AKU mula bertugas dengan Othman Hafsham dalam produksi filem arahan keduanya, Mekanik pada pertengahan tahun 1982. Selama kurang lebih enam bulan sehingga penghujung 1982, aku memikul tugas sebagai penolong pengarah untuk membantu Hafsham (nama panggilan santai tidak rasmi beliau) untuk mengemas kini dan mencantikkan lagi cerita serta skrip filem Mekaniknya itu.

Di peringkat ini cuma kami berdua sahaja merupakan anggota pasukan produksi untuk projek ini. Rumah Hafsham di Taman Melawati ketika itu merupakan pejabat kami. Waktu kerja kami selalunya pada sebelah malam. Pada waktu siang Hafsham masih dengan syarikatnya, Profilm membuat filem-filem iklan. Kami tidak berjumpa setiap malam. Perjumpaan dan perbincangan untuk olahan dan mengemaskinikan skrip selalunya diadakan dua atau tiga malam dalam seminggu. Rutin kerja ini bergantung kepada jadual penggambaran filem-filem iklan arahan Hafsham di Profilm.

Dalam masa yang sama setelah tidak lagi bekerja dengan Urusan Film, aku terlibat dengan satu projek teater yang diberi nama Teater Generasi Ketiga. Dianjurkan oleh penggiat-penggiat teater seperti Dinsman, Johan Jaffar (Datuk), Nordin Kardi (Tan Sri), Hanafiah A Samad dan beberapa rakan dari kumpulan-kumpulan teater yang aktif bergiat di Kuala Lumpur ketika itu.

Di tahun-tahun akhir 70-an hingga awal 80-an, selain bertugas dan mencari pengalaman dalam bidang perfileman cereka dan filem-filem iklan, aku juga terlibat dalam teater. Aku mula berteater dengan Bengkel Teater, KL Teater Kelab. Aku bercampur dan menimba pengalaman daripada tokoh-tokoh dan tenaga pengajar teater seperti Allahyarham Mustaffa Nor dan Shuhaimi Baba, pengarah filem Tanda Putera yang ketika itu bertugas sebagai penerbit drama TV di RTM. Rakan-rakan seangkatan dan sama berteater dengan aku ketika itu ialah Meor Hashim Manap, sekarang pengarah drama TV yang produktif, pelakon berwatak Abu Bakar Juah dan Fatimah Abu Bakar yang popular dengan panggilan Cikgu Fati, salah seorang tenaga pengajar siri Akademi
Fantasia. Tidak ketinggalan Sani Sudin, salah seorang daripada ahli kumpulan trio penyanyi lagu-lagu puisi, Kopratasa.

Kehidupan yang aku lalui ketika itu cuma dua – obses dengan filem dan teater. Menariknya, penglibatan aku dalam teater banyak membantu aku ketika berkolaborasi dengan Hafsham menghasilkan filem Mekanik.

Sebagai orang baru yang sedang mencari pengalaman dalam bidang pembikinan filem cereka yang berskala lebih besar daripada filem iklan, keadaan kerja ini agak di luar jangkaan aku. Sejujurnya, ketika itu aku merasa tidak yakin. Apakah bermula dengan hanya kami berdua sebagai tenaga produksi boleh menghasilkan filem berdurasi lebih kurang dua jam? Kos produksi pembikinan filem ini pula memerlukan bajet dalam lingkungan RM200,000 hingga RM250,000. Ketika itu jumlah tersebut pula bukan merupakan jumlah lazim semasa berbanding dengan kos produksi dalam lingkungan RM100,000 hingga RM150,000 bagi memproduksikan kebanyakan filem cereka ketika itu.

Sememangnya keadaan ini merupakan pengalaman baharu dan menarik bagi aku. Walaupun bermula hanya dengan dua orang tetapi aku berkongsi keyakinan dengan Hafsham. Kami sama berkeyakinan usaha kami ini akan membuahkan kejayaan.

Keyakinan dan semangat kerja yang sukar untuk aku gambarkan dan ceritakan ketika itu dan berlarutan sehingga sekarang. Jujur aku nyatakan setelah hampir 30 tahun berlalu aku masih belum dapat menzahirkan dalam bentuk tulisan mahupun kata-kata tentang semangat kerja yang kami kongsi untuk melahirkan sebuah filem berjudul Mekanik.

Tekad kami hanya satu – mahu melakukan perubahan dan menghasilkan filem Melayu yang lain daripada kebiasaan terutamanya filem-filem genre komedi. Komitmen yang didasari semangat untuk menyumbangkan pembaharuan kepada filem-filem tempatan supaya ada peningkatan dari segi tema dan isu serta mutu yang ingin diangkat.

