DI awal dan akhir era 60-an penonton filem Melayu yang tinggal di kawasan luar bandar kebiasaannya hanya berpeluang menonton di pawagam ketika menyambut hari raya sama ada Aidilfitri atau Aidiladha. 
 
Keadaan ini berlaku kerana jarak antara pekan dan bandar utama yang ada pawagam dengan kampung-kampung yang agak jauh. Ditambah dengan keadaan ekonomi dan tuntutan hidup yang tidak membolehkan mereka berbelanja mewah, menonton wayang merupakan aktiviti istimewa untuk anak-anak muda ketika meraikan sambutan hari raya. Menonton wayang tidak boleh dilakukan sebagai aktiviti sosial harian yang lazim dan mudah seperti sekarang.   

Kali ini aku ingin menceritakan suasana dan pengalaman menyambut hari raya dengan menonton wayang di pawagam pada era 60-an. Ia sebuah pengalaman unik yang pasti tidak akan berulang lagi kerana gaya hidup terkini telah banyak berubah berbanding era 60-an.

Jika pengalaman aku dan rakan-rakan sekampung tengok wayang gambar atau menonton filem sempena menyambut hari raya di era 60-an ini ditulis untuk satu skrip filem pendek, sinopsisnya akan aku hasilkan seperti berikut:-
 
Sekumpulan budak-budak lelaki berusia awal remaja berpakat untuk ke bandar Melaka untuk tengok wayang sempena menyambut hari raya Aidilfitri selepas berjaya mengumpul duit raya semasa menziarahi rumah-rumah saudara-mara pada hari raya pertama. Rutin wajib tengok wayang di panggung ialah pada hari raya kedua.

Kumpulan budak-budak ini terdiri daripada Abang Long dan Abang Lan. Mereka paling tua berusia 15 tahun. Diikuti oleh Abang Nan,13 tahun, Awang berusia 12 tahun dan paling muda ialah Mamat berusia 10 tahun.    

Dalam kumpulan ini yang lebih tua selalunya bertindak sebagai ketua tidak rasmi. Pastinya Abang Long akan jadi ketua kerana dia bertubuh paling besar di antara mereka. Abang Long dipertanggungjawabkan oleh keluarga masing-masing untuk menjaga keselamatan mereka yang berpangkat adik-adiknya. 

Dengan berbaju kemeja, seluar dan kasut baharu serta rambut berjambul remos bersikat rapi dengan minyak rambut Brylcream kecuali si Awang dan Mamat, yang berambut ala Beatle walaupun tidak cukup panjang untuk menutup dahi, mereka amat teruja untuk beraya sakan pada hari raya kedua itu.

Kumpulan budak-budak ini keluar rumah seawal 8.00 pagi. Mereka berjumpa dan berkumpul di kedai Ah Chong; satu-satunya daripada dua kedai runcit di kampung itu. Mereka menunggu bas yang datang dari pekan Tampin untuk ke bandar Melaka. Bas-bas kepunyaan syarikat Tai Lye itu akan  mengambil dan menurunkan penumpang di tepi kedai Ah Chong yang terletak di tepi jalan utama.

Mereka terpaksa keluar awal kerana bas yang tiba selepas pukul 9 pagi di kampung mereka selalunya sudah dipenuhi penumpang dan tidak akan berhenti untuk mengambil penumpang baharu. Bas merupakan pengangkutan utama bagi penduduk pekan dan kampung kerana ramai belum mampu memiliki motosikal atau kereta ketika itu.

Sebaik mereka tiba di depan kedai Ah Chong, kelihatan sudah ramai orang menunggu untuk mendapatkan bas ketika hari raya ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Hampir kesemua anak-anak muda dan juga orang-orang dewasa menggunakan bas untuk beraya dan menziarah sanak saudara. Tiga buah bas pertama yang lalu tidak berhenti kerana telah padat dengan penumpang sehingga ada berdiri dan bergayut di pintu. 

Sejuk pagi mula bertukar panas dengan panahan cahaya matahari yang makin meninggi.  

Akhirnya, setelah hampir pukul 10 pagi baharulah ada bas yang mahu berhenti mengambil penumpang walaupun semua tempat duduk sudah penuh.

Mereka bernasib baik berjaya menaikinya dengan membayar tambang bas 25 sen setiap seorang walaupun terpaksa berdiri sepanjang perjalanan hampir 20 kilometer ke bandar Melaka. Paling penting mereka mesti tiba di bandar Melaka sebelum tayangan pertama wayang
gambar.

Tayangan pertama wayang gambar untuk hari itu bermula pukul 12.30 tengah hari. Ini akan diikuti dengan tayangan pukul 2.30 atau 3 petang. Seterusnya tayangan pukul 6.30 petang dan 9 malam. Kumpulan budak-budak remaja ini hanya dibenarkan oleh keluarga mereka menonton tayangan pada siang hari sahaja. Mereka mesti balik ke rumah sebelum senja.

