LAMA aku mencari buku ini kerana naskhah kepunyaanku lesap sejak lewat 90-an. Mungkin aku tersilap letak atau hilang ketika berpindah rumah. Mungkin juga ada rakan meminjam tetapi terlupa hendak pulangkan semula atau sahaja hendak buat harta sendiri.

Minggu lalu, aku jumpa semula buku ini yang merupakan kepunyaan peribadi seorang rakanku. Buku yang aku maksudkan ialah Kritikan Filem Mansor bin Puteh – terbitan 1995.

Buku ini menghimpunkan artikel kritikan filem dan drama televisyen ditulis oleh Mansor Puteh sejak awal 80-an sehingga pertengahan 80-an. Beliau menulis kritikan filem ini sebaik kembali ke tanah air daripada menuntut dalam bidang perfileman di Columbia University, New York pada awal 1981. Kebanyakan artikel kritikan filem beliau ini tersiar di akhbar Berita Minggu dan Utusan Malaysia ketika itu.

Bila aku baca semula buku ini selepas 20 tahun diterbitkan, aku makin berupaya melihat kritikan dan artikel nukilan Mansor ini dengan perspektif lebih luas dan terbuka. Berlatar belakangkan sejarah seni dan hiburan, khususnya bidang perfileman tanah air sejak awal 80-an sehingga kini, bacaan semula ini membolehkan aku mendapat banyak input baharu.

Ada isu dibangkitkan beliau lewat kritikan filemnya dahulu masih relevan sehingga sekarang. Masih segar untuk direnung dan dibincangkan dalam konteks perkembangan filem Melayu dan Malaysia semasa.

Pada era 80-an, kritikan filem Mansor sangat tidak disenangi oleh hampir kebanyakan pembikin dan pengarah filem tempatan ketika itu. Beliau secara tidak resmi merupakan ‘musuh’ khalayak dan komuniti filem, seni dan hiburan Melayu tempatan. Baik daripada pengarah, produser sehingga wartawan hiburan akhbar dan majalah Melayu tempatan.

Aku masih ingat dalam satu sesi dialog filem di Finas pada awal 80-an, Mansor hadir dan dihujani komen dan ramai mempertikaikan kritikannya tentang filem Bukit Kepong, arahan Jins Shamsudin yang tersiar dalam akhbar sebelum itu.

Di sesi dialog itu, isu kritikan beliau dibangkitkan. Ramai tidak puas hati dan marah dengan kritikan beliau. Kritikan pedas Mansor yang menyamakan letupan senjata api, bom tangan dan insiden-insiden kebakaran terdapat dalam filem Bukit Kepong yang menelan kos mahal sama seperti letusan sebiji petas atau mercun sahaja!

Filem-filem siri ‘esok’ oleh pengarah Jins Shamsudin sering dikritik dan dikupas oleh Mansor. Kritikan beliau sememangnya pedas dan sering disalah tafsir dan disalah erti oleh komuniti filem Melayu tempatan ketika itu.

Sejujurnya aku setuju dan sependapat dengan kebanyakan kritikan beliau. Aku berpendirian begitu kerana kepada aku, Mansor mengkritik dan berhujah berlandaskan ilmu. Beliau belajar ilmu filem dan tahu sejarah filem dunia.

Ilmu filem dan sejarah filem dunia penting jika seseorang mahu menjadi filmmaker atau mahu terlibat dalam bidang perfileman. Tiada kompromi dan jalan pintas. Ini adalah syarat wajib.

Hakikat ini sukar diterima dan difahami oleh kebanyakan pembikin dan penggiat filem tempatan ketika itu. Ramai masih beranggapan bidang filem sekadar aktiviti melibatkan hiburan sahaja. Kenapa dan mengapa sikap ini wujud sukar aku fahami dan perjelaskan. Mungkinkah ini sikap semula jadi orang-orang Melayu? Aku harap pandanganku ini silap.

Untuk pengetahuan pembaca generasi sekarang, pembikin dan pengarah filem yang belajar dan mempunyai ilmu perfileman ketika itu sangat kecil bilangannya. Pembikin dan pengarah filem era 80-an yang mempunyai kelulusan filem pastinya pernah mengikuti kursus perfileman di luar negara seperti di London, New York, Los Angeles dan Indonesia. Kita belum ada lagi institusi pengajian tinggi dan universiti tempatan menawarkan kursus perfileman pada ketika itu.