Nama Hafsham ketika itu sedang meletup selepas kejayaan pecah panggung filem arahan pertamanya Adik Manja yang berjaya memberi satu kelainan dan membawa pembaharuan kepada filem-filem Melayu bergenre komedi. Hafsham berjaya menukar habis cara penceritaan dan stail persembahan filem-filem komedi Melayu yang masih berpaksi kepada cara dan gaya komedi slapstick. Dalam bahasa mudah, Hafsham berjaya melalui filem pertamanya, Adik Manja mencerdikkan komedi filem-filem Melayu daripada terus dibelenggu oleh lawak bodoh yang ketinggalan zaman. Terutamanya filem-filem komedi dalam bentuk warna yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat filem Bumiputra Melayu berpusat di Kuala Lumpur pasca era hitam putih.

Aku tidak terlibat dalam produksi filem Adik Manja arahan pertama Hafsham. Tetapi kejayaan luar biasa filem pertama Hafsham itu membuat aku yakin dan bersemangat untuk bersama Hafsham bagi mencipta kejayaan dengan filem arahan keduanya itu.

Aku diminta oleh Hafsham di peringkat pertama ini untuk membantu beliau dalam prosesnya mengetatkan kelonggaran dan mengemaskinikan skrip Mekanik. Skrip dan cerita filem Mekanik ini merupakan idea asal dan tulen daripada Hafsham.

Dari aspek penghasilannya aku lihat banyak dipengaruhi oleh hasil-hasil kerja filem-filem daripada pengarah-pengarah Barat. Apatah lagi Hafsham merupakan lepasan dari London Film School. Ketika menuntut di London beliau banyak mengetahui dan didedahkan kepada tokoh-tokoh filem-filem komedi seperti Buster Keaton, Charlie Chaplin, Mel Brooks dan pengarah lagenda British, Alfred Hitchcock.

Di peringkat dan kesempatan ini banyak ilmu menulis dan mengolah penceritaan atau naratif sesebuah filem berjaya aku timba daripada Hafsham untuk menghasilkan skrip yang mantap, di samping cuba memenuhi sebanyak mungkin cita rasa penonton.

Kami banyak berbincang dan mencari elemen-elemen baharu yang tidak ada atau belum diguna pakai dalam filem komedi Melayu sebelum dan ketika itu.

Menurut Hafsham, naratif filem ini mengisahkan tentang kehidupan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Seboleh dan sebanyak mungkin Hafsham mahu memaparkan realiti kehidupan seharian masyarakat majmuk negara kita.

Filem Mekanik ini berlandaskan konsep filem Malaysia. Bermakna filem ini bakal ditonton, difahami dan dinikmati oleh semua bangsa di Malaysia. Mekanik bukan berlabelkan sebuah filem Melayu untuk penonton Melayu sahaja. Tagline untuk filem ini adalah – Filem Malaysia.  

Selepas perbincangan demi perbincangan, aku mula faham apa visi dan bentuk filem mahu dihasilkan oleh Hafsham lewat naskhah keduanya itu.

Selain menggalas tanggungjawab sebagai penolong pengarah, aku juga memikul tugas sebagai pengarah seni yang bertanggungjawab untuk melahirkan secara visual apa dalam pemikiran Hafsham.

Beliau mahu melahirkan suasana kehidupan masyarakat Malaysia melalui filem ini. Sebagai pengarah seni, aku berfahaman penciptaan mis-en-scene memainkan peranan penting untuk menterjemahkan apa dalam minda beliau dan corak visual yang bagaimana dimahukannya.  

Apa itu mis-en-scene? The arrangement of everything that appears in the framing – actors, lighting, decor, props, costume – is called mise-en-scene.

Perkataan mis-en-scene merupakan perkataan Perancis membawa maksud susunan apa sahaja yang berada dalam frame atau bingkai empat penjuru kamera – gerak susun pelakon, tata pencahayaan, dekorasi set, peralatan, busana.

Tugas dan kerja-kerja menghasilkan mis-en-scene yang dimahukan dan dibayangkan oleh pengarah akan jadi mudah serta lancar apabila seseorang pengarah seni merangkap production designer atau pereka produksi bukan setakat memahami tetapi sama-sama menghayati apa yang mahu dizahirkan oleh sang pengarah.

Alhamdulillah, kami ada chemistry itu.