SEBELUM dan selepas menyambut Hari Raya Aidiladha, media massa baik elektronik, cetak dan media sosial alam siber dipenuhi dengan berita kejayaan filem terbitan Astro Shaw, Polis Evo, arahan Ghaz Abu Bakar.

Filem ini berjaya membuat kutipan RM2.5 juta dalam hanya 4 hari sejak mula ditayangkan pada 17 September lalu. Terkini kutipan pecah panggungnya sudah mencecah RM8 juta selepas 11 hari tayangan. Filem ini masih lagi ditayangkan sekarang. Pasti kutipan pecah panggungnya terus meningkat.

Sebenarnya minggu ini aku mahu menyambung tulisanku mengenai pengarah Allahyarham Hussein Haniff tetapi bila filem Polis Evo menjadi berita panas dan topik perbualan ramai, aku ingin berkongsi pandangan tentang kejutan dihasilkan oleh filem aksi ini.

Kelesuan dan kurangnya sambutan penonton terhadap filem-filem tempatan khususnya filem Melayu sejak dua tahun kebelakangan ini tidak dinafikan membuat pembikin filem kita risau dan bimbang tentang masa depan industri filem tanah air.

Cita rasa dan selera penonton kita terutamanya penonton filem Melayu amat sukar untuk diramalkan. Ketidaktentuan sambutan penonton ini paling sukar untuk ditemui solusinya.

Jawapan dan penyelesaian kepada masalah ini hanya boleh ditemui melalui kaedah trial and error. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Ini bererti penggiat filem tanah air sama ada produser, pengarah, tenaga kreatif dan teknikal perlu sentiasa mencuba serta mencari sesuatu yang baharu.

Pada pendapat aku dalam proses mencuba dan mencari sesuatu yang baharu ini, usaha yang dilakukan oleh Astro Shaw lewat filem Polis Evo berjaya mengesan selera kebanyakan penonton filem Melayu sekarang. Mereka suka kepada filem bergenre action - aksi.

Keadaan ini berlaku mungkin penonton sudah terlalu lama dihidangkan dengan filem-filem seram dan komedi. Kemunculan filem Polis Evo bergenre aksi berupaya membawa penonton berubah angin seketika.

Bagaimana pula dengan pendapat mengatakan penggiat filem tidak perlu terlalu mengikut kehendak penonton?

Fenomena filem Polis Evo ini membolehkan aku mengalami dan berusaha untuk memahami situasi dan budaya menonton wayang rakyat negara ini khususnya penonton filem Melayu.

Aku menonton Polis Evo di pawagam selepas seminggu tayangannya bermula. Aku menonton bukan kerana pengaruh promosi tetapi sememang rutin aku menonton sebanyak mungkin filem-filem tempatan di pawagam.

Ketika menonton apa juga filem di pawagam dengan membayar tiket aku memakai ‘topi’ penonton biasa bukan ‘topi’ seorang filmmaker atau pengarah filem. 

Aku mengambil sikap demikian kerana sebagai penonton perkara paling penting ialah nilai harga tiket yang dilaburkan itu mestilah berbaloi dengan filem yang ditonton. Rata-rata sekarang baik di bandar-bandar besar mahupun bandar bersaiz sederhana harga tiket secara keseluruhannya ialah di antara RM10 sehingga RM15. Ada juga harga tiket mencecah sehingga RM18 seperti di bandar raya Johor Bahru.

Jika dilihat di media sosial pendapat yang sering disuarakan oleh kebanyakan penonton filem Melayu ialah mereka takut  kecewa bila kepuasan menonton tidak seiring dengan nilai harga tiket yang ditawarkan.

Pada aku ini adalah perkara paling asas mesti difahami oleh sesiapa sahaja yang terlibat dalam satu kegiatan ekonomi berasaskan untung rugi. Industri filem adalah satu kegiatan ekonomi bertujuan dan bermatlamatkan keuntungan.      
    
Ketika aku berada bersama dengan penonton lain dalam panggung aku lihat filem Polis Evo ini punya ramuan yang boleh membuka selera penonton untuk ke panggung.

Pada asasnya filem ini mengisahkan watak baik berdepan dengan watak jahat. Di pihak bersisi baik adalah polis. Diwakili oleh watak Inspektor Sani (Zizan Razak) dan Inspektor Khai (Shaheizy Sam).

