KITA teruskan menelaah kertas perbahasan Allahyarham Dr Anuar Nor Arai minggu ini. Melalui kertas bahas itu, aku lihat banyak masalah industri filem Malaysia sekarang yang masih belum selesai walaupun beliau telah memberi saranan 28 tahun yang lalu.
 
Di simposium berlangsung pada 5 Disember, 1987 itu, Dr Anuar seterusnya menjelaskan bagaimana penghasilan filem dan televisyen Korea yang seiring dan sama naiknya.

Mereka saling berganding menghasilkan produk-produk untuk memajukan industri filem negara mereka.
 
Dr Anuar mencatatkan – Satu contoh dipanggil Panggung Sastera – telah menghasilkan 266 tajuk drama – semuanya adaptasi novel Korea dari tahun 1980 hingga 1987 – berbentuk feature, panjangnya antara 90 minit dan 120 minit. Siapa punya kerja ni? Hairan ya. Tak cukup lagi tu – ada pulak yang dipanggil Calendar Drama, 60 minit, 90 minit dan 120 minit.

Banyak, tahun 1986 aja berjumlah 25 buah. Ada lagi dipanggil Drama Remaja. Ada lagi dipanggil Opera. Ada lagi dipanggil Drama Musikal. Yang penting kita tahu dari Korean Broadcasting Corporation dan MunhwA Broadcasting Corporation ni ialah dia orang semua buat kerja, pandai kerja, pilih orang-orang yang betul, yang tak berbakat diterajang keluar. Pedih tapi sedap.
 
Dr Anuar juga menegur orang-orang Finas yang masih berperangai dan bersikap tipikal Melayu. Beliau membandingkan cara bekerja, komitmen kepada tugas dan kerja oleh orang-orang Korea yang terlibat dalam badan-badan dan agensi kerajaan bertanggungjawab bagi memajukan industri filem mereka. Perbandingan yang sepatutnya diambil iktibar oleh Finas ketika itu.
 
Beliau mencatatkan – Perangai kita orang Melayu ni pulak lain – yang berkarat pun simpan, yang bodoh tu diangkat, yang teruk-teruk jangan cakap – bela jugak. Yang ada potensi di KL disisih.

Pasal apa pun kita tak tahu. Sampai bila pun kita tak akan maju. Cakap macam mana pun, berjela-jela kertas kerja, warna merah jambu ke, warna kuning ke, kalau berkarat, berkaratlah jugak. Eloklah kita cadangkan di sini rombakan Kabinet Finas.

Bukan untuk apa – semata-mata untuk kemajuan. Pucuk pimpinan baru untuk kemajuan industri filem Malaysia. Untuk kemajuan negara. Untuk kemajuan komersial. Untuk kemajuan seni. Seni biar last pun tak apa.
 
Catatan dan pandangan brutal Dr Anuar di atas sememangnya mewakili suara kami pembikin-pembikin filem generasi baharu Malaysia ketika itu. Letaklah seni sebagai prioriti terakhir pun tidak mengapa kerana yang penting ialah kemajuan filem kita.

Semua ini hanya akan bermula bila pemegang pucuk pimpinan Finas terdiri daripada mereka yang benar-benar komited. Mereka yang benar-benar faham bagaimana menggunakan Finas sebagai pemangkin untuk menggerakkan daya usaha untuk memajukan industri filem kita. 
 
Menurut Dr Anuar, peneraju ataupun kabinet Finas perlu kepada satu rombakan. Sememangnya kasar dan brutal bunyi tegurannya tetapi itulah realitinya ketika itu. Apakah teguran ini membuahkan hasil sehingga perubahan berlaku?
 
Seingat aku, selepas simposium itu dan hadirnya Pesta Filem Malaysia seterusnya, keadaan masih begitu juga. Entahlah, jika aku terlepas pandang kerana selama hampir 28 tahun tiada peluang mengarah filem dan terlibat secara langsung dalam gelanggang perfileman tanah air. Harap-harap aku tersilap anggapan dan pandangan.
 
Bukalah lembaran sejarah Finas. Sejarah tidak akan berbohong. Apakah kita telah setanding dengan kemajuan yang dicapai oleh Korea? Fakta-fakta dan informasi tentang bagaimana Korea membangunkan industri filem mereka yang dibentang dan disuarakan oleh Dr Anuar berlaku dan bermula hanya setahun sebelum, iaitu pada 1986.
 
