AKU nyatakan minggu lalu – aku menonton filem Dua Pendekar (1964) arahan Hussein Haniff ketika berusia 10 tahun. Dalam keadaan naif tanpa sebarang pengetahuan dan ilmu filem tetapi filem tersebut berjaya memukau aku dengan visual-visual yang belum pernah aku lihat dalam filem-filem Melayu lain sebelumnya.

Satu pengalaman unik pernah aku alami. Aku gagal mencari jawapan kenapa aku minat ‘gila’ dengan filem tersebut ketika itu. 

Selepas hampir 20 tahun kemudian setelah aku mempelajari dan ada ilmu filem serta terlibat dalam industri filem baru aku bertemu jawapan kenapa dan bagaimana kelainan filem Dua Pendekar meninggalkan impak dan kesan mendalam kepada diriku sehingga Hussein menjadi inspirasiku untuk menjadi seorang pembikin filem atau filmmaker.

Secara tidak rasmi aku mengenali siapa Allahyarham Hussein Haniff selepas hampir 12 tahun beliau meninggal dunia. Beliau meninggal dunia pada 1966 ketika baharu berusia 32 tahun akibat penyakit barah.

Aku memulakan kerjaya sebagai filmmaker pada 1979 di syarikat filem iklan, PROFILM SDN BHD. Di syarikat inilah aku mengenali Yunos Alwi, pengurus produksi setiap penerbitan filem iklan syarikat ini. Selain banyak menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang pengurusan produksi, tanpa aku sangka melalui beliau aku berpeluang mengetahui lebih dekat tentang pengarah idolaku, Allahyarham Hussein.

Sebelum bertugas dan menjadi salah seorang pemilik syarikat filem iklan, PROFILM, Yunos telah lama terlibat dalam bidang perfileman sejak dari era Cathay Keris, Singapura sehingga ke syarikat filem iklan Pearl&Dean yang beribu pejabat operasinya di Kuala Lumpur pada tahun awal 70-an.

Sebelum studio Cathay Keris tutup sepenuhnya pada 1973, Yunos beralih ke bidang pembikinan filem iklan dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Dari Peral&Dean, beliau dan rakan-rakan kongsi lainnya termasuk Hafsham telah menubuhkan syarikat PROFILM pada 1975.  

Jika dilihat pada nama-nama petugas teknikal dalam produksi kebanyakan filem-filem arahan Hussein akan muncul nama Yunos sebagai pembantu jurukamera. Bila aku diberitahu oleh Yunos yang beliau rapat dan sering terlibat dalam produksi filem-filem arahan Hussein, aku sangat teruja. Aku mengambil peluang ini untuk lebih mengetahui dan bertanya tentang Hussein baik sebagai filemmaker mahupun sebagai seorang manusia biasa – rakan kepada Yunos.

Dari perbualan dan sembang-sembang santai aku dengan Yunos, aku berpeluang mengutip kisah dan pengalaman peribadi antara beliau dengan Allahyarham Hussein. 

Menurut Yunos, Allahyarham Hussein seorang workarholic – seorang yang terlalu obses dan ‘gila’ dengan kerjanya. Hidup seharian Hussein hanya tertumpu kepada filem dan filem. Hussein mempunyai kelompok rakan-rakan daripada pasukan teknikal ‘sekepala’ dengannya dan sentiasa setia membantu Allahyarham untuk melahirkan idea-idea dan visual-visual kreatif yang selalunya sukar dan jarang mahu dicuba oleh pengarah lain.

Jika tidak ada shooting, Hussein akan mengajak mereka menonton filem-filem terbaharu terutamanya filem-filem Barat dan Hollywood yang ditayangkan di panggung ketika itu.

Habis menonton mereka akan melepak dan berbincang tentang filem-filem yang baharu mereka tonton. Yunos adalah salah seorang dalam kelompok ini. 

Menurut Yunos, Allahyarham Hussein sangat meminati pelakon James Dean (1931-1955), seorang legenda dan ikon filem dunia – hero filem Rebel Without A Cause (1955) arahan Nicholas Ray (1911-1979).

Sebelum menduduki kerusi pengarah, Hussein bertugas sebagai penyunting filem di studio Cathay Keris. Di antara filem terkenal suntingan beliau ialah Sri Mersing (1961) arahan Salleh Ghani (1923-1986). Sepanjang kerjaya singkatnya sebagai pengarah filem di antara 1961 sehingga 1966, Hussein telah berhasil mengarahkan 14 filem bergenre purba, drama dan komedi. 

