SEBELUM aku sambung menulis dan menelaah kertas presentasi Mansor Puteh - Muslim Cinema As An Antithesis To Hollywood, aku ingin menceritakan tentang seorang pembaca menghubungi aku memberi respons kepada artikel aku pada minggu lalu.

Menurutnya, isu tentang adegan berkucupan dan bercium mulut dalam filem-filem Melayu pernah cuba dilakukan atau dipopularkan sejak zaman Jalan Ampas, Singapura pada 60-an lagi. Dia berpendapat aku terlepas pandang mengenai isu ini yang menjadi panas ketika itu.

 
Dalam artikel minggu lalu, aku menyatakan filem-filem Melayu tidak pernah ada adegan bercium sejak dari zaman Jalan Ampas, Singapura sehingga sekarang. Sememangnya tidak ada adegan cium dalam filem Melayu setakat ini yang kita ketahui, tetapi keinginan untuk melahirkan adegan seperti itu pernah berlaku dalam sejarah perkembangan industri filem Melayu. 
 
Ini yang beliau anggap aku terlepas pandang. Aku tidak nafikan kenyataannya itu. Apatah lagi beliau merupakan seorang otai peminat filem Melayu yang lebih otai daripada aku.
 
Beliau menceritakan tentang kecohnya isu adegan cium mulut yang ingin diselitkan dalam filem hitam putih terbitan Malay Films Productions, Shaw Brothers, Singapore pada 1966 berjudul Jefri Zain - Gerak Kilat, arahan Jamil Sulung. 
 
Filem lakonan Jins Shamsudin sebagai Jefri Zain, si ejen perisik bercorak spy thriller ini mengikut acuan filem-filem siri James Bond lakonan Sean Connery yang menjadi kegilaan satu dunia ketika itu dan sehingga sekarang. 
 
Siri James Bond sememangnya menghidangkan elemen-elemen aksi dan seks sebagai pelaris menarik penonton ke panggung. Acuan serupa digunakan daripada filem James Bond pertama Dr No (1962) arahan Terence Young sehingga siri ke-24 paling terkini, Spectre (2015) arahan Sam Mendes yang akan menemui penonton pada November ini. 
 
Percubaan untuk menyelitkan elemen seks melalui adegan cium dalam filem Jefri Zain - Gerak Kilat menimbulkan berbagai pendapat dan reaksi pro dan kontra diluahkan oleh peminat filem Melayu ketika itu. Kebanyakan penonton Melayu menentang atas dasar memelihara kemurnian budaya dan adat susila bangsa Melayu beragama Islam. 
 
Aku masih ingat isu sensasi adegan cium dalam filem ini akhirnya senyap begitu sahaja. Apa yang jelas kehangatan dan kontroversialnya isu cium ini berjaya membuat filem Jefri Zain - Gerak Kilat meletup dan berjaya membuat kutipan pecah panggung. Satu gimik pemasaran yang berani dan berbaloi. 
 
Tetapi jika difikirkan lebih mendalam lagi berdasarkan kenyataan Mansor Puteh dalam kertas presentasinya mengenai Sinema Islaminya berkaitan aspek moral dalam pembikinan filem negara-negara dunia Islam, banyak perkara dan perlakuan yang cuba ditiru daripada Hollywood bertentangan dengan nilai-nilai akhlak Islam.
 
Mansor menyentuh perkara paling asas dalam pembikinan sesebuah filem iaitu naratifnya. Apa bentuk nilai moral mahu dilahirkan dan dihasilkan melalui naratif sesebuah filem mengenai kehidupan dan budaya masyarakat penganut Islam oleh pengarahnya yang pastinya beragama Islam. 
 
Apakah nilai-nilai moral yang diwujudkan dalam filem-filem arahan pengarah-pengarah negara-negara dunia Islam ini selari dengan syariat Islam? Atau nilai moral ini adalah fotokopi nilai moral filem-filem Hollywood?

Persoalan-persoalan ini yang dilontarkan oleh Mansor untuk pembikin-pembikin filem negara-negara dunia Islam perlu memikirkan.
 
