MINGGU lalu aku menyentuh tentang maklum balas daripada peminat novel-novel karya Ramlee Awang Murshid melalui alam siber mengenai pemilihan pelakon bakal memeran watak Ejim aka Tombiruo. Berbagai pandangan dan luahan rasa hati dizahirkan.

Menariknya, ramai membuat andaian M Nasir bakal membawa watak Ejim. Nampak gaya masih ada yang tidak membaca sepenuhnya artikel itu. Macam mana ni? Sepatutnya kaki baca novel mestilah rajin membaca!

Aku dapati banyak komen di Instagram, Twitter, dan juga Facebook Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC). Ada ketikanya aku senyum sendiri bila membaca komen-komen dalam RAMFC. Ada peminat mahu mengajak kaum keluarganya termasuk dirinya memboikot filem Tombiruo jika M Nasir memerankan watak Ejim aka Tombiruo.

Alasan peminat itu kerana M Nasir sudah berusia hampir 60 tahun dan tidak sesuai untuk watak lasak. Ada juga peminat Ramlee menyatakan jika M Nasir dipilih, akan timbul masalah kerana beliau  tidak fasih berbahasa dialek Kadazan Dusun.

Ramai peminat novel ini terutamanya dari Sabah mahukan pelakon Sabah membawa watak Ejim aka Tombiruo. Macam-macam pandangan dan pendapat. Hangat.

Ini merupakan pengalaman menarik dan baharu buat aku. Maklum balas pantas yang aku peroleh ini sebelum penggambaran dimulakan pasti akan aku manfaatkan sebaik mungkin, insya-ALLAH.

Aku rasa peminat dan penonton filem Melayu khasnya dan filem Malaysia amnya perlu rajin menambah ilmu dan informasi tentang perkembangan filem dunia. Apatah lagi zaman sekarang di mana maklumat dan informasi paling terkini dan waima yang paling lama pun sangat mudah diperoleh hanya dengan sentuhan jari untuk men‘google’ di internet.

Hanya sikap kita mahu atau tidak untuk menggunakan kemudahan ini. Pilihan ada di tangan kita! Kenapa aku berkata demikian? Polemik dalam kalangan peminat Ramlee mengenai M Nasir ini jelas menunjukkan walau tidak semua tetapi ramai masih tidak peka dan tidak mahu ambil tahu tentang perkembangan serta kemajuan yang sedang berlaku dalam bidang perfileman dan sinema dunia.

Apa perlu dihairankan jika ditakdirkan M Nasir dipilih menjadi Ejim aka Tombiruo sedangkan figura ikonik filem-filem Tamil atau Tollywood, Rajinikanth aka The Boss yang baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya ke 64 pada 12 Disember lalu, masih gagah berlakon memerankan watak hero.

Filem terbaharunya, Lingaa yang sedang ditayangkan sekarang mengandungi banyak babak memerlukan The Boss melakukan aksi-aksi lasak dan pertarungan.

Bagaimana dengan pelakon-pelakon otai di antaranya Sean Connery (pemeran watak James Bond pertama), Al Pacino, Robert De Niro, Liam Neeson dan Morgan Freeman? Hampir semuanya mereka mencecah atau berumur 70-an. Masih diberi peluang membawa watak hero. Bagaimana pula dengan superstar kungfu Jackie Chan dan John Travolta? Mereka baharu sahaja memasuki usia 60 pada tahun ini.

Aku menyentuh polemik yang dicetuskan oleh peminat-peminat Ramlee dalam muka buku RAMFC kerana aku berharap budaya menonton dan apresiasi filem dalam kalangan penonton akan meningkat. Pecahkan minda kita untuk menerima dan peka dengan perkembangan sinema dunia.

Apa pun, ini bukan isu atau masalah besar kepada kami di Layar Sunan. Pihak Layar Sunan belum lagi membuat keputusan muktamad serta pengumuman rasmi siapakah pelakon bakal memerankan watak Ejim aka Tombiruo.

Aku secara peribadi berasakan cetusan polemik di Facebook ini menarik dan perlu diberi perhatian. Ia membuka ruang untuk saling memahami serta bertukar pandangan antara peminat dan pembaca setia tegar novel-novel dengan Ramlee.

Keadaan win-win situation ini menguntungkan Ramlee sebagai penulis dan aku sebagai bakal pengarah. Dalam masa sama menguntungkan juga peminat novel-novel Ramlee yang bakal menonton filem Tombiruo.

