulang lagi.

Satu lagi ciri wayang pacak kerajaan pernah aku sentuh dalam kolum ini pada Disember lalu ialah tayangan wayang akan diberhenti selama 15 ke 30 minit untuk memberi laluan kepada acara ceramah. Selalunya ceramah disampaikan oleh pegawai penerangan dan juga orang-orang politik ketika kami sedang seronok menonton. Memang potong stim!

Kesimpulannya, wayang pacak bergerak kerajaan ini sememangnya alat propaganda paling berkesan ketika kemudahan menonton televisyen belum meluas dan terhad. Wayang pacak membuktikan imej sinematik bergerak lebih mudah diterima dan meresap ke minda rakyat.

Lebih berkesan dan mudah minda rakyat ‘diracun’ lewat wayang pacak. Mereka lebih teruja berbanding hanya mendengar berita dan drama disiarkan oleh Radio Malaya (sebelum penubuhan Malaysia pada 1963).
 
Kedua, terdapat tayangan wayang pacak yang bersifat komersial. Konsep dan tujuannya sangat berbeza berbanding wayang pacak kerajaan. Selalunya wayang pacak jenis ini didatangkan oleh syarikat-syarikat rokok besar dunia yang sedang mencari pasaran baharu di negara kita yang baharu merdeka.

Ada juga syarikat minuman menggunakan wayang pacak untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk syarikat mereka. Syarikat-syarikat ini juga menggunakan kelengkapan asas seperti van, projektor dan kain atau layar putih diikat pada dua batang kayu atau tiang besi.
 
Aku masih ingat rokok paling sering dan terkenal membawa tayangan wayang pacak ke pekan kecil kami ketika itu ialah rokok berjenama Matterhorn dan Rothman. Syarikat rokok ini akan menayangkan filem koboi dan filem aksi perang. Hampir semua filem tayangan secara wayang pacak syarikat-syarikat ini merupakan filem cereka dan bukan dokumentari. Menariknya, filem-filem ini dalam bentuk warna.

Atur cara tayangan wayang pacak syarikat komersial ini berbeza dengan wayang pacak kerajaan. Tayangan wayang akan dihentikan selepas setiap setengah jam sekali. Jangka masa 10 hingga 15 minit ini digunakan untuk memberi rokok percuma kepada penonton.

Berebutlah abang-abang dan pakcik-pakcik kami mendapatkan sebatang dua rokok percuma. Dalam masa sama ditayangkan iklan pendek rokok tersebu berdurasi antara 30 hingga 60 saat berulang-ulang kali sebelum tayangan filem disambung semula. Suasana sungguh meriah dan happening!

Aku beritahu rakanku, ada satu lagi wayang pacak yang tidak patut dilupakan. Rakan kelihatan lost. Aku ingatkan beliau wayang pacak di estet berdekatan kampung kami. Wayang pacak yang aku maksudkan ialah acara tayangan filem secara wayang pacak yang diadakan oleh pihak pengurusan estet untuk pekerjanya yang kesemuanya bangsa India sempena menyambut perayaan Deepavali dan Thaipusam.

Ketawa besar lagi kami bila ingat semula pengalaman berbasikal tanpa lampu pergi ke estet menonton wayang pacak lakonan hero tersohor filem Tamil, Marudhur Gopalan Ramachandran aka MGR (1917 -1987).

Kami bukan faham pun dialognya yang tidak disertakan sari kata. Tetapi seronok menonton MGR berlawan pedang dan bergasak dengan penjahat. Filem-filem Tamil lakonan MGR juga dalam bentuk hitam putih.

Paling menarik dan pasti aku tidak lupa ialah durasi filem-filem MGR ini panjang walaupun tidak ada diselitkan acara ceramah dan pemberian rokok percuma. Pernah berlaku kami terpaksa menyambung menonton filem MGR pada malam esoknya kerana ceritanya panjang dan lama. Tidak boleh ditamatkan tayangannya dalam satu malam.

Rakanku bertanya sama ada tapak wayang pacak di kawasan rumah pekerja estet berhampiran dengan kuil masih wujud atau tidak? Aku nyatakan kepada beliau, kawasan tersebut berdekatan kuil di selekoh bahu jalan sebelum sampai ke UiTM, Lendu masih wujud lagi.

Kami terus ketawa teringatkan pengalaman menonton wayang pacak MGR di estet yang dikenali oleh penduduk kampung kami – estet Jelawai dengan sebutan (e) bertanda di atas.
Estet yang mengenalkan aku kepada ikon legenda filem Tamil dan juga pemimpin politik, Ketua Menteri, Tamil Naidu dari 1977 sehingga 1987 – MGR!