MINGGU ini aku ingin mengajak pembaca berkongsi maklumat dan informasi tentang sejarah adaptasi novel ke filem di peringkat dunia. Filem-filem adaptasi dari Hollywood dan lain-lain sinema luar.
 
Tujuan aku ialah untuk memberi kefahaman dan menambah pengetahuan tentang apa itu adaptasi novel ke filem. Bukan untuk berlagak ‘poyo’ tetapi lebih bertujuan berkongsi informasi dan ilmu tentang  pengadaptasian novel ke filem tempatan dengan adaptasi dilakukan oleh penggiat dan pembikin filem di peringkat dunia, terutamanya Hollywood. 
 
Di Hollywood, sejak 1927-8 bila Academy Award atau Anugerah Akademi dimulakan, 85 peratus pemenang oskar Anugerah Filem Terbaik adalah berdasarkan cerita yang diadaptasi daripada novel.
 
Adaptasi Sherlock Holmes mula dibuat pada tahun 1916 oleh William Gillette. Terdapat lebih 200 versi filem dan siri televisyen diadaptasi daripada novel Sherlock Holmes karya Sir Arthur Conan Doyle  sejak dari era silent movie - filem bisu sehingga sekarang. Paling terkini dan kontemporari ialah siri TV Sherlock (2010) dibintangi oleh Benedict Cumberbatch. 
 
Aku ulang - 200 versi adaptasi daripada hanya satu novel! Bayangkan sejarah proses adapatasi yang telah mereka lalui berbanding dengan kita. 
 
Terdapat hampir 50 versi filem Romeo and Juliet yang diadaptasi daripada karya William Shakespeare. Bermula daripada versi Perancis berjudul Roméo et Juliette (1900) sehingga paling terkini dalam versi animasi 3D berjudul Gnomeo & Juliet (2011) arahan Kelly Asbury. Watak utama, Romeo dan Juliet menggunakan suara James McAvoy dan Emily Blunt. Filem telah menemui penonton pada 11 Februari 2011.
 
Antara filem paling tinggi pulangan keuntungannya adalah filem-filem yang diadaptasi daripada novel. Contoh terdahulu ialah filem klasik Gone With The Wind arahan Victor Fleming yang diadaptasi daripada novel pemenang hadiah Pulitzer 1936 karya Margaret Mitchell. Filem berbajet USD 3.85 juta ini berjaya membuat kutipan pecah panggung USD39O juta pada 1939. 
 
Lihat pula kejayaan pecah panggung filem-filem terkini di antaranya siri The Lord of the Rings (2001-2003) arahan Peter Jackson. Diadaptasi daripada novel karya JRR Tolkien yang dikatakan paling sukar dan mustahil untuk diangkat menjadi sebuah filem. Tetapi di tangan pengarah berasal dari New Zealand, Peter Jackson novel ini berjaya difilemkan dan mengutip keuntungan pecah panggung melebihi USD 2.9 bilion berbanding dengan bajet pembikinannya USD 281 juta.

Bila dan siapa memulakan mengadaptasikan cerita dari buku ke filem?

Pada tahun 1899, Georges Méliès(1861 – 1932) telah menerbitkan dan mengarahkan dua adapatasi kisah  Cinderella berdasarkan buku cerita kanak-kanak Grimmstory dalam bentuk filem bisu. Filem bisu berdurasi 6 minit ini merupakan filem adaptasi daripada buku pertama dihasilkan di dunia.
 
Pada 1902, George Melies mengadaptasi secara longgar dua novel sains fiksyen karya Jules Verne berjudul From Earth to the Moon dan novel The First Men on the Moon karya H G Wells. Pada tahun berikutnya, novel kanak-kanak terkenal Alice in Wonderland karya Lewis Carroll diadaptasi dan diarahkan oleh Cecil Hepworth dan Percu Stow. 
 
Apakah perbezaan paling asas antara buku dan filem?

Filem adalah imej-imej visual bergerak yang merangsang persepsi kita secara langsung, manakala buku merupakan himpunan perkataan bertulis yang hanya mampu merangsang persepsi secara tidak langsung.
 
Contohnya, kita membaca ayat ini daripada novel karya Ramlee Awang Murshid, TOMBIRUO – Kelahirannya yang bukan berwajah manusia itu sering kali disalah tafsir dengan berbagai andaian dan kepercayaan. Ayat ini memerlukan terjemahan mental bagi menggambarkan wajah bukan manusia Tombiruo. Terjemahan mental wajah bukan manusia Tombiruo itu pasti berbeza di antara seorang pembaca dengan pembaca yang lain. Setiap pembaca berupaya dan bebas menterjemahkan tulisan bacaan mereka mengikut imaginasi dan pengalaman masing-masing.
 