Kedua watak ini tidak sebulu dan tidak sekepala pada mulanya. Akhirnya keadaan memaksa mereka bekerjasama demi tugas melumpuhkan kegiatan sindiket pengedaran dadah dan untuk menyelamatkan nyawa orang mereka sayangi.

Pihak jahat diwakili oleh watak-watak penjenayah, gengster dan pengedar dadah. Pertembungan dua pihak ini mencetus dan meletupkan suasana tegang, rencam, ganas berapi dengan aksi-aksi kejar mengejar kereta, tembak menembak, letupan dan segala resipi wajib dan perlu untuk sebuah filem aksi yang membuat paras adrenalin penonton melonjak.

Aku lihat penonjolan polis dalam filem Polis Evo berjaya lari dari pola-pola propaganda robotik ala Gerak Khas. Watak-watak polis dalam Polis Evo dibina dengan lebih human.

Sifat manusiawi watak-watak polis dekat dengan penonton. Lihat watak Tuan Mokhtar diperankan oleh Allahyarham Harun Salim Bachik bila berdepan dengan dua hero yang ‘tak sekepala’ – menarik.

Watak Inspektor Khai diperankan oleh Shaheizy Sam mudah diterima oleh penonton terutamanya penonton muda. Mereka boleh mengidentifikasikan diri mereka dengan watak tersebut berdasarkan imej yang sempoi dan tahan lasak - imej ‘bukan polis tetapi polis.’   

Lihat juga babak-babak aksi pertembungan antara polis dengan penjenayah menyebabkan polis juga turut ditembak mati bergelimpangan.

Penonjolan watak-watak penjenayah aka gengster lebih lokal sifatnya. Jelas identiti mereka – gengster Melayu yang beroperasi di negeri pantai timur. Elemen ini tidak terdapat dalam filem-filem genre gengster tempatan sebelum ini.

Hampir kesemuanya berlatar belakangkan kota raya urban ala Hong Kong. Sehingga menimbulkan budaya gengster yang serabut imejnya – Hong Kong ke atau tempatan?

Filem ini memberi kesegaran dari segi pemilihan lokasi – jelas jenayah berat bukan hanya tertumpu kepada bandar-bandar besar sahaja.

Jenayah boleh berlaku di mana-mana dan dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa. Kefahaman ini aku lihat berjaya diangkat oleh kumpulan penulis skripnya.

Aku juga tertarik dengan pengadunan budaya Melayu dengan keadaan hidup sekarang. Aku menganggap nilai-nilai lemah lembut dan toleransinya orang-orang Melayu yang dipaparkan lewat watak Zizan dan keluarganya melontar satu persoalan untuk kita fikirkan.    

Hakisan dan terpinggirnya budaya lemah lembut Melayu yang dipertahankan oleh watak Zizan dan keluarganya ditelan oleh kebuasan nafsu mengejar kebendaan dengan cara mudah melalui perlakuan jenayah berhasil dipaparkan secara subtle.

Apakah ungkapan diwarisi turun temurun – kita ini orang Melayu, orang Timur yang lemah lembut boleh dipakai lagi atau tidak sekarang?  Orang-orang Melayu perlu berubah sejajar dengan perubahan dunia dan cara hidup sekarang – perlu cerdik supaya tidak mudah ditipu waima oleh bangsa sendiri.

Filem genre aksi sering bersifat universal kerana jenayah dan penjenayah seantero dunia sama sifat dan perangainya. Pedulikanlah jika ada mengatakan filem ini macam filem Bad Boys atau aksinya macam filem-filem aksi Hong Kong.

Filem Polis Evo berjaya menghiburkan penonton dengan ramuan-ramuan perlu ada pada sebuah filem aksi dengan garapan ala Malaysia.

Paling penting filem ini berjaya membuktikan penonton filem Melayu tetap ada dan setia memberi sokongan jika resipi hidangan yang dihasilkan membuka selera menonton mereka.

Aku gelak besar terbaca kenyataan Shaheizy Sam dalam Entertainment Movie News – beliau berharap janganlah pula selepas kejayaan filem Polis Evo akan ada pula trend filem-filem – Gengster Evo, Hantu Evo atau Suamiku Polis Evo.

Aku sokong seratus peratus!