SEBELUM aku menyambung menulis tentang usaha Mansor Puteh menarik perhatian peserta dan hadirin di perbincangan sinema Islami peringkat antarabangsa di Ramallah, Palestin, 16 tahun lalu, aku ingin membuat sedikit pembetulan.

Bukannya Khalil Sasakini Cultural Centre tetapi Khalil Sakakini Cultural Centre atau Pusat Kebudayaan Khalil Sakakini yang mengundang Mansor untuk membentangkan kertas presentasinya pada 16 -19 September 1999. Harap maaf atas kesilapan yang tidak aku sengajakan.

Minggu lalu, aku menyentuh pandangan Mansor yang mempersoalkan tentang cara dan kriteria pemilihan yang diguna pakai untuk sesebuah filem dari negara-negara Dunia Islam dan Dunia Ketiga dalam menentukan pemilihan untuk tayangan di festival-festival di Barat.

Melalui kertas presentasinya, Muslim Cinema as an Antithesis to Hollywood, Mansor Puteh membongkar dan mendedahkan kesongsangan sikap dunia Barat melalui penganjuran festival-festival filem yang melibatkan filem-filem hasil karya pembikin-pembikin filem dari negara-negara Dunia Islam dan Dunia Ketiga.

Apa cara dan langkah perlu dilakukan bagi menangani agenda terselindung di sebalik penghasilan filem-filem Hollywood dan penganjuran festival-festival filem di Barat yang sering diterlepas pandang oleh pembikin, penggiat, produser filem dan pihak-pihak berwajib dari negara-negara Dunia Islam dan Dunia Ketiga?

Mansor mencadangkan perlunya negara-negara Islam menggembleng tenaga kreatif dan kepakaran pengurusan filem sebagai senjata menangkis serangan budaya baharu yang dilakukan negara Barat melalui filem-filem keluaran Hollywood dan penganjuran festival-festival filem seperti Cannes Film Festival dan yang sewaktu dengannya.

Penguasaan industri filem dan penganjuran festival-festival filem dunia oleh Hollywood dan negara-negara Barat memberi kesan ke atas minda umat Islam tanpa mengira usia dan jantina. Resapan pemikiran songsang  secara halus tanpa disedari ini meracuni budaya hidup dan pemikiran umat Islam sejak sekian lama.

Menurut Mansor,  pastinya Hollywood tidak akan menghasilkan filem-filem menurut acuan dan tuntutan syariat Islam. Penganjuran festival filem negara-negara Barat pula tidak akan mengangkat filem-filem yang membawa tema dan unsur-unsur kemajuan serta nilai intelektual progresif negara-negara dunia Islam. Inilah hakikat yang perlu difahami oleh ummah Islam di atas planet bumi ALLAH ini.

Pandangan ini dicetuskan oleh Mansor 16 tahun lalu. Beliau telah cuba memberitahu kepada pembikin-pembikin dan pihak-pihak yang terlibat dalam industri filem di negara-negara dunia Islam dan dunia ketiga tentang penjajahan minda ummah Islam yang dilakukan oleh kuasa Barat terutamanya Hollywood melalui filem-filem dan program-program televisyen.

Aku akhiri artikel minggu lalu dengan satu pertanyaan – apakah sudah ada perubahan selepas 16 tahun keadaan dan agenda songsang kuasa Barat itu disentuh dan dikupas oleh Mansor Puteh lewat kertas presentasinya, Muslim Cinema as an Antithesis to Hollywood.

Jika kita lihat perkembangan industri filem di negara-negara dunia Islam mutakhir ini, kita terpaksa mengakui sememangnya tiada perubahan daripada aspek pengisian naratif, tema dan aspek ekonomiknya.

Masih di takuk lama. Lebih malang lagi tiada langsung usaha jitu dan sistematik pihak berwajib daripada mana-mana 55 negara dunia Islam untuk mencari solusi mengatasi serangan halus oleh puak-puak kufar yang bertopengkan seni audio visual - dengar dan lihat iaitu filem.

Ada sedikit kemajuan yang ditunjukkan oleh Indonesia dalam penghasilan filem-filem bergenre Islami. Tetapi pencapaian Indonesia secara kasarnya terlalu sedikit jika dibandingkan dengan status negara itu mempunyai populasi rakyat beragama Islam terbesar di dunia iaitu hampir 200 juta. Apatah lagi jika dibandingkan pencapaian ini dengan populasi lebih 1.3 billion penganut Islam yang terdapat di 55 negara-negara dunia Islam.

