SELEPAS hampir 30 tahun filem Mekanik dihasilkan dan ditayangkan, aku rasa masih banyak perkara dan pengalaman boleh aku kongsi dengan penonton, peminat, penggiat dan pelajar filem generasi sekarang.

Aku ingin menceritakan manfaat daripada pengalaman bekerja dan berkolaborasi dengan Hafsham untuk menghasilkan filem Mekaniknya pada 1983.

Salah satu perkara penting aku belajar daripada Hafsham ialah tentang pengurusan masa dalam mengendalikan penggambaran sesebuah filem. Aku dapati Hafsham seorang pengarah yang paling mementingkan ketepatan masa.

Kata-kata Hafsham yang Insya-ALLAH tidak aku lupa sehingga bila-bila ialah: “Shooting filem ni macam kita naik teksi, pastikan destinasi kita sebelum naik teksi jadi kita tidak sesat, tak buang duit dan masa kerana meter teksi akan terus bergerak!”

Pengajaran aku dapat dan fahami ialah tanpa persediaan teliti dan selengkap mungkin sebelum memulakan penggambaran akan mengakibatkan peningkatan kos produksi.

Setiap detik dan saat sesuatu penggambaran itu dilakukan melibatkan kos. Kebenaran ini sememangnya tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun yang terlibat dalam bidang pembikinan filem, baik filem cereka mahupun iklan dan dokumentari.

Hakikatnya, bikin filem bukan kerja main-main untuk glamor dan enjoy.

Bekerja di bawah Hafsham mengajar aku tentang betapa pentingnya peringkat pra-produksi dimanfaatkan semaksimum mungkin demi menjamin kelancaran kerja-kerja produksi kelak.

Gunakan masa secukupnya ketika peringkat pra produksi untuk membuat perancangan dan jadual penggambaran sesempurna mungkin walaupun perlu mengambil pertimbangan cuaca dan keadaan di luar jangkaan kita.

Jika perlu biarlah kita tangguh dahulu memulakan penggambaran sehingga semua susun atur gerak kerja telah tersusun dan pasti. Ini adalah lebih baik daripada memulakan penggambaran dalam keadaan tergesa-gesa hanya kerana keghairahan oleh suntikan glamor untuk jadi orang filem.

Ramai manusia berperangai begini aku temui selama lebih 30 tahun berada dalam bidang ini. Aku tidak mahu sebut nama produser-produser yang berperangai begini.

Aku pernah menolak beberapa tawaran sebagai penolong pengarah dan pengarah filem dan drama TV atas sebab sikap ghairah hendak buat filem secepat mungkin tanpa persediaan kukuh dan tersusun.

Senang cerita, jumlah penggiat-penggiat filem berperangai gila glamor untuk bergelar produser dan pengarah – semua hendak cepat ini lebih ramai berbanding mereka yang komited dan serius sebagai filmmaker.

Insiden penolakan Dharma Harun untuk watak hero pada saat-saat akhir sebelum penggambaran Mekanik dimulakan membuktikan walaupun kami telah membuat persediaan rapi, namun perkara-perkara di luar jangkaan dan kawalan masih boleh berlaku.

Kami bernasib baik pengganti hero Mekanik, Azmil Mustapha berjaya dijumpai hanya beberapa hari sebelum penggambaran bermula.

Aku pernah menyatakan dalam temu bual dengan wartawan Zass pada awal tahun ini sebelum aku mula menulis untuk kolum Lantera, iaitu filem perlu ada statement – ada kenyataan.

Filem perlu ada keupayaan untuk membuat kenyataan. Kenyataan dalam sesebuah karya filem ini hanya mampu dizahirkan melalui kepekaan sang pengarah terhadap apa berlaku di sekelilingnya.

Ini memerlukan sensitiviti seseorang pengarah untuk mengangkat isu-isu yang dianggap penting untuk dikongsi bersama dengan penonton, khususnya dan masyarakat jelata amnya.

Statement atau kenyataan-kenyataan ini tidak semestinya diangkat oleh pengarah melalui karya-karya filem bergenre drama sahaja. Semua genre filem boleh dijadikan alat untuk pengarah membuat kenyataan.

Kita mesti tahu membezakan kenyataan pengarah melalui filem-filem arahannya dengan isu yang mahu diangkat melalui filem-filem arahan mereka.

