KETIKA pertemuan malam 5 Januari 2016 itu, Pyanhabib beritahu dan menunjukkan aku tentang satu klip video kempen TPPA Malaysia sedang viral di alam siber. Klip video itu merupakan bahan kempen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menerangkan kepada umum tentang apa itu – Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA). TPPA, isu yang hangat diperkatakan sekarang dengan pro dan kontranya.

Ketika ini kerajaan sedang berusaha memberi kefahaman kepada rakyat. Aku lihat klip video ini merupakan salah satu bahan kempen penerangan TPPA.

Penghasilan klip video dan penerangan tentang TPPA dihasilkan oleh pihak TPPA Malaysia ini telah menggunakan dua babak daripada filem sulung arahanku pada 1986, Kembara Seniman Jalanan.

Pertama, babak watak Bujang diperankan oleh M Nasir (Datuk) sedang melayan watak Osman Tikus, diperankan oleh Pyanhabib. Dalam babak ini Bujang memberitahu Osman Tikus yang dia mahu jadi penyanyi. Tetapi cita-cita Bujang itu dipersoalkan oleh Osman Tikus kerana masalah cetak rompak yang berleluasa pasti menghasilkan keadaan tidak berbaloi buat Bujang.

Petikan kedua digunakan oleh TPPA Malaysia daripada filem sulungku itu ialah babak kekecohan di mana Bujang (M Nasir) dan Osman Tikus (Pyanhabib) menyerang Encik Johan, tauke syarikat rakaman yang diperankan oleh Majid Salleh dan penyanyinya, diperankan oleh Shah Reza (Datuk) pada majlis pelancaran album terbaharunya.

Jadi apa yang Pyanhabib tidak puas hati dengan klip video yang sedang viral itu?

Beliau menghubungi Zarul Hisham AlBakri, produser dan pemilik hak cipta filem Kembara Seniman Jalanan bertanyakan sama ada pihak TPPA Malaysia ada menghubunginya untuk memaklumkan dan meminta izin untuk penggunaan bahan-bahan tersebut. Zarul memaklumkan kepada Pyanhabib pihak TPPA Malaysia tidak menghubunginya bagi memperoleh kebenaran.

Zarul juga tidak tahu menahu tentang kewujudan klip video itu sehinggalah Pyanhabib menghubungi beliau. Senario ini membuat Pyanhabib tidak berpuas hati. Beliau telah memuat naikkan klip video kempen TPPA tersebut di akaun Facebooknya (Mukabuku)

Isu ini merupakan topik hangat perbualan kami ketika sesi mengeteh tarik pada malam itu. Pyanhabib menunjukkan kepada aku respons peminat dan pengikut Mukabukanya. Mereka rata-rata berkongsi ketidakpuasan hati dan rasa jengkel Pyanhabib terhadap klip video kempen TPPA Malaysia itu.

Pyanhabib meminta pandangan aku mengenai tindakan TPPA Malaysia menggunakan bahan-bahan daripada filem Kembara Seniman Jalanan arahan pertamaku tanpa meminta kebenaran daripada produser dan tuan punya hak cipta filem tersebut. Sebelum aku memberi pandangan dan pendapat mengenai isu ini, aku telah membaca reaksi pihak TPPA Malaysia lewat Mukabuka Pyanhabib.

Menurut TPPA Malaysia, tidak perlu pihaknya meminta izin untuk menggunakan bahan-bahan daripada filem Kembara Seniman Jalan kerana filem tersebut ditayangkan kepada umum pada 1986 setahun sebelum Akta Hak Cipta 1987 dikuatkuasakan.

Akta Hak Cipta 1987 menjelaskan, penggunaan bahan yang dilindungi hak cipta bagi tujuan bukan komersil termasuk penyiaran bukan komersil bukan satu kesalahan. Inilah komen balas TPPA Malaysia kepada komen-komen peminat dan pengikut Mukabuku Pyanhabib.  

Aku bukan pakar bidang undang-undang dan aku tidak berani hendak mentafsirkan undang-undang. Senang cerita ini bukan bidang kepakaran aku. Begitu juga Pyanhabib.