Jika informasi dan cadangan-cadangan Dr Anuar itu diambil perhatian dan tindakan oleh Finas ketika itu, maka permulaan usaha kita memajukan industri filem dengan lebih tersusun hanya lewat setahun sahaja di belakang Korea. 
 
Lihatlah selepas 28 tahun bagaimana kejayaan industri dan pembikin-pembikin filem Korea sekarang. Bezakan dengan pencapaian kita. Apakah industri filem kita telah berkembang seperti Korea sekarang? 
 
Kenapa dan bagaimana industri filem Korea boleh mencapai kemajuan sehingga berjaya memeranjatkan dunia sedangkan keadaannya sebelum 1985-86 adalah sama seperti industri filem kita?

Senang cerita – kita mula bergerak untuk mengubah industri filem kita pada masa hampir sama dengan Korea. Di mana kita selepas 28 tahun dibandingkan dengan Korea?
 
Aku tidak boleh mengelak daripada bersetuju dengan kelantangan suara bernada keras Dr Anuar melalui kertas bahasnya itu  - hanya dengan perubahan kepada sikap yang betul sahaja barulah sesuatu kejayaan berjaya diraih. Beliau menegaskan, untuk maju orang Melayu mesti mengubah sikap.

Mesti berani menerima dan mencuba benda-benda baharu. Kita mesti keluar dari dunia nostalgik penuh fantasi. Cukup-cukuplah hidup dengan past glories – kegemilangan masa lampau. Kenyataan yang pahit tetapi ada kebenarannya jika direnungkan tanpa prasangka dengan minda dan hati terbuka. 
 
Lihat pandangan beliau seterusnya dalam catatan kertas bahasnya – Kita orang Melayu ni, entahlah, nak katakan jujur tak jujur, nak katakan hati baik, tak baik pulak, nak katakan pandai tak pandai, nak katakan tak reti, marah pulak tu. Kadang-kadang nak bengang kepala ni dibuatnya. Nak menyondol, nak menyondol ke mana.
 
Orang-orang besar aja di depan! Balik-balik P Ramlee, balik-balik P Ramlee. Kalau kaji P Ramlee tak apa pulak. Ini ikut sedap aja. P Ramlee baik, buruknya tak ada. Kan berbohong tu! Kalau orang berilmu berbohong, hah, barulah terbalik dunia ni.

Kita ingat P Ramlee, siapa nak lupa, tapi janganlah lupakan Hussin Haniff, Omar Rojik, S Kadarisman, M Amin, Jamil Sulong.
 
Sememangnya banyak attitude – sikap orang-orang Melayu yang mesti diubah dan dibuang jauh-jauh jika kita mahu mengorak langkah seiring dengan orang-orang Korea, waima dengan bangsa apa dan dalam apa bidang sekalipun. Apatah lagi dalam usaha memajukan industri filem kita.
 
Jika mengikut aliran pemikiran Dr Anuar – daripada aspek keterbukaan kepada teknologi, kepakaran, kefahaman ilmu seni dan filem maka boleh dikatakan kita dan filmmaker-filmmaker Korea tidak jauh bezanya. Perbezaan paling ketara dan memerlukan perubahan paling drastik ialah sikap kita. Inilah yang membezakan orang-orang filem kita dengan orang-orang filem Korea. 
 
Kenyataan inilah yang mahu disumbat dan dihentakkan oleh Dr Anuar ke benak mereka yang menerajui Finas ketika itu. Apakah cabaran ini disambut oleh sang penguasa dan para birokrat di Finas? Jawapannya dapat kita saksikan sekarang. 
 
Selepas 28 tahun di mana industri filem kita berbanding dengan Korea?
 
Apakah usaha-usaha yang dibuat oleh Motion Picture Promotion Corporation Republic of Korea berjalan dengan licin dan lancar sejak dimulakan pada 1986 sehingga sekarang? 
 
Pasti tidak, berbagai rintangan terpaksa mereka lalui seperti persaingan daripada filem-filem Hollywood, usaha gigih perlu dilakukan bagi mencorakkan daya penerimaan penonton Korea kepada filem-filem keluaran sendiri.

Halangan-halangan ini berjaya diatasi dengan berbekalkan sikap positif dan semangat jati diri yang kuat sehingga filem-filem dan sekarang muzik Kpop berjaya menakluki pop culture atau budaya popular dunia.
 
Pastinya perubahan sikap serupa inilah yang mahu dilihat oleh Dr Anuar menjadi kenyataan dalam membangunkan industri filem kita.