SATU lagi drama tulisan dan arahan aku paling meninggalkan kesan kepada aku ialah Funfair. Drama ini ditayangkan di slot cerekarama TV3 bersempena Hari Raya Aidilfitri, 1990.

Bila aku mendapat tawaran untuk menulis skrip bertemakan Hari Raya, aku memikirkan bagaimana menghasilkan skrip tidak membawa persoalan-persoalan biasa dan klise.

Untuk menulis skrip Funfair ini, aku bereksperimen dengan mengangkat isu-isu semasa tempatan dan dunia lalu diadun dengan tema dan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ketika itu aku amat tertarik membaca dan menonton filem-filem barat seperti filem Salvador (1986) arahan Oliver Stone yang membawa isu-isu pergolakan politik di negara-negara Amerika Latin Tengah seperti di El Salvador dan Nicaragua.

Di peringkat tempatan, aku tertarik dengan kes-kes kelahiran anak luar nikah dan isu-isu politik semasa. Aku cuma mengambil isu-isu ini sebagai bahan untuk Funfair.

Di zaman sekolah rendah dan menengah, aku memang suka funfair di pekan kecil kami di Alor Gajah, Melaka. Ketika zaman 60-an dan awal 70-an, funfair boleh dianggap satu taman hiburan bergerak yang hanya mampu dinikmati oleh orang kampung. Ia memang diraikan oleh penduduk luar bandar kerana hiburan lain seperti televisyen masih belum meluas.

Funfair meninggalkan banyak kesan-kesan nostalgia. Aku berpeluang menikmati muzik secara live dan menyaksikan penyanyi-penyanyi sedang top dan popular terutamanya daripada angkatan pop-yeh-yeh.

Jika tidak ada persembahan penyanyi maka akan diadakan tayangan filem. Selalunya filem-filem koboi dan filem-filem perang. Selalunya funfair bergerak ini akan berada di pekan kami selama sebulan. Pastinya suasana malam di pekan kecil kami akan berubah menjadi meriah.

Kepada orang ramai bila disebut funfair sahaja pasti akan terbayang pentas joget. Funfair, pentas dan penari joget adalah sinonim ketika itu.

Aku tumpang seronok melihat mereka yang berpangkat abang dan pakcik mempamerkan kelakuan dan lagak macho dan ganteng masing-masing ketika di pentas joget. Di pentas inilah pemuda-pemuda setempat dan juga golongan yang masih belum sedar kesenjaan usia berpesta. Macam-macam kerenah berlaku sehingga ada kalanya mencetuskan pergaduhan kerana berebut penari-penari joget.

Tetapi bermula tahun 80-an tidak ada lagi pentas joget disediakan funfair. Pentas joget diganti dengan pentas konsert. Funfair juga sudah mula dikenali sebagai Tapak Expo.

Aku cuma mengambil suasana kehadiran sebuah funfair berdasar pengalaman untuk drama ini. Isu-isu penting ialah tentang kerakusan serakah nafsu manusia sehingga melahirkan anak luar nikah. Isu politik dengan masalah perebutan kuasa dan suka tikam menikam untuk menjadi calon pilihan raya.

Ketika menulis skrip ini aku bayangkan kejadian-kejadian dalam drama ini berlaku di satu kampung atau pekan kecil  di kawasan berlatar belakangkan hutan, bukit-bukau dan banjaran gunung. Ada terdapat juga kawasan sawah padi. Aku tidak bayangkan suasana kampung di kawasan pantai atau kawasan kampung setinggan di pinggir bandar.

Aku juga tidak memikirkan sama ada boleh atau tidak aku mendapatkan funfair bergerak atau tapak funfair sebagai lokasi utama dan penting untuk drama ini.

Aku cuba mempraktikkan basic attitude  atau sikap asas seorang penulis skrip - aku tulis apa aku ingin ceritakan untuk bakal diwujudkan dalam bentuk visual nanti. Aku tidak perlu fikirkan masalah logistiknya. Sama ada tenaga produksi boleh mendapatkan atau tidak lokasi funfair tersebut. Ini bukan masalah untuk aku fikirkan sehingga menjadi penghalang dan membantutkan aku mencurahkan ilham dan idea untuk menghasilkan sesebuah skrip drama. Paling penting aku mesti berhasil menuliskan cerita yang ingin aku sampaikan kepada penonton.

Naratif drama Funfair ini berlaku dalam bulan puasa. Terjadi di satu pekan kecil beberapa hari lagi sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Drama ini mengisahkan Murad, berusia 50-an dan diperankan oleh Hisham Ahmad Tajuddin. Merupakan orang kuat parti dan ahli-ahli kawasan bercadang  mencalonkan nama beliau ke jawatankuasa bahagian menjadi calon parti di tempat mereka dalam pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama lagi. Murad disebut-sebut punya harapan cerah.