Rasanya tidak salah jika dirumuskan bahawa tiada perubahan yang berlaku seperti diharapkan dengan pencerahan dan pandangan Mansor tentang perlunya satu World Muslim Film Foundation atau Yayasan Filem Dunia Islam.

Keadaan menjadi semakin serabut apatah lagi selepas peristiwa 9/11 dengan serangan imperialis Amerika ke atas negara-negara Islam seperti Afghanistan dan Iraq. Dalam masa sama sengketa di Palestin dengan negara haram Israel yang masih tidak ada kesudahan dan penyelesaian. Asyik ulang tayang isu yang sama sejak 1948!

Selepas 9/11, umat Islam dicap sebagai pengganas yang menjadi musuh terkini Amerika selepas kegagalannya mengalahkan komunis melalui perang Vietnam yang berakhir pada 1975.

Seperti aku nyatakan sebelum ini, gagasan Sinema Islami dan Yayasan Filem Dunia Islam ini diuar-uarkan oleh Mansor sejak 1994, sebelum berlakunya peristiwa 9/11 lagi.

Mansor mencadangkan satu percubaan menggunakan seni sebagai senjata perjuangan menentang musuh-musuh Islam. Dalam konteks ini seni filem sebagai alat menepis serangan imperialis Amerika terhadap minda dan cara berfikir ummah Islam sejajar dengan perubahan dunia sekarang.

Ini bukan perang di medan tempur tetapi perang saraf yang memerlukan kekuatan iman dan ilmu bertunjangkan al-Quran dan sunnah. 

Tapi sayang, tiada pihak yang nampak betapa relevannya cadangan beliau ini. Kupasan dan hujah beliau lewat kertas presentasi tentang peranan Hollywood menghasilkan filem-filem yang secara jelas dan juga secara halus menyemaikan budaya hidup bertentangan dengan budaya hidup ummah Islam dan juga tamadun manusia secara keseluruhannya.

Ini dapat disaksikan dengan pengisian tema hedonistik, budaya hidup songsang dan usaha-usaha merubah tamadun manusia balik semula ke zaman jahiliah. Unsur-unsur ini amat jelas terdapat dalam filem-filem Hollywood dan Barat. Dan semakin berkembang dengan wujudnya media baharu, internet dan konsep langit terbuka, dunia tanpa sempadan.

Di sini perlunya ada rasa tanggungjawab dan kesedaran di pihak pembikin, penggiat dan pihak berwajib terlibat dalam industri filem di negara-negara dunia Islam menggunakan kertas presentasi Mansor ini sebagai blue print untuk titik mula mencari jalan menghalang dan menoktahkan perkembangan budaya baharu Amerika yang anti fitrah manusia ini.

Menurut Mansor – We have become unknowingly, another vehicle for them to spread their Western values and Atheistism or American Culture, which is really a pseudo-religion!

Terjemahan ringkasnya - Tanpa kita sedari, kita menjadi alat bagi mereka (Amerika) untuk menyebarkan nilai-nilai Barat dan tidak percaya Tuhan atau budaya Amerika, yang sebenar-benarnya adalah  sebuah pseudo-agama atau agama palsu!

Kenapa ini berlaku?

Aku tertarik dengan pertanyaan Mansor – Why, must I ask: that Muslims must spend hundreds of millions of dollars to set up television and radio stations and cinemas and publish newspapers and magazines, only to turn them into centers for promotion of Western Cultural Imperialism?

Terjemahannya - Mengapa, saya ingin bertanya: kenapa umat Islam perlu menghabiskan beratus-ratus juta dolar untuk membina stesen-stesen televisyen dan radio dan panggung wayang dan menerbitkan akhbar dan majalah, hanya untuk mengubahnya menjadi alat mempromosikan Kebudayaan Imperialisme Barat?

Satu pertanyaan yang menuntut satu jawapan paling berani dan paling jujur. Tetapi siapa yang bertanggungjawab memberi jawapannya?

Sambil kita melayan selera dengan ketupat, lemang dan rendang pada Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, sama-samalah kita fikirkan jawapannya.

Aku ingin mengambil kesempatan awal ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada pembaca dan peminat setia Lantera. Moga kita semua diberkati ALLAH.