AKU akhiri artikel minggu lalu dengan pertanyaan - mengapa daripada 14 filem arahan Allahyarham Hussein Haniff, hanya filem Hang Jebat (1961) dan Dang Anom (1962) berjaya mengutip koleksi pecah panggung? Filem-filem Hussein lain gagal di pasaran berbanding filem-filem arahan P Ramlee yang kebanyakannya pecah panggung.

Terutamanya filem-filem arahan P Ramlee ketika di Singapura antara 1955 sehingga 1963. Situasi yang terjadi kepada Hussein dan P Ramlee ini mewujudkan dua pandangan berbeza ketika era kegemilangan mereka dan awal 80-an dalam memperkatakan ketokohan dua pengarah penting dunia filem Melayu ini.

Kenapa ini berlaku? Pandangan dan pendapat bakal aku catatkan ini bukan kajian ilmiah dan akademik tetapi lebih berdasarkan pengalaman peribadi ketika aku membesar pada era 60an.

Pengalaman peribadi first hand yang pernah aku tempuhi itu, sekarang sudah menjadi sejarah. Dalam konteks sejarah industri perfileman Melayu yang boleh aku ceritakan semula tanpa perlu aku membaca dan membuat kajian lewat bahan-bahan rakaman dan rekod sejarah tanah air.

Dalam bahasa mudah – aku tidak perlu merujuk kepada buku sejarah kerana pengalaman hidup peribadi aku membesar dengan filem-filem Hussein dan P Ramlee adalah sebahagian daripada sejarah era tersebut.

Polemik penilaian antara Hussein dan P Ramlee sebagai tokoh pengarah filem Melayu terjadi pada awal 80-an ini dicetuskan oleh Allahyarham Dr Anuar Nor Arai (1943-2010), seorang tokoh pengkaji, pengkritik, pensyarah, penggiat dan pengarah filem lulusan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengajian filem dari University of Southern California.

Tidak dinafikan sejak penutupan studio Jalan Ampas dan studio Cathay Keris di Singapura pada akhir 60-an dan awal 70-an industri filem Melayu terpaksa melalui dan berdepan suasana muram dan kehilangan arah dari segi pembikinan dan sambutan. Rata-rata peminat, penonton dan penggiat filem Melayu dalam dilema. Mereka tercari-cari kaedah dan formula untuk mengembalikan kegemilangan filem Melayu.
 
Dalam keadaan begini pastinya kehadiran seorang atau beberapa orang tokoh pengarah filem Melayu amat diperlukan bagi menjadi inspirasi penggerak kebangkitan semula industri filem Melayu. Tapi sayang keadaan industri filem Melayu ketika itu dalam keadaan hampir nazak tanpa kemunculan tokoh filem Melayu baharu.

Merujuk kepada suasana ketika filem Melayu nazak pada awal 70-an sehingga 80-an, Dr Anuar melihat penggiat dan penonton filem Melayu masih bergantung kepada sejarah kegemilangan yang pernah dihasilkan oleh P Ramlee.

Tiada percubaan untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam memajukan perfileman Melayu. Rata-rata karyawan filem Melayu ketika itu masih belum mahu keluar daripada cara berkarya yang dibayangi oleh era kegemilangan P Ramlee. Sikap sedemikian – living with past glory – meneruskan hidup dengan sejarah silam. Penggiat filem Melayu masih menghasilkan filem yang statik tanpa pembaharuan daripada aspek penceritaan dan teknikal.
 
Dengan tertubuhnya syarikat Sabah Filem Productions oleh Deddy M Borhan, usahawan filem dari Sabah pada 1975, lahirlah filem Keluarga Si Comat arahan Allahyarham Aziz Sattar. Filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan, syarikat ini menerbitkan beberapa buah filem sehingga tahun 1992.

Kejayaan pecah panggung filem Keluarga Si Comat mewabakkan kemunculan bagaikan cendawan tumbuh syarikat-syarikat filem diusahakan oleh usahawan Melayu. Tugas pengarahan dan kerusi pengarah diisi oleh bekas pengarah dan pelakon dari studio Jalan Ampas dan studio Cathay Keris, Singapura.

Bekas pengarah seperti Jamil Sulong, Omar Rojik, Salleh Ghani dan M Amin mula mendapat peluang mengarah filem-filem Melayu dalam bentuk warna berbanding filem hitam putih ketika di studio-studio Singapura.

Selain Aziz Sattar yang merupakan bekas pelakon filem-filem siri popular Bujang Lapok arahan P Ramlee, ramai lagi bekas pelakon di antaranya, Aziz Jaafar dan Malek Selamat berpeluang menduduki kerusi pengarah dengan syarikat-syarikat filem baharu yang berpusat di Kuala Lumpur.