Tetapi Murad berdepan dengan dilema kerana anak tunggal perempuannya, Intan berusia awal 30-an, seorang eksekutif di syarikat antarabangsa di Kuala Lumpur akan balik bercuti raya setelah 8 tahun tidak balik menyambut Hari Raya Aidilfitri dengannya, ibu dan adik angkatnya, Rosnah berusia 10 tahun.

Watak Intan, diperankan oleh Zu Ghairi. Intan pernah menjalin hubungan dengan seorang pemuda Inggeris, Leon ketika menuntut di luar negara hampir 10 tahun lalu. Hasil hubungan cintanya dengan Leon.

Leon pula terbunuh ketika menjalankan tugas membuat liputan pergolakan bersenjata antara pihak Sandinista dengan puak Contra yang didalangi oleh Amerika Syarikat di Nicaragua pada 1980 – 1982. Mereka tidak sempat berkahwin sedang Intan telah mengandungkan zuriat Leon. Intan tidak tergamak membuang kandungannya demi cintanya kepada Leon.

Bila balik ke tanah air dengan anak luar nikahnya, Intan telah diusir oleh Murad. Bapanya tidak mahu mengaku Intan anak kerana malu punya cucu bertaraf luar nikah berwajah orang putih. Anak Intan ini bernama Zul, berusia 8 tahun.

Leman yang sebaya dengan Murad merupakan pencabar terdekat Murad dalam merebut peluang untuk dicalonkan. Watak ini diperankan oleh Yusuf Muhammad (Allahyarham) daripada siri popular Rumah Kedai terbitan TV3 dan pelakon utama filem Panas(1998) arahan Nurhalim Ismail.

Walaupun di mata masyarakat setempat mereka kelihatan bersahabat tetapi Murad tahu Leman ada menyimpan rasa tidak puas hati dan berdendam dengan dirinya. Hanya mereka berdua sahaja yang tahu rahsia ini.

Bulan puasa ini juga selepas 20 tahun tiada funfair datang ke pekan kecil itu tiba-tiba datang satu rombongan funfair bergerak akan bermula pada hari raya pertama.

Murad cukup fobia dengan kedatangan funfair itu kerana ketika mudanya dahulu Murad walaupun sudah beristeri berperangai seperti Leman. Mereka  memang kaki ligat di pentas joget bila ada funfair datang ke pekan mereka itu. Murad dan Leman pernah berebut cinta seorang penari di pentas joget funfair dikenali sebagai Tipah Cina, diperankan oleh Azizah Mahzan. Digelar Tipah Cina kerana kulit putih melepaknya jadi kegilaan pemuda-pemuda kaki joget ketika itu.

Tanpa diketahui oleh Murad sebelum funfair itu berpindah ke pekan lain, Tipah Cina telah diperkosa oleh Leman sehingga 9 bulan kemudian melahirkan seorang anak lelaki luar nikah ketika funfair itu berada di negeri lain.

Anak lelaki Tipah Cina itu bernama Shafie sekarang telah berusia 20 tahun. Penyanyi kumpulan rock KRIS, Alim yang top dengan lagu-lagu hit mereka, Tiara dan Cenderawasih ketika itu memerankan watak ini.

Selepas 20 tahun Shafie ada bersama dengan funfair yang datang ke pekan itu sekarang. Dia bertugas menjaga permainan kuda pusing dan roda Ferris. Ibunya, Tipah Cina telah meninggal dunia ketika Shafie berusia 15 tahun.

Pada malam raya itu terbongkar siapa sebenarnya bapa Shafie dan siapa yang memperkosa Tipah Cina. Leman sebenarnya bapa Shafie. Leman gagal membusukkan nama Murad dengan menjaja cerita Intan punya anak haram dan Murad ada cucu haram. Leman juga gagal melibatkan Murad dengan kes Tipah Cina dirogol.

Tujuan Leman cuma satu – dia mahu menghalang nama Murad dicalonkan kerana Leman juga bercita-cita hendak namanya dipilih oleh bahagian sebagai calon.

Akhirnya, bila semua terbongkar Leman jadi hilang akal dan gila. Walaupun Shafie berjaya menemui bapanya tetapi sedih melihat keadaan Leman selepas segala kebusukannya terbongkar. Saksi yang terlihat Leman merogol Tipah Cina ialah Ah Siew, taukeh funfair. Sekarang beliau masih lagi taukeh funfair yang sama datang ke pekan itu seperti 20 tahun lalu.

Itulah serba ringkas sinopsis drama Funfair hasil karya dan arahan aku pada 1990.