TULISAN aku tentang filem Kami minggu lalu, membuat beberapa rakan lama yang tidak terlibat dalam bidang perfileman menghubungi aku.

Mereka menonton filem Kami melalui YouTube selepas membaca artikel tersebut. Ada di antara mereka pernah menonton Kami menerusi televisyen dahulu.

Mereka bertanya betulkah aku penolong pengarah Patrick Yeoh untuk filem pertama dan terakhir lakonan Sudirman Haji Arshad itu? Mereka bertanya begitu kerana nama aku tidak ada pada credit titles pembukaan filem dan penutup credit titles akhir filem Kami.

Aku suruh mereka ikuti tulisan aku minggu ini untuk mendapatkan jawapannya.

Filem Kami lebih mendedahkan aku kepada pengalaman berharga mengenali sikap, perangai dan intrik-intrik tipu muslihat di belakang tabir pembikinan sesebuah filem.

Secara langsung dan tidak langsung sikap negatif mereka ini menyumbang kepada lembab dan liatnya filem-filem Melayu untuk berkembang dan maju dengan pemikiran dan sikap baharu selari dengan tuntutan perubahan dalam industri filem Melayu ketika itu.

Tahun-tahun awal 80-an dan akhir 70-an, warung-warung makan berdekatan dengan stesen minyak Caltex di Jalan Pahang Barat merupakan port lepak orang-orang filem.

Pekerja-pekerja belakang kamera dan krew serta pelakon-pelakon menjadikan warung-warung itu tempat untuk melepaskan penat selepas balik shooting atau menunggu untuk pergi shooting.

Senario ini berlaku kerana dua syarikat paling produktif ketika itu Indra Film dan Sabah Film terletak di situ, di bangunan lot kedai di mana Restoran Haslam ada sekarang.

Dalam suasana inilah Patrick Yeoh, Sudirman dan aku cuba untuk menghasilkan filem Kami. Sememangnya pendekatan Patrick dan Sudirman terhadap pembikinan naskhah Kami agak berlainan. Aku selesa dengan pandangan dan impian mereka untuk menghasilkan filem bercorak lain dari filem-filem Melayu yang dihasilkan ketika itu.

Aku telah menyusun jadual penggambaran untuk 50 hari tetapi penggambaran filem Kami hanya mampu disiapkan setelah mencecah hampir lebih tiga bulan.

Aku tidak pasti jumlah hari sebenar kerana aku telah meninggalkan produksi itu selepas cuba bertahan selama hampir 60 hari untuk menghabiskan penggambaran walaupun kontrak aku hanya untuk 50 hari.

Kenapa masalah ini terjadi? Aku lihat ketika itu terdapat kelompok yang berasakan Patrick Yeoh tidak layak memegang teraju utama sebagai pengarah. Kelompok ini akan cuba mencari kelemahan dan kesilapan pengarah.

Ramai dalam kelompok ini merupakan generasi pembikin filem yang berhijrah ke Kuala Lumpur selepas penutupan studio Jalan Ampas dan Cathay Keris di Singapura.

Cara kerja dan kesefahaman yang aku cuba jalin dan praktikkan dengan Patrick ialah setiap kali sebelum penggambaran sesuatu babak dilakukan aku akan bertanya Patrick apa mahu digambarkannya berdasarkan skrip.

Kami berbincang dan aku akan mencadangkan pergerakan kamera dan pelakon. Aku membantu beliau untuk memastikan babak-babak yang bakal dirakamkan tidak akan mengalami masalah dari segi kesinambungan ketika di peringkat penyuntingan kelak.

Membantu dari aspek teknikal menjadi keutamaan aku supaya penggambaran berjalan lancar. Pembaca, pelajar filem dan pembikin filem generasi sekarang perlu tahu ketika itu tidak ada kemudahan video assist.

Semuanya bergantung kepada hanya kekuatan minda untuk menvisualkan babak-babak yang ingin dihasilkan oleh sang pengarah.

