SENI filem dan pembikinan filem tidak dinafikan merupakan the highest form of art – kerja seni bertaraf paling tinggi.

Filem adalah kombinasi seni dan sains yang melibatkan pelaburan dana. Jumlah dana boleh sahaja dalam nilai paling asas atau sehingga mencapai nilai jutaan dan bilion untuk menghasilkan kerja seni bernama filem.

Sepanjang minggu lalu, aku terlibat dengan tugasan pos produksi untuk menghasilkan satu promo pendek sebuah filem. Tugasan ini memerlukan aku terlibat dan memantau proses color grading – penggredan warna.

Penggredan warna ini dilakukan setelah promo pendek filem tersebut siap di sunting.

Apa aku ingin nukilkan bukan bagaimana proses penggredan warna dilakukan. Aku ingin menulis kesempatan aku bertemu dan berinteraksi dengan pembikin filem muda ketika melakukan proses tersebut.

Topik perbualan kami ini yang ingin aku kongsikan dengan pembaca kolumku minggu ini.

Beberapa minggu sebelum ini aku bertemu dan bertugas bersama sekelompok pembikin filem generasi muda Melayu. Aku terlibat dengan mereka ketika proses penyuntingan promo pendek filem tersebut sebelum ke proses penggredan warna.

Di studio pos produksi penggredan warna tersebut aku berpeluang mengenali, bersembang dan berinteraksi dengan tenaga kerja juga generasi muda. Mereka terdiri daripada berbagai bangsa. Ada daripada luar negara selain tenaga kerja tempatan.

Petugas proses penggredan warna untuk promo pendek filem ini merupakan seorang pemuda Perancis berusia awal 40-an.

Pengurus merangkap orang nombor satu studio pos produksi awal 50-an berasal dari Australia. Topik perbualan kami pada waktu rehat ketika membuat penggredan warna berkisar cara pembikinan dan pengarahan filem dahulu berbanding sekarang.

Bila mereka mengetahui aku pernah mengarah dua filem cereka hampir 30 tahun lampau, mereka bertanya aku tentang perbezaan cara mengarah filem dahulu berbanding sekarang.

Perbezaan mengarah filem dengan menggunakan kemudahan terkini video assist (VA - video bantu) berbanding mengarah secara lama.

Soalan sama diajukan kepadaku oleh kelompok pembikin filem anakanak muda Melayu semasa aku memantau penyuntingan promo filem ini beberapa minggu sebelum ini.

Menariknya, satu soalan serupa tetapi ditimbulkan dua kelompok filmmaker berlainan bangsa dan dari negara dunia.

Apa itu mengarah dengan kemudahan bantuan VA?

VA adalah sistem digunakan dalam pembikinan filem yang membolehkan pengarah dan kru terlibat dalam sesuatu penggambaran filem melihat versi video rakaman babak dilakukan dengan segera selepas babak tersebut berhasil dirakamkan atau difilemkan lewat kamera filem.

Sistem ini menggunakan sebuah alat peranti kecil dipasang di dalam kamera filem. Dengan menggunakan monitor atau skrin TV membolehkan pengarah melihat babak yang bakal dan ketika dirakamkan sama seperti dilihat oleh jurukamera melalui kameranya.

Ini memastikan babak filem yang mahu dirakamkan mengikut sudut dan bingkai frame yang dirangka, dibayangkan dan dihajati oleh pengarah.

Kemudahan ini membolehkan tenaga produksi terlibat dalam pembikinan sesebuah filem daripada pengarah, pengarah fotografi, pengarah seni, para pelakon, tenaga teknikal dan kru melihat rupa bentuk babak yang bakal dan sesudah dirakamkan.

Selalunya, babak-babak dilihat lewat VA ketika rakaman dilakukan sudah hampir 90% sama seperti babak-babak bakal ditayangkan di skrin panggung nanti walau tanpa muzik latar, kesan bunyi dan penggredan warna. Melainkan shot dan babak tersebut melibatkan penggunaan CGI – Computer Generated Images. Paling penting shot asas yang mahu dicipta dan diwujudkan pengarah dapat dilihat ketika itu juga. Begitulah canggih teknologi pembikinan filem era sekarang.

Cuba bandingkan proses penggambaran filem secara lama, konvensional tanpa bantuan VA.

Cara pengarahan konvensional ialah sebelum sesuatu babak itu dirakamkan, pengarah akan berbincang dan menerangkan kepada pengarah fotografi, sekali gus merangkap jurukamera tentang komposisi dan rupa bentuk suasana yang mahu diwujudkan oleh pengarah dalam bingkai atau frame kamera.