Aku, Pyanhabib dan ramai peminat dan pengikut Mukabuku Pyanhabib berasakan TPPA Malaysia seperti bertindak cakap tidak serupa bikin – dalam berkempen memberi kesedaran tentang kesan keburukan kegiatan cetak rompak tetapi pihak TPPA Malaysia sendiri menghasilkan klip video kempen dengan menggunakan bahan-bahan karyawan tempatan tanpa memaklumkan kepada pemiliknya.

TPPA Malaysia tidak berusaha mengamalkan budaya menghormati pemilik hak cipta sesuatu kerja seni dengan sekurang-kurangnya cuba hubungi Zarul, produser Kembara Seniman Jalanan memaklumkan penggunaan bahan-bahan tersebut.

Walaupun Akta Hak Cipta 1987 membolehkan penyiaran bahan tersebut kerana tujuan bukan komersial. Zarul sendiri dalam kenyataannya lewat sebuah portal online menyatakan supaya pihak TPPA Malaysia sekurang-kurangnya menghubungi dan memaklumkan kepada beliau. Atas dasar courtesy – adab menghormati pemilik tuan punya karya seni tersebut.

Kita sering berbangga dengan kata-kata – kita orang Timur lemah-lembut penuh adat sopan. Bukankah usaha kecil memaklumkan kepada tuan punya hak cipta karya seni itu melambangkan kita ini bangsa beradab sopan? Kita kan orang Timur bukan orang utan!

Gambaran aku dapat selepas membaca komen dan hujah antara peminat, pengikut Mukabuku Pyanhabib dengan TPPA Malaysia tentang isu ini ialah sikap ambil mudah tanpa menghiraukan rasa dan harga diri pemilik hak cipta sesuatu karya seni.

Kebanyakan kita mula bersifat robotik dalam memenuhi tuntutan undang-undang ciptaan kita sendiri. Kita makin hilang nilai manusiawi. Terus-terang aku nyatakan bukan senang hendak menghasilkan sesuatu karya seni dan bukan semua orang boleh melakukannya. Jika tidak tahu atau tidak mahu menghormati karya seni, sekurang-kurangnya belajar menghormati perasaan sang pengkaryanya.

Aku juga tertarik dengan komen balas daripada TPPA Malaysia lewat Mukabuku Pyanhabib yang memberi gambaran bahawa filem Kembara Seniman Jalanan tidak dilindungi oleh Akta Hak Cipta 1987 dan boleh digunakan tanpa meminta izin tuan punya karya kerana filem itu ditayangkan pada 1986.

Setahu aku undang-undang hak cipta negara pertama diperkenalkan pada 1969 – Copyright Act 1969. Akta Hak Cipta 1987 adalah pengganti kepada Akta Hak Cipta 1969. Apakah filem Kembara Seniman Jalanan tidak dilindungi oleh Akta Hak Cipta 1969?

Aku rasa soalan sama boleh aku ajukan bila kita membincang hak cipta lagu-lagu dan filem-filem Melayu yang dihasilkan selepas 1969. Aku bukan pakar undang-undang, cuma aku melontarkan buah fikiran untuk dikongsi bersama bila kita berbicara tentang isu hak cipta.

Sepanjang minggu lalu, isu klip video kempen TPPA Malaysia yang viral ini diberi liputan oleh portal berita online berkenaan. Menurut laporan portal tersebut, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak tahu menahu mengenai klip video mempromosi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang menggunakan bahan tanpa izin pemegang hak cipta. Beliau juga menyatakan tidak pasti akaun TPPA Malaysia itu terletak di bawah kementeriannya.

Menurut laporan portal tersebut lagi -  Seorang pegawai kementerian itu bagaimanapun menyatakan, pihaknya hanya mempunyai satu akaun rasmi di Facebook, iaitu “Ministry of International Trade and Industry.”

Siapa sebenarnya di belakang penghasilan dan penyebaran klip video kempen? Akaun TPPA Malaysia ini milik siapa?