BILA menyebut dan berfikir tentang Allahyarham Hussein Haniff, aku pasti teringat tulisan Allahyarham Dr Anuar Nor Arai dalam kertas bahasnya tentang perbandingan antara pengarah Hussein Haniff dengan P Ramlee.

Menurut Dr Anuar - "Kita la ni di Malaysia kalau I katakan Hussin Haniff dalam banyak filem lebih baik daripada P Ramlee. Siapa nak setuju?" Dalam melontar pandangan dan pendapat menongkah arusnya, Dr Anuar menganggap Hussein lebih memenuhi kriteria filmmaker atau pembikin filem berbanding P Ramlee.

Pada pandangan beliau, P Ramlee penghibur rakyat all rounder sedangkan Hussein lebih menumpukan kelebihan keupayaan berkaryanya khusus untuk filem, terutamanya dari aspek teknikal selain aspek penceritaan naratif. Hussein bukan pelakon, pemuzik, penyanyi, pelawak seperti P Ramlee. Hussein lebih terarah untuk menjadi seorang filmmaker tulen.

Lebih-lebih lagi Hussein bermula sebagai penyunting filem dan bukan sebagai pelakon. Aku boleh bersetuju dengan Dr Anuar berdasarkan ilmu  filem aku pelajari dan pengalaman aku lalui dalam bidang perfileman sejak 1978 sehingga kini.

Pengarah yang jarang atau tidak langsung muncul berlakon di depan kamera berbanding pengarah filem yang menggalas dua tanggung jawab, mengarah dan berlakon terutama watak hero atau watak utama ternyata ada kelainan pada filem-filem arahan mereka.

Aku perhatikan shot dan angle lebih sinematik kurang dapat dinikmati penonton bila menonton filem-filem yang diarah dan pemeran watak utama adalah orang yang sama - dia hero dan dia juga pengarah.

Di sini letak perbezaan antara Hussein dengan P Ramlee dan pengarah-pengarah lain seangkatannya ketika itu. Melalui Yunos Alwi, bekas pengurus produksi syarikat filem iklan, PROFILM yang aku ceritakan minggu lalu, aku berhasil memahami keadaan ini.

Aku diberitahu beliau bagaimana Hussein melakukan penggambaran filem Dua Pendekar (1964) yang melibatkan babak-babak watak Adam, sang hero diperankan Yusof Latif.

Babak-babak ini divisualkan Adam dengan tangan terikat diheret dan diseksa dalam hujan lebat menuju ke puncak bukit untuk menjalani hukuman seksa oleh Awang Lekiu, watak crook yang diperankan Salleh Melan.

Menurut Yunos, pada hari penggambaran babak tersebut, hujan sejak pagi. Mereka tidak tahu sama ada mahu membatalkan atau menangguhkan penggambaran ke hari lain. Dari pengamatan mereka yang terlibat berasakan hujan itu mungkin lambat teduh.

Akhirnya, Hussein membuat keputusan untuk meneruskan penggambaran walaupun dalam skrip asal babak ini tidak berlaku dalam hujan.

Beliau berani mengambil risiko dan mengeksploitasi keadaan yang berlaku di luar jangkaan itu untuk menghasilkan sesesuatu lebih sinematik. Sememangnya, keadaan menyebelahi Hussein kerana hujan sepanjang hari itu. Sehingga selesai penggambaran baharulah hujan berhenti.

Apa yang dapat aku fahami dan pelajari daripada penceritaan Yunos itu? Aku berjaya menemui jawapan kepada soalan yang selama ini aku cari sejak berusia 10 tahun. Bagaimana Hussein menghasilkan babak-babak tersebut dalam suasana berlatar belakangkan hujan lebat?

Pastinya, tiada penggunaan tenaga bomba untuk menghasilkan ‘hujan’ kerana nasib menyebelahi Hussein. Beliau bergantung seratus peratus kepada hujan asli sepanjang penggambaran sekuen tersebut.

Aku juga berjaya memanfaatkan daripada penceritaan Yunos, bagaimana pentingnya seseorang pengarah memiliki daya penumpuan serta kekuatan minda dalam mencipta shot-shot dan mereka cipta camera angle atau sudut-sudut kamera dalam satu suasana kritikal yang paling di luar jangkaan.

Dalam kes ini Hussein terpaksa bekerja mungkin sehingga seratus kali ganda lebih cepat daripada biasa kerana ketika itu tiada siapa tahu dan boleh meramalkan bila hujan lebat itu akan berhenti.

Aku rasa semua pengarah filem atau drama (baik otai mahupun yang baharu) pernah mengalami dan melalui keadaan di mana penggambaran perlu dilakukan dengan pantas dalam keadaan kritikal. Sang pengarah terpaksa mengejar waktu dengan suasana kerja mendesak.