Komposisi merangkumi aksi, pergerakan pelakon dalam keluasan bingkai kamera.

Elemen-elemen ini perlu selari pergerakan kamera jika shot untuk babak bakal dirakam memerlukan kamera bergerak.

Selalunya kamera bergerak atas dolly track – peralatan serupa landasan atau rel kereta api.

Sering juga kamera bergerak menggunakan kren untuk merakam shot paras rendah sehingga ke paras tinggi. Semua pengarah filem, baik tempatan mahupun luar negara sebelum wujudnya kemudahan VA menggunakan kaedah kerja serupa dan sama seperti di atas.

Melalui proses ini, aku seperti pengarah lain, aku akan bermula dengan melihat melalui lensa kamera untuk membuat komposisi shot dan pergerakan pelakon dan kamera. Setelah aku membuat komposisi pergerakan pelakon dan kamera untuk sesuatu shot, aku akan tunjukkan kepada jurukamera komposisi yang aku mahu wujudkan dalam framing.

Setelah puas hati dengan pergerakan asas kamera, latihan untuk pelakon dijalankan bagi memastikan pergerakan atau blocking mereka selari dengan keluasan bingkai dan pergerakan kamera.

Latihan kamera dan pergerakan pelakon ini paling penting untuk memastikan pergerakan dan kedudukan pelakon sentiasa dalam frame atau bingkai kamera.

Sememangnya satu tugas renyah dan memerlukan masa dan kesabaran untuk mendapatkan komposisi shot dan sudut kamera dimahukan oleh pengarah.

Segala apa yang mahu diwujudkan dalam frame atau bingkai kamera itu hanya pengarah sahaja yang nampak dalam mindanya. Visual atau shot dimahukannya itu dipindahkan ke minda dan pandangan jurukamera lewat komposisi kamera dan pergerakan pelakon yang dilakukan ketika rehearsal atau latihan bersama dengan kamera.

Proses ini dikenali sebagai camera rehearsal. Bila pengarah berpuas hati dengan latihan kamera dan pergerakan pelakon, barulah rakaman shot untuk babak tersebut dilakukan.

Pengarah akan memberi arahan - Camera... Action! Ketika take atau rakaman dilakukan hanya jurukamera sahaja dapat melihat melalui kameranya dan memastikan apa dimahukan pengarah berada dalam bingkai kamera. Pengarah hanya berada di sisi jurukamera memastikan lakonan pelakon sampai ke tahap dimahukannya berdasar cerita terkandung dalam skrip.

Maknanya, bila kamera mula  merakamkan shot, pengarah hanya berserah dan meletakkan kepercayaan seratus peratus kepada jurukamera untuk menghasilkan visual dibayangkannya.

Sangat penting kefahaman cara bekerja dan kemahuan artistik seseorang pengarah mampu dihayati sepenuhnya oleh pengarah fotografi merangkap jurukamera.

Apa juga kesilapan melibatkan aspek teknikal terutamanya dalam memastikan komposisi shot terletak di bahu jurukamera. Jika berlaku kesilapan teknikal hanya diketahui beberapa hari dan ada kalanya seminggu selepas footage atau bahan yang dirakamkan selesai melalui proses di makmal.

Di makmal, bahan filem dirakam dalam bentuk negatif diproses ke positif, dipanggil rushes – bahan awal dalam bentuk filem tanpa suara. 

Waktu menonton rushes merupakan masa paling ‘mengerikan’ semua tenaga kerja serta pelakon dan paling kecut perut ialah pengarah. Jika ada kesilapan hanya akan baharu diketahui ketika itu. Paling mahu dielakkan oleh semua terlibat ialah reshoot – penggambaran semula!

Dengan teknologi VA sekarang, pengarah hanya perlu berbincang dengan pengarah fotografi di depan monitor TV dan memberitahu bentuk, ukuran bingkai atau framing shot dan suasana pencahayaan dimahukan dengan mengarah jurukamera mewujudkan shot
tersebut lewat kamera filem.

Gambaran shot yang dimahukan pengarah terus dan jelas dapat disaksikan melalui skrin monitor TV oleh semua terlibat di saat itu.

Apa yang ada dan mahu dibayangkan pengarah boleh dilihat dan dikongsikan bersama dengan semua tenaga kerja dan kr terlibat dengan cepat dan pantas.

Dengan cara konvensional, hanya pengarah dan jurukamera yang tahu shot bakal dirakamkan. Tetapi kecanggihan teknologi VA membolehkan semua tenaga produksi tahu shot dan babak yang mahu dicipta, dirakamkan oleh pengarah  dengan pantas dan serentak. Mudahkan?