SEJAK dua minggu lalu, aku menulis tentang muzik pop yeh yeh yang popular tahun 60-an. Muzik ini bukan setakat popular melalui ruang udara (radio) tetapi popularitinya telah diangkat melalui filem -filem Melayu tempatan.

Bermula di Barat terutamanya di Britain, satu ledakan pop culture atau budaya popular – budaya pop dalam muzik bentuk baharu melanda dunia hiburan seni muzik dan filem dunia.

Tempias dari ledakan ini telah aku ceritakan sejak dua minggu lalu. Pengaruh dari The Beatles inilah yang melahirkan muzik pop yeh yeh di negara kita berpusat di Singapura ketika itu.

Apa akan aku tulis minggu ini adalah kaitan muzik dengan filem. Dua elemen hiburan dan seni yang saling melengkapi antara satu dengan lain. Baik filem-filem Barat mahupun Melayu tempatan.

Tetapi sebelum mulakan, aku hendak ceritakan tentang pertemuan aku dengan kenalan lama seorang pesara kerajaan yang baharu tiga tahun pencen.

Menurutnya, dia mengikuti kolum aku sejak dari tulisan pertama hinggalah ke minggu lepas.

Dia bertanya kenapa aku menulis tentang kisah-kisah yang telah berlaku 40 hingga 50 tahun lampau.

Maksudnya, tulisan-tulisan aku mengenai sejarah muzik dan filem Melayu berkaitan dengan pop yeh yeh.

Dia berpandangan aku cuma membuang masa kerana siapa minat membaca dan mahu ambil tahu tentang kisah pop yeh yeh yang telah menjadi barang antik dan ditelan masa.

Aku nyatakan kepadanya - aku mahu merakamkan sejarah perkembangan muzik moden Melayu untuk generasi muda - anak semua bangsa Malaysia masa kini terutama penuntut bidang muzik dan filem serta sesiapa yang berminat kedua bidang ini.

Aku katakan padanya aku berpegang kepada prinsip – kita mesti tahu sejarah sesuatu bidang yang kita ceburi untuk kesinambungan penerokaan kreatif dalam berusaha mencari dan melahirkan sesuatu yang baharu.

Konsep ini melibatkan semua bidang kehidupan manusia – politik, agama, budaya, sosial, seni dan apa saja bidang berkaitan dengan hidup kita di dunia ini.

Aku katakan padanya, paling penting setidak-tidaknya sehinggakan kita juga perlu tahu sejarah hidup diri kita sendiri untuk dijadikan pedoman sebelum dijemput ALLAH. Tiada hari ini tanpa semalam kerana esok belum pasti kita masih bernafas lagi atau tidak.

Berbalik kepada muzik pop yeh yeh dan filem, aku membesar dalam zaman itu.

Muzik pop yeh yeh berkembang mulai tahun 1965 selepas tiga tahun The Beatles melancarkan single pertama mereka Love Me Do tahun 1962. Arus gelombang gabungan muzik rock n roll yang dilahirkan The Beatles telah melanda dan menjadi kegilaan anak-anak muda di seluruh dunia.

Anak-anak muda di Nusantara tidak terkecuali dari ledakan muzik The Beatles. Anak-anak muda Melayu di Singapura dan Malaysia dengan kugiran-kugiran dan penyanyi-penyanyi seperti M Osman dan The Mods, A Ramlie dan The Rythmn Boys, Jefrydin dan The Siglap Five dan lain-lain.

Indonesia tidak terkecuali dengan kumpulan Koes Bersaudara dan menukar nama kepada Koes Plus awal tahun 70an.

Kumpulan Dara Puspita pula merupakan band atau kugiran pertama dan satu-satunya di Nusantara dianggotai oleh empat pemuzik terdiri daripada anak-anak gadis.

Kesimpulannya, sememangnya era 60-an dunia menyaksikan dan berasakan satu kebangkitan muzik corak baharu yang berasaskan muzik blues dan rock n roll.

Dalam masa sama dunia juga menyaksikan perang Vietnam terus meledak – peperangan antara fahaman demokrasi (Amerika) dengan fahaman komunis (Vietnam Utara).

Di Palestin perang terus bergolak antara Israel dan dunia Arab. Kelompok manusia yang berperang terus berperang berbunuhan sesama manusia untuk menegakkan fahaman dan ideologi masing-masing.

Ada kelompok yang terus berperang untuk mempertahankan pegangan dan kepercayaan agama masing-masing. Itulah senario dunia pada tahun-tahun 60an.