Bila-bila masa  boleh menimbulkan keadaan luar kawalan pengarah. Bayangkan dalam keadaan mendesak ini, sang pengarah perlu memikirkan dan menerangkan bagaimana framing untuk menyusun komposisi shot-shot dan camera angle atau sudut kamera yang mahu divisualkan kepada jurukamera.

Dalam masa sama sang pengarah perlu memberi arahan kepada pelakon-pelakon apa emosi dan suasana mahu dilahirkan dan bagaimana blocking atau pergerakan perlu dilakukan. Pergerakan pelakon-pelakon ini pula mesti berada dalam kawalan bingkai atau framing yang bakal diwujudkan dan dirakam melalui kamera oleh si jurukamera.

Semua ini hanya boleh dipastikan tepat dan muktamad selepas rehearsal atau latihan dilakukan bersama kamera.

Semua usaha untuk memastikan framing, camera angle, blocking pelakon mesti akhirnya memenuhi tuntutan continuity atau kesinambungan visual dalam konteks menyunting semua bahan atau shot yang dirakamkan itu boleh disambung editor atau penyunting filem di peringkat proses penyuntingan. Inilah proses filmmaking kritikal.

Pengarah tersohor dunia, Akira Kurosawa (1910-1998) berkata - Films are made on editing table!  Kefahaman daripada kata-kata Akira itu ialah filem sebenarnya dihasilkan atau penghasilan muktamadnya semasa proses penyuntingan bukannya ketika penggambaran. Shooting atau penggambaran dilakukan oleh sang pengarah cuma proses merakam dan mengumpul bahan mentah sahaja.

Continuity atau kesinambungan adalah pembinaan setiap babak yang dihasilkan lewat rentetan shot yang cukup jumlahnya. Shot ini mesti berhasil berfungsi melahirkan naratif, mood dan apa jua yang mahu diceritakan oleh skrip melalui perantaraan penghasilan shot yang diarah sang pengarah dan dirakamkan oleh jurukamera.    

Jika shot tidak cukup, tertinggal dan gagal dirakamkan, ini menyebabkan shot-shot untuk sesuatu babak itu tidak boleh disambung. Terpaksalah dilakukan reshoot atau penggambaran semula untuk mendapatkan shot-shot yang tercicir itu.

Tahap cabaran dilahirkan keadaan sebegini lazimnya tidak seberat cabaran dilalui Hussein ketika buat penggambaran sekuen yang diperkatakan di atas. Apatah lagi sekarang dengan kemudahan efek dan CGI boleh menyelesaikan masalah - faktor paling penting kemampuan tampung kos melibatkan efek dan CGI, produser mesti ada bajet besar!

Jika Hussein tertinggal satu shot ketika membuat penggambaran babak Adam diheret dan diseksa dalam hujan lebat, bayangkan bagaimana melakukan penggambaran semula dengan continuity hujan lebat sebagai elemen utama dan penting.

Ada beberapa solusi boleh diambil mana-mana pengarah yang berdepan keadaan sebegini. Pertama, menggunakan khidmat bomba untuk buat ‘hujan’. Tetapi jika dilihat pada framing kamera yang mahu divisualkan oleh Hussein untuk babak-babak sekuen ini melibatkan lokasi yang luas.

Hampir pasti hujan tiruan dihasilkan oleh pihak bomba tidak berupaya meliputi keluasan lokasi tersebut. Apakah Hussein, waima siapa sahaja pengarah yang terpaksa melalui masalah ini akan hanya berpuas hati menghasilkan cuma shot-shot - closeup dan medium shot?

Bolehkah shot penggambaran semula ini dipadankan kesinambungannya daripada aspek pencahayaan dan mood dengan shot-shot asal yang dirakamkan sebelum ini dalam suasana hujan asli bukan tiruan?

Kedua, melakukan semula penggambaran keseluruhan babak sekuen tersebut dalam keadaan baharu iaitu tanpa hujan. Ini memudahkan penyuntingan daripada aspek continuity. Pastinya solusi ini mengakibatkan penambahan kos - meletup bajet!

Apa membolehkan Hussein berani membuat keputusan untuk meneruskan penggambaran sekuen tersebut dengan hanya bergantung kepada hujan ‘asli’? Dalam masa sama beliau dikenali seorang yang mengutamakan kesempurnaan - perfectionist.

Aku sambung minggu depan untuk ketahui kenapa Hussein berani meneruskan penggambaran sekuen penyeksaan Adam itu dalam hujan lebat. Untuk maklumat pembaca, filem Dua Pendekar arahan Hussein ini boleh ditonton melalui Youtube. Tontonlah filem klasik ini bagi memudahkan ikuti tulisan aku mengenai Allahyarham Hussein Haniff ini.