Sebaik sahaja sampai di panggung, mereka terkejut melihat barisan panjang orang ramai beratur untuk membeli tiket walaupun ketika itu kaunter tiket belum dibuka lagi. Barisan untuk membeli tiket paling murah kelas tiga berharga 65 sen paling ramai yang berbaris. 

Kumpulan budak-budak remaja kampung ini berpakat untuk mencuba nasib membeli tiket kelas pertama berharga RM1.25. Nampaknya mereka terpaksa beratur dalam barisan agak panjang juga. Tetapi harapan untuk mendapat tiket kelas pertama ini lebih cerah berbanding dengan tiket kelas tiga tadi.

Ada satu lagi kelas iaitu kelas khas di tingkat atas yang dikenali sebagai circle seats. Tiketnya berharga RM2.80. Tetapi harga tiket ini diluar kemampuan anak-anak remaja ini.

Kaunter tiket dibuka antara setengah jam ke 40 minit sebelum tayangan bermula. Tiket terjual laris bagai pisang goreng panas. Kelihatan beberapa orang pemuda di barisan paling depan membeli tiket dalam jumlah yang banyak. 

Di kaunter tiket kelas tiga terdapat juga sekumpulan pemuda membeli tiket dengan jumlah yang banyak sehingga hampir menimbulkan pergaduhan kerana tidak puas hati terpaksa berebut untuk mendapatkan tiket. Berebut-rebut dan bersesak-sesakan – kecoh!

Abang Lan ditugaskan membeli tiket. Sebaik sahaja giliran Abang Lan tiba di kaunter tiket, nyonya penjual tiket  menyatakan tiket sudah habis dijual sambil menggantung papan notis kecil bertulis – sold out!

Mereka berkumpul di tepi tangga menuju ke tingkat atas kelas khas – circle seat. Berbincang apa hendak dibuat kerana tiket sudah habis. Abang Long mencadangkan mereka tengok pertunjukan pukul tiga. Jika semua setuju, mereka perlu bergilir-gilir beratur mulai sekarang untuk menunggu kaunter tiket untuk tayangan pukul 3 petang dibuka.

Tetapi ibu dan bapa Awang dan Mamat arahkan mereka balik selewat-lewatnya pada pukul enam petang. Tayangan pukul tiga selalunya berakhir pukul lima petang. Dengan mengambil kira masa perjalanan balik, mereka hanya akan sampai ke rumah hampir pukul tujuh malam. Awang dan Mamat takut dimarahi oleh bapa dan emak mereka.

Sedang berbincang mereka didatangi oleh salah seorang pemuda yang membeli tiket dengan jumlah yang banyak tadi. Pemuda itu menawar menjual tiket kelas pertama dengan harga RM2 satu untuk tayangan pukul 12.30 tengahari itu.

Rupa-rupanya pemuda-pemuda tadi adalah penjual tiket blackmarket. Abang Long mencadangkan mereka membeli sahaja tiket black market walaupun mahal sikit. Semua setuju kecuali Mamat tidak cukup duit. Mereka perlu buat keputusan segera kerana ramai orang hendak membeli tiket black market dan jualannya sangat laris. Mereka sepakat menyumbang bagi membolehkan Mamat membeli tiket blackmarket. Balik nanti Mamat akan ganti wang yang didahulukan itu.

Akhirnya, mereka berjaya tengok wayang dan sebelum balik mereka pekena rojak dan cendul. Tamatlah satu episod menyambut hari raya bagi anak-anak berusia awal remaja dari pekan kecil Alor Gajah itu. 

Sinopsis di atas jika dijadikan skrip filem pendek merupakan pengalaman visual berdasarkan pengalaman yang pernah aku alami. Melalui sinopsis ini aku cuba melahirkan suasana dan ragam orang-orang Melayu menonton filem di pawagam sebagai salah satu kegiatan menyambut hari raya di era 60-an.

Ada dua perbezaan jelas sambutan hari raya dalam konteks menonton filem di pawagam dahulu dan sekarang. Aku lihat sekarang kerjaya penjual tiket blackmarket pupus sama sekali dengan lahirnya konsep Cineplex dengan sistem pembelian tiket secara online. 

Kedua, minat orang-orang Melayu menonton filem-filem Melayu di pawagam ketika menyambut hari raya makin berkurangan seiring dengan perubahan masa dan cara hidup.

Apapun, samaada tayangan di pawagam atau melalui televisyen, filem-filem Melayu masih diperlukan bagi melengkapkan ‘juadah’ hari raya selain ketupat, rendang dan lemang.