Sementara di medan seni pula, penemuan dan penghasilan karya-karya seni muzik dan filem terus berkembang. Hasil-hasil karya seni filem yang bercorak muzikal Barat seperti filem-filem lakonan The Beatles menambah khazanah seni pop culture atau budaya popular dunia.

Aku juga tidak dapat lari dari arus ledakan pop culture ini. Aku membesar dikelilingi oleh pop culture yang baharu bermula mempengaruhi kehidupan penduduk dunia tanpa mengira generasi tua atau muda ketika itu.

Apa itu pop culture? Secara ringkas budaya pop adalah cara penghayatan hidup seharian yang tidak sama seperti kehidupan lama atau tradisional.

Pop culture ini berkembang melalui muzik, filem, fesyen, seni lukis, sastera, teater dan juga makanan. Perubahan ini berlaku seiring dengan perubahan dan kemajuan dalam bidang media massa terutama televisyen, filem, media cetak dan alat komunikasi paling terkini - internet.

Televisyen adalah agen utama dalam membawa berkembangnya pop culture kerana peti televisyen yang dikenali sebagai the idiot box itu mula menjadi keperluan asas setiap keluarga di mana-mana saja di dunia ini termasuk negara kita bermula dari tahun 1963.

Pengaruh pop culture ini selalunya bermula dan berkembang di kota-kota besar setiap negara di dunia. Di Malaysia pop culture mula berkembang di Singapura pada tahun 60-an.

 Zaman sekolah rendah, aku tinggal bersama dengan Allahyarham datuk dan nenek aku di kampung di Alor Gajah, Melaka.

Sementara Allahyarham bapa aku bekerja dan Allahyarham ibuku (suri rumah tangga sepenuh masa) menetap di Singapura.

Menjadi rutin aku setiap cuti penggal persekolahan menghabiskan masa bersama mereka. Allahyarham bapa akan membawa aku menonton filem-filem terbaharu yang ditayangkan di panggung-panggung di kota singa itu.

Filem muzikal lakonan The Beatles, A Hard Day’s Night (1964) merupakan filem bercorak muzikal pertama aku tonton ketika di darjah lima semasa menghabiskan cuti sekolah hujung tahun di Singapura.

Filem A Hard Day’s Night arahan Richard Lester ini meletup di boxoffice di seluruh dunia ketika itu. Filem ini dibuat dalam bentuk hitam putih dengan gaya cinema verite menggunakan muzik genre rock n roll sebagai elemen penting dalam menyampaikan cerita.

Filem ini diiktiraf oleh majalah Time sebagai di antara salah  satu dari 100 filem terhebat dunia dan filem muzikal yang paling berpengaruh sepanjang masa.

Selepas mendapat sambutan hangat, A Hard Day’s Night diterbitkan pula oleh Pan Books dalam bentuk novel oleh penulis, John Burke berdasarkan screenplay asal oleh Alun Owen.

Ada yang berpendapat A Hard Day’s Night selain dari satu hasil kerja filem ia juga merupakan video klip muzik panjang pertama pernah dihasilkan.

Setahun selepas itu The Beatles muncul dalam filem kedua mereka berjudul HELP (1965) diarahkan juga oleh Richard Lester. Filem ini bergenre comedy adventure dan difilemkan dalam warna. HELP juga mendapat sambutan hangat di seluruh dunia.

Tidak boleh dinafikan filem-filem A Hard Day’s Night dan HELP adalah inspirasi kepada pengarah-pengarah filem Melayu seperti Omar Rojik menghasilkan A Go Go 67 dan diikuti oleh pengarah-pengarah lain yang menghasilkan filem-filem yang ada elemen muzik rock n roll sama ada dalam bentuk muzik latar mahupun penampilan kugiran-kugiran sebagai artis jemputan dalam filem-filem genre drama dan muzikal.

Selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, satu kejutan budaya pop berlaku dalam kalangan anak-anak muda di seluruh dunia dan negara kita.

Festival muzik WOODSTOCK berlangsung dari 15 hingga 18 Ogos 1969 di pekan kecil Bethel, New York. Festival tiga hari itu telah dirakamkan dalam bentuk filem dokumentari. Ia ditayangkan di panggung-panggung di seluruh dunia dan mendapat sambutan hangat seperti filem mainstream.

Minggu depan, aku akan menulis tentang filem WOODSTOCK dan impaknya pada perkembangan muzik dan filem tempatan.