Filem pertama arahan Hussein, Hang Jebat (1961) berjaya meninggalkan kesan kelainan dari aspek komposisi, pergerakan kamera, suntingan dan juga interpretasi naskhah yang dihasilkan oleh Ali Aziz.

Riwayat Hang Jebat menderhaka kerana menuntut membela di atas perintah bunuh oleh Sultan Melaka terhadap Hang Tuah telah difilemkan sebelum ini pada 1956 oleh Malay Film Productions, Jalan Ampas dalam bentuk warna. Filem Hang Tuah ini diarahkan oleh Phani Majumdar. Watak Hang Tuah diperankan oleh P Ramlee dan Ahmad Mahmud sebagai Hang Jebat.

Filem Hang Jebat versi Hussein Haniff dalam bentuk hitam putih ini menampilkan Nordin Ahmad sebagai Hang Jebat. Dalam filem Hang Tuah terbitan Malay Film Productions, Nordin Ahmad memerankan watak Hang Kasturi, salah seorang daripada 5 sahabat Hang Tuah. Watak Hang Tuah diperankan oleh M Amin.

Kedua-dua filem ini mengangkat kisah penderhakaan Hang Jebat kerana membela Hang Tuah yang dihukum bunuh oleh Sultan Melaka setelah difitnah oleh Pateh Karma Wijaya.

Berbanding dengan filem Hang Tuah arahan Phani Majumdar, versi arahan Hussein Haniff dengan segala kelainannya masih terus dikaji dan diperkatakan oleh pengkaji, pengkritik dan peminat filem Melayu sehingga sekarang.

Selepas berjaya dengan filem Hang Jebat, Hussein sungguh produktif mengarahkan purata 3 filem setahun sejak 1962 sehingga 1966.

Pada 1962, beliau mengarahkan filem Dang Anum bergenre purba dengan teraju utamanya Nordin Ahmad dan Fatimah Ahmad. Filem ini juga dianggap dan diangkat oleh pengkritik dan pengkaji filem sebagai salah satu hasil kerja terbaik beliau. Diikuti filem-filem bergenre drama Korban Kasih dan Mata Shaitan. Beliau juga mengarah filem bergenre komedi lewat filem Mabuk Kepayang yang dibintangi oleh Wahid Satay, Suraya Harun dan Zainol Gemok. 

Seterusnya, beliau mengarah hanya 2 filem pada 1963 iaitu filem-filem bergenre komedi, Masuk Angin Keluar Asap dan Gila Talak. 

Aku tidak berpeluang menonton filem-filem awal beliau yang dihasilkannya daripada 1961 sehingga 1963 di panggung. Seingat aku, filem-filem ini kecuali filem Mata Shaitan berkesempatan aku tonton menerusi slot tayangan filem Melayu pada setiap malam Khamis di saluran satu RTM pada awal 70-an.

Hussein Haniff mencapai kemuncak pengkaryaannya pada 1964. Dalam tahun tersebut beliau mengarah 4 filem bergenre purba. Filem-filem tersebut ialah Dua Pendekar dibintangi oleh Yusof Latif, Salleh Melan dan Roseyatimah, Istana Berdarah dengan barisan pelakon Salleh Melan, Fatimah Ahmad, Ahmad Osman, Suraya Harun. Filem Hutang Darah Dibayar Darah pula dibarisi oleh Nordin Ahmad dan Roseyatimah. Filem Kalong Kenangan dengan pelakon utamanya Latifah Omar dan Ghazali Sumantri.

Di antara 4 filem arahan Hussein ini, filem-filem Dua Pendekar dan Istana Berdarah aku tonton di panggung. Filem Istana Berdarah merupakan adaptasi daripada filem Jepun arahan pengarah besar tersohor dunia Akira Kurosawa (1910-1998)yang diinspirasikan daripada karya teater berjudul Macbeth oleh William Shakespeare.

Pada 1965, Hussein hanya mengarah dua filem bergenre drama berjudul Jiran Sekampung dan Cinta Kasih Sayang. Filem terakhir beliau bergenre purba, Udang Sebalik Batu diarahkan pada 1966.

Minggu depan aku sambung lagi menulis tentang pengarah yang agak under rated ini walaupun filem-filemnya berada dalam kelasnya yang tersendiri.