Mansor menyatakan lewat kertas presentasinya itu terdapat satu trend yang semakin meningkat di Turki, Algeria, Mesir, Malaysia dan negara-negara bukan Arab lain Islam seperti Pakistan dan Bangladesh di mana semakin banyak usaha melahirkan filem-filem yang menekankan kepentingan memupuk nilai-nilai Islam dan pemaparan cara hidup Islam. 
 
Menurut beliau lagi, ini akan melahirkan sikap baharu bagi menentang arus keghairahan lazim kebanyakan pengeluar dan pengarah-pengarah filem di negara-negara dunia Islam yang selama ini hanya meniru Barat untuk kembali ke pangkuan yang lebih Islamik.
 
Kenyataan beliau ini diluahkan pada 1999. Kita saksikan trend ini terus berkembang sehingga sekarang. Di rantau ini Indonesia telah mengorak langkah lebih ke depan dan berjaya menghasilkan filem-filem bergenre Islami yang meninggalkan kesan luar biasa dari aspek naratif, penghasilannya dan sambutan penonton.
 
Filem-filem bergenre Islami dari Indonesia, di antaranya Ayat-ayat Cinta (2008), Perempuan Berkalung Sorban (2009), Sang Pencerah (2010) arahan Harung Bramantyo dan filem arahan pengarah veteran Allahyarham Chaerul Umam, Ketika Cinta Bertasbih (2009) dan filem terakhirnya, Cinta Suci Zahrana (2012) sebelum meninggal dunia pada 2013. 
Paling terkini, filem Haji Backpacker arahan Danial Rifki yang ditayangkan pada penghujung 2014.
 
Filem tempatan yang membawa unsur-unsur Islami mula diterokai pada 2000 oleh pengarah Eddie Pak menerusi filem Syukur 21. Filem ini juga merupakan filem terbitan sulung syarikat Metrowealth kepunyaan David Teo, produser paling aktif dan produktif menghasilkan filem di negara ini.
 
Selepas filem Syukur 21, terdapat kekosongan filem-filem bergenre Islami hampir 12 tahun sehingga terhasilnya filem 7 Petala Cinta (2012) arahan Azhari Mohd Zain yang juga terbitan Metrowealth.
 
Paling terbaharu, filem Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang (2013) arahan Pierre Andre. Filem ini banyak bergantung pada populariti penceramah dan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus. Jika dibandingkan dengan Indonesia, kita masih jauh tertinggal di belakang dalam jumlah penghasilan filem-filem bergenre Islami. 
 
Senario di atas jelas menunjukkan potensi untuk satu industri filem melibatkan negara-negara dunia Islam dan negara-negara dunia ketiga untuk berkembang adalah cerah. Perkembangan ini akan membuahkan peluang-peluang menguntungkan bakal diraih daripada aspek bisnes dan paling penting aspek penghasilan filem-filem beridentiti, berjiwa dan punya roh selari dengan tuntutan syariat Islam.
 
Bagi mencapai tujuan ini, Mansor mencadangkan dalam kertas presentasinya - What is needed is perhaps an organization such as the proposed World Muslim Film Foundation to be set up in order to formalize and institutionalize the concept and philosophy as well as the artistic direction of the Muslim cinema, so that its development can be checked against these values which are basically in consonant and relative to those that are expounded in the Holy Koran and Sunnah and our different cultural values and lifestyles and traditions.
 
Apa yang diperlukan adalah mungkin sebuah organisasi seperti Yayasan Filem Dunia Islam ditubuhkan dalam usaha untuk merasmikan dan menginstitusikan konsep dan falsafah serta hala tuju artistik Sinema Islam, supaya pembangunannya boleh dikawal selia dengan nilai-nilai dasar yang selari dengan yang dijelaskan dalam al-Quran dan As-Sunnah serta dengan nilai-nilai budaya, gaya hidup serta tradisi kita walaupun berbeza.
 
Bagaimana World Muslim Film Foundation - Yayasan Filem Dunia Islam ini berfungsi? Minggu depan kita akan terus menelaah idea Mansor ini.