Berbalik kepada kesukaran pembikin dan penggiat filem Melayu menerima kritikan dan pandangan Mansor pada awal 80-an. Ketika itu bidang pembikinan filem Melayu dipenuhi dan dimonopoli oleh bekas tenaga kerja produksi, pembikin dan pengarah filem daripada studio Jalan Ampas dan studio Cathay Keris, Singapura. Mereka berhijrah ke Kuala Lumpur setelah kedua studio pengeluar filem Melayu tersebut ditutup pada awal 70-an.

Penghijrahan ini turut membawa sama mentaliti dan daya fikir kreatif bentuk lama. Masih berpegang dengan saki-baki cara kerja dan mentaliti lama 50-an dan 60-an - era hitam putih. Ini berlaku kerana filem-filem diproduksikan di kedua studio Singapura ini kesemuanya dalam hitam putih kecuali kurang dari lima judul dalam bentuk warna. Sedangkan pada awal 70-an kebanyakan negara di rantau Asean seperti Indonesia mula menghasilkan filem dalam bentuk warna.

Pada masa sama filem kita juga mula dihasilkan dalam bentuk warna. Tetapi pengisian, terutamanya cerita dan olahan skrip masih berlegar tentang kisah dan idea lama yang sesuai dengan era filem hitam putih.

Luarannya bertukar kepada warna tetapi isi dalamannya masih hitam putih. Begitulah senario atau latar belakang suasana bidang perfileman Melayu tempatan yang berpusat di Kuala Lumpur pada pertengahan 70-an.

Melangkah ke era 80-an, bidang perfileman berpusat di Kuala Lumpur yang hampir sedekad ini dikuasai oleh bekas pembikin filem era Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura, mula melihat kehadiran dan partisipasi golongan muda yang tidak ada hubungan langsung dengan bekas kedua studio penerbitan filem Melayu di Singapura sebelum ini.

Golongan ini mewakili pembikin dan penggiat filem tulen negara ini. Rata-ratanya, golongan baharu ini merupakan lulusan pengajian bidang filem dari luar negara dan juga mereka yang terlibat dalam pembikinan filem iklan. Ada yang berlatar belakangkan penglibatan dalam teater.

Berbeza dengan pembikin dan pengarah filem era Jalan Ampas dan Cathay Keris, ramai di antara generasi baharu ini juga terlibat dan bermula sebagai pengkritik filem. Selain Mansor, seorang lagi pengkritik filem yang lantang menyuarakan kelemahan filem dan keadaan serabut bidang perfileman tempatan lewat tulisannya ialah Dr Anuar Nor Arai (1943-2010), graduan filem daripada University California, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Pertentangan pandangan dan idea tentang cara pembikinan filem, olahan idea dan isu yang diangkatkan lewat filem Melayu terjadi kerana pendapat serta pandangan generasi baharu ini lebih terbuka dan berlandaskan ilmu.

Ketika sesi dialog filem di atas, Mansor mengkritik filem Bukit Kepong terutamanya babak-babak pertempuran antara polis dengan gerombolan komunis dengan membuat rujukan filem bisu Rusia, Battleship Potemkin (1925) arahan Sergei Eisentein. Beliau cuba memberi pandangan tentang kelemahan pengarah filem Bukit Kepong dalam memahami aspek masa filem berbanding masa biasa – masa di luar filem.

Jika mahu diterima dengan fikiran terbuka, sepatutnya hadirin sesi dialog tersebut dan komuniti filem Melayu ketika itu sepatutnya berterima kasih kepada Mansor kerana memberi ‘kuliah’ percuma sebagai ilmu bantu kepada mereka tanpa perlu masuk universiti belajar filem.

Aku sendiri menyaksikan seorang penerbit menegur (baca memperli) Mansor yang kononnya beliau cuba berlagak pandai kerana belajar filem di luar negara. Penerbit tersebut tidak puas hati kerana Mansor cuba mengajar mereka yang sudah banyak menghasilkan filem sedangkan Mansor belum mengarah filem lagi ketika itu.

Ketika itu aku terfikir jika sikap bodoh sombong, iri hati serta berminda tertutup ini tidak diubah maka sukarlah untuk memajukan industri perfileman kita. Aku perhatikan ketika itu, komuniti filem Melayu masih belum faham pentingnya peranan pengkritik filem.

Bila artikel kritikan filem Mansor sepanjang era 80-an dibukukan sedekad kemudian, maka tepat sekali kenyataan di kulit buku tersebut – Tokoh Perfileman Malaysia yang kontroversial; membawa pendekatan dan pemikiran baru dalam perusahaan filem nasional masa kini...