Kebangkitan semula industri filem Melayu bermula 1975 ini lebih bersifat peningkatan jumlah filem dan syarikat produksi bukan peningkatan mutu filem yang dihasilkan. Hampir kesemua filem Melayu yang diproduksikan antara 1975 sehingga awal 80-an masih lagi bercirikan cut and paste filem-filem tahun 60-an terbitan studio Jalan Ampas dan Cathay Keris.

Suasana perfileman Melayu dan sikap budaya fikir orang Melayu ketika itu dan rasanya masih lagi wujud sehingga sekarang menjustifikasikan kata-kata Dr Anuar - “ Kita la ni di Malaysia kalau I katakan Hussin Haniff dalam banyak filem lebih baik daripada P Ramlee. Siapa nak setuju?”

Mungkin tidak keterlaluan jika aku dan rakan-rakan penggiat filem seangkatanku berpandangan dan membentuk jalur pemikiran - ketokohan dan populariti P Ramlee dan filem-filem arahannya masih merupakan sebahagian daripada ciri-ciri untuk mensahihkan kemelayuannya seseorang individu yang mengaku berbangsa Melayu.
 
Apa kaitannya keadaan di atas dengan polemik yang dicetuskan oleh Dr Anuar?

Inti pati cetusan Dr Anuar itu menjurus kepada kajian berkaitan filem-filem P Ramlee mestilah dalam konteks penglibatan dan sumbangan tokoh ini dalam bidang filem tanah air. Dr Anuar pernah menyuarakan, dalam kita mengangkat P Ramlee sebagai tokoh filem Melayu, kita perlu berlaku adil supaya tidak melupakan sumbangan pengarah-pengarah lain seangkatannya.

Di antara pengarah-pengarah seangkatan P Ramlee, Hussein adalah ‘pencabar’ paling terdekat.

Dalam merungkai dan membincangkan polemik ini melahirkan dua kelompok pembikin filem yang bertentangan pada awal 80-an. Di satu pihak kelompok penggiat filem era 50 dan 60-an yang bermula dari Singapura. Sementara pihak satu lagi diwakili oleh penggiat filem generasi muda berpangkalan di Kuala Lumpur.

Hasil polemik cetusan Dr Anuar mendorong aku mencari perbezaan yang terdapat pada filem-filem Hussein dan P Ramlee. Penemuan perbezaan-perbezaan ini mampu memberi input yang relevan bagi membantu sesiapa yang mahu membuat penilaian ketokohan dua pengarah ini.

Perbezaan paling menonjol ialah aspek teknikal. Filem-filem Hussein dari segi pergerakan dan kerja kameranya dan suntingannya jauh ke depan. Salah satu punca kebanyakan filem-filem Hussein gagal meraih kutipan pecah panggung disebabkan kegilaan beliau mengeksploitasi dan bereksperimen dengan aspek teknikal pembikinan sesebuah filem. Obsesi ini membuat Hussein mengabaikan aspek penceritaan.

Kejayaan pecah panggung filem Hang Jebat (1961) dan Dang Anom (1962) dengan gerak kerja kamera dan suntingan yang inovatif adalah kerana kekuatan skrip karya Ali Aziz. Boleh dikatakan kegagalan filem-filem Hussein yang lain adalah kerana kelemahan cerita.

Dalam usaha aku cuba memahami kegagalan filem-filem Hussein, aku bertemu satu penemuan yang agak menarik. Pemilihan tema filem-filem Hussein aku rasa menyumbang kepada kegagalannya. Hussein berani mengangkat tema dan isu yang tabo dalam masyarakat dan penonton Melayu. Dengan filem Kalong Kenangan (1964) Hussein berani menerokai isu sumbang mahram. Ketika itu tema seperti ini masih asing dan belum pernah diangkat ke layar lebar. Apakah keberanian Hussein ini memakan dirinya sendiri?

Pada aku perbezaan paling nyata antara filem-filem Hussein dengan filem-filem P Ramlee adalah dari aspek kemahiran bercerita secara visual dengan perantaraan kefahaman teknikal. Apakah yang dapat dimanfaatkan oleh pembikin filem sekarang daripada perbezaan dua pengarah ini?

Kombinasi – sikap keberanian Hussein berinovasi dengan teknik dan kemahiran bercerita P Ramlee adalah ilmu paling berharga buat semua pembikin filem.

Alfatihah buat Hussein Haniff dan P Ramlee.