Kenyataan melalui sesebuah filem oleh pengarahnya merupakan impian dan cita-citanya.

Apa yang mahu dilihatnya terbentuk dalam kehidupan harian masyarakat atau bangsanya.

Impian dan cita-citanya untuk menambah baik nilai-nilai kehidupan sedia ada dalam masyarakat bangsanya. Kenyataan sesebuah filem oleh pengarahnya berkait rapat dengan tanggungjawab sosial yang perlu dipikul oleh seseorang pengarah filem.          

Hafsham merupakan pengarah filem yang faham tanggung jawab sosial yang dituntut daripada seseorang pengarah filem.

Melalui Mekanik, Hafsham membuat kenyataan tentang pentingnya perpaduan bangsa dalam negara majmuk seperti Malaysia. Berani aku nyatakan Hafsham telah mendahului zaman.

Sebagai pengarah filem dan karyawan, 30 tahun lalu beliau telah mencetuskan konsep 1Malaysia dalam penghasilan filem-filem tanah air.

Jika dilihat, di mana sahaja di dunia sekarang ini selalunya karyawan seni akan mendahului orang-orang politik dalam mentafsirkan apa yang baik dan buruk demi kelangsungan hidup manusia yang sementara di dunia ini.

Aku rasa atas sebab ini maka kerja-kerja seni dan karyawan-karyawan itu sendiri sering dipantau oleh orang-orang politik yang memegang tampuk kuasa sesuatu daulah. Mungkin aku silap? Apa pun ia terbuka untuk perbincangan di kesempatan yang lain.

Medium paling berkesan untuk membuat statement adalah filem dibandingkan dengan bidang penulisan, lukisan, puisi, lagu dan teater. Jangkauan filem untuk mendapat perhatian massa adalah lebih luas tanpa had batas masa.

Cuba perhatikan dan hayati dialog watak Nina diperankan oleh Susan Lankaster ketika di bengkel Syamil (Azmil Mustapha) – “Orang putih ke, orang hitam ke, orang coklat ke, orang biru ke. Kita orang Malaysia kan?” Dialog ini diingati sehingga sekarang.

Nilai positif terkandung dalam dialog tersebut akan terus relevan walaupun berunsur komedi bila kita berbicara tentang perpaduan kaum di negara ini.

Melalui dialog inilah terpancar kenyataan Hafsham tentang pentingnya perpaduan kaum yang ingin disampaikan melalui filem Mekaniknya itu. Tidak dapat dinafikan inilah kenyataan yang mendasari naratif filem kedua arahan Hafsham walaupun disampaikan dalam bentuk komedi.

Aku rajin juga membaca tulisan-tulisan tentang filem-filem tempatan di blog-blog dalam internet. Aku ada terbaca beberapa tulisan mempersoalkan kenapa cerita filem-filem sekarang tidak seperti filem-filem tahun-tahun 80-an terutamanya filem-filem garapan Othman Hafsham dan Rahim Razali.

Aku berpendapat keadaan ini berlaku kerana kurangnya perhatian oleh pengarah-pengarah generasi baharu sekarang terhadap perlunya ada kenyataan dalam hasil karya mereka.

Terlepas pandang dan ketiadaan statement oleh ramai pengarah sekarang dalam karya-karya mereka mungkin disebabkan keutamaan untuk memenuhi tuntutan komersial. Bila berlaku keadaan begini selalunya ia akan berkait dengan persoalan mutu sesebuah filem.

Aku lihat setakat ini Mamat Khalid sentiasa membawa dan melontarkan statement atau kenyataan-kenyataan untuk difikirkan oleh penonton melalui karya-karyanya walaupun kebanyakan filem-filem arahannya bergenre komedi.

Sememangnya, sebagai pengarah filem aku akui untuk menyampaikan sesuatu statement melalui filem bukan satu tugas mudah.

Ia memerlukan kefahaman mendalam tentang kehidupan, sejarah dan budaya masyarakat dan bangsa, di mana sang pengarah terlibat juga adalah salah seorang anggota masyarakat atau bangsa itu.

Kesimpulannya, hanya dengan ada kefahaman ini membolehkan pengarah meluahkan kenyataan melalui filem-filemnya. Kenyataan ini pula akan hanya zahir daripada filem-filem yang ada soul – ada roh!