Selepas aku mendapat kepastian daripada Patrick tentang pergerakan pelakon-pelakonnya, aku akan berbincang dengan jurukamera untuk penataan pencahayaan. Sistem kerja ini mulanya berjalan lancar tetapi bila masuk minggu kedua keadaan mula berubah.

Perubahan berlaku bukan kerana ketiadaan kesefahaman antara aku dengan Patrick tetapi lebih kepada sikap pengkritik luar yang tidak terlibat dalam produksi ini. Mereka  mempersoalkan kebolehan Patrick untuk mengarah kerana banyak masa kononnya terbuang kerana perbincangan di set.

Perbincangan kami di set merupakan perbincangan untuk memuktamadkan pelaksanaan sesuatu babak berdasarkan skrip.

Terus-terang aku nyatakan, sebagai penolong pengarah aku hafal setiap babak dalam skrip itu - muka surat demi muka surat. Perbincangan ini perlu kerana bila kami berada di lokasi keadaan dan suasana akan berubah. Kami perlu membuat penyesuaian untuk memenuhi kehendak skrip walaupun lokasi-lokasi itu telah direcce sebelum ini.

Aku tidak tahu apa motif sebenar puak-puak ini bertindak begini. Apa yang pasti suara-suara sumbang ini datang dari mereka-mereka yang kononnya lebih tahu ‘bikin gambar.’

Warung-warung menjadi tempat gosip-gosip ini tersebar luas. Aku sebenarnya menyampah dan meluat dengan perangai puak-puak ‘serba pandai bikin filem’ ini. Aku tidak pernah melalui pengalaman seperti ini ketika bekerja dalam bidang pembikinan filem iklan.

Aku berjanji kepada diriku untuk cuba bertahan semampu boleh bila berdepan dengan kerenah-kerenah ‘bodoh’ ini. Episod cucuk dan menikam dari belakang ini makin hari makin sukar dikawal.

Suasana di set penggambaran pula bertambah kecoh dan bercelaru. Ramai ‘bijak pandai’ turut sama mahu terlibat untuk ‘call for shot’. Aku terus bertahan walaupun aku mengalami tekanan dan tension.   

Akhirnya aku meninggalkan produksi Kami kerana kontrak aku telah tamat walaupun penggambaran masih ada berbaki kurang lebih 60 peratus  lagi.

Aku boleh sahaja bertahan sehingga penggambaran selesai tetapi aku sudah tidak ada mood dan bosan dengan sikap PHD (perasaan hasad dengki) yang sering dikaitkan dengan sikap kebanyakan orang-orang Melayu dulu, kini dan mungkin selamanya.

Aku lihat produksi filem Melayu tidak banyak ketika itu. Rasanya tidak salah jika aku berpendapat kehadiran pengarah dan orang-orang baharu dalam filem seperti Patrick Yeoh akan menyempitkan peluang orang-orang lama ini untuk mengarah.

Tindakan aku berhenti itu mungkin menyebabkan nama aku digugurkan dari credit titles filem Kami. Aku bertindak berhenti berlandaskan undang-undang.

Aku telah memenuhi tuntutan kontrak yang menyatakan penglibatan aku sebagai penolong pengarah dan pengarah seni hanya untuk 50 hari penggambaran.

Walaupun nama aku tidak tercatat pada credit titles filem Kami tetapi aku percaya kepada konsep yang benar tetap benar. Ini terbukti selepas hampir 30 tahun berlalu.

Dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 bersiaran sempena mengingati 20 tahun kepergian Allahyarham Sudirman pada 22 Februari 2012, pelakon Zul Zamanhuri, kini berusia awal 40-an yang memegang watak Din menyatakan nama aku sebagai penolong pengarah kepada Patrick Yeoh.

Menurut Zul Zamanhuri ini merupakan satu kombinasi yang bagus.

Terima kasih Zul Zamanhuri aka Din dan Al-Fatihah buat Allahyarham Sudirman aka Tookoo – KAMI.