Tetapi melalui filem ayat yang sama daripada novel TOMBIRUO itu tidak menuntut penonton melakukan terjemahan mental kerana terjemahan tersebut telah disediakan oleh pengarah dan penulis screenplay atau lakon layar. 
 
Filem adalah satu pengalaman lebih berorientasikan deria pandang dan dengar berbeza dengan bacaan novel. Filem menggunakan selain bahasa lisan, terdapat juga penggunaan warna, pergerakan, bunyi dan muzik. 
 
Dengan ciptaan kesan efek bunyi bermula dengan sistem stereophonic, sensurround diikuti oleh sistem dolby serta penemuan sistem THX dan terkini sistem bunyi dolby digital, penonton dibawa untuk meneroka satu pengalaman cinematic. Ini baharu dari aspek bunyi dan kesan bunyi. Filem sekarang boleh ditonton dalam bentuk 2D dan 3D yang merupakan penambahan pengalaman cinematic untuk kepuasan penonton sekarang. 
 
Dari aspek masa penceritaan, tidak dinafikan kelebihan menyebelahi novel. Lazimnya tiada masa ditetapkan bagi penceritaan atau naratif sesebuah novel. Manakala filem secara amnya mesti mematuhi masa penceritaan atau naratifnya kepada satu durasi yang ditetapkan. 
 
Selalunya filem berdurasi antara satu jam setengah atau 90 minit sehingga 120 minit atau dua jam masa tayangan. Ada juga filem-filem berdurasi lebih dari dua jam sehingga tiga atau empat jam. Tetapi durasi filem sedemikian tidak selalunya diguna pakai kecuali untuk penerbitan filem-filem tertentu yang epik sifatnya.
 
Manakala penceritaan atau naratif sesebuah filem adalah hasil daripada usaha sama satu pasukan produksi dikepalai oleh sang pengarah. Pengarah filem memerlukan pasukan produksi paling asasnya terdiri daripada jurukamera, kru teknikal dan pelakon untuk menghasilkan satu penceritaan filem. 
 
Tiada langsung ruang untuk seseorang pengarah filem bergerak seperti seorang penulis dengan konsep one man show. Mungkin seseorang pengarah itu mampu mengarah, sekali gus menjadi jurukamera, mereka cipta lampu/pencahayaan, mencipta muzik, reka seni, busana, tatarias/mekap dan menyunting sendiri tetapi sang pengarah masih memerlukan pelakon lain walaupun beliau mampu berlakon sebagai hero dalam filem yang dihasilkannya itu.
 
Bagi lebih mudah untuk memahami perbezaan antara penulis novel dan pengarah filem ialah P Ramlee. Rakyat Malaysia mengenali tokoh legenda perfileman ini. Walaupun beliau berkeupayaan membuat semua tugasan dalam menghasilkan sesebuah filem tetapi tidak berupaya untuk menulis secara perseorangan untuk menghasilkan novel.

Mungkin tidak terfikir oleh kita yang P Ramlee tidak pernah mengadaptasikan mana-mana novel Melayu untuk beliau filemkan. Usaha beliau ke arah itu muncul di penghujung hayatnya. P Ramlee bercadang mengadaptasikan novel Sandera (1971) karya Arena Wati untuk syarikatnya sendiri, Rumpun Melayu. Tetapi sayang hajat P Ramlee untuk mengarah filem adaptasi berwarna pertamanya tidak kesampaian apabila beliau pergi buat selama-lamanya pada 29 Mei 1973. 
  
Filem juga tidak memberi ruang dan kebebasan untuk penonton berinteraksi dengan plot atau watak-watak secara berimaginasi dan membayangkan dalam minda mereka seperti sebuah novel. Berinteraksi dengan watak dan plot hanya boleh dilakukan dengan pembacaan bukan dengan tontonan. 
 
Pengalaman ini bagi sesetengah penonton sering mengecewakan mereka. Apa yang mereka imaginasikan tidak sama dengan apa mereka tonton. Tetapi inilah kenyataan hakiki perlu diterima dan difahami bila kita membincangkan aspek menukarkan atau mengadaptasikan sebuah novel ke filem.
 
Memang sering terdapat salah faham dan kekeliruan tentang konsep 'kesetiaan’ pada karya asal dalam membuat adaptasi sesebuah novel ke filem. Salah faham ini sering berlaku melibatkan penulis novel dan pembikin filem tempatan. 
 
Aku akan menulis tentang ini minggu depan.