Aku berkata mereka beruntung kerana secara tidak langsung mereka dapat bersama menyumbang fikiran dan pendapat dari segi pemilihan pelakon dalam proses pembikinan filem Tombiruo ini. Ini merupakan perkembangan positif dan sihat.

Layar Sunan pastinya tidak dapat memenuhi semua kehendak peminat versi filem Tombiruo menurut imaginasi mereka. Bagaimanapun, akan menjadi satu keajaiban jika ini mampu dilakukan oleh Layar Sunan. Apa pun kami sentiasa menghargai sumbangan idea dan pandangan peminat setia novel-novel Ramlee.

Ini baharu isu pemilihan pelakon mencetuskan berbagai pendapat, belum lagi kita membincangkan tentang inti pati olahan cerita Tombiruo yang bakal diadaptasikan daripada novel ke filem.

TOMBIRUO – Filem Adaptasi Karya Ramlee Awang Murshid. Begitulah yang terpampang di gegantung pentas di sidang media pra pelancaran filem Tombiruo. Semua sudah maklum filem yang bakal memulakan penggambarannya tidak lama lagi adalah adaptasi daripada novel pertama Ramlee terbitan pada 1998.

Apa itu adaptasi dan sejauh mana pemahaman kita semua tentang ungkapan ini? Apakah kita semua memahami apakah makna/definisi adaptasi?

Menurut Kamus Dewan, adaptasi bererti penyesuaian dengan keadaan yang baru atau berbeza. Berasal daripada perkataan Inggeris adaptation membawa maksud dalam konteks penulisan skrip sebagai - pemadanan, penyesuaian, penyaduran.

Adaptation of a work of art or literature into another form. Secara ringkas terjemahannya – perubahan, penyesuaian kerja-kerja seni atau sastera ke bentuk lain. Contohnya, the film version of a novel, terjemahannya versi filem sebuah novel atau the jazz version of a classical tune - versi jaz sebuah lagu klasik.

Maklum balas peminat-peminat Ramlee terutamanya di muka buku RAMFC mengharapkan filem ini tidak seperti filem-filem adaptasi sebelum ini yang rata-ratanya tidak mengikut penceritaan seratus peratus seperti dalam novel. Ini lagi satu aspek penulisan screenplay dan pembikinan filem yang menarik untuk kita bincangkan.

Sebelum ini filem Ombak Rindu (2011) arahan Osman Ali merupakan adaptasi daripada novel karya Fauziah Ashari menerima berbagai respons daripada peminat dan pembaca novel tersebut.

Ada yang tidak berpuas hati dengan jalan cerita yang dikatakan lari dari cerita asal mereka yang membaca novel terbitan 2002 itu. Ada juga yang teruja dan sehingga rawan hiba dibuai olahan dan sentuhan Osman Ali kepada kisah cinta seorang ustazah dengan perogolnya.

Keadaan sama juga dialami oleh tiga filem siri Lagenda Budak Setan yang diadaptasi daripada novel-novel karya Ahadiat Akashah. Siri filem Lagenda Budak Setan – 1, 2 dan 3 diarahkan oleh Sharad Sharan. Kenapa keadaan ini berlaku?

Langkah pertama untuk memahami keadaan ini adalah melalui kefahaman kita tentang apa itu adaptasi. Definisi adaptasi yang dipegang oleh pembikin-pembikin filem sejagat ialah - The best film adaptations retain the spirit and themes of the books, but turn them into something uniquely cinematic.

Terjemahan ringkasnya – adaptasi sesebuah filem yang baik bukan setakat mengekalkan semangat dan tema novel tetapi mengolahnya menjadi karya sinematik yang unik.

Aku teringat kata-kata sahabat aku, pengarah filem, Uwei Hj Shaari – aku perlukan penonton cerdik untuk buat filem cerdik! Kata kuncinya ialah cerdik. Penonton cerdik perlu berilmu dan pembikin filem berilmu menghasilkan karya-karya cerdik.

Aku ingin berpesan kepada diri aku dan penonton, peminat, penyokong, penggiat dan pembikin filem tanah air terutamanya filem Melayu supaya azam tahun baharu kali ini ialah mencerdikkan diri dengan menambah ilmu filem. Hari ini kita sudah berada di hari ke empat tahun 2015. Jika kita belum bermula bererti kita sudah terlambat empat hari!