AKU bercadang menulis tajuk baharu selepas empat minggu menulis mengenai perangai dan sikap esentrik seorang pengarah filem muda Rusia, Illya Khrzhanovsky. Esentrisiti atau sikap dan perangai kegilaan seseorang pengarah filem seolah-olah satu kemestian untuk memberi kelainan dan imej tersendiri seorang pengarah filem. Konsep atau pandangan ini sememangnya sentiasa ada dalam industri filem di mana sahaja di dunia ini sejak dahulu.

Lanjutan daripada artikel-artikel itu, aku menerima berbagai respons daripada pelajar-pelajar filem dan peminat-peminat filem. Paling menarik perhatian aku ialah respons seorang yang menganggap dirinya seorang film buff atau peminat tegar filem. Seorang film buff selalu dan pastinya merupakan peminat filem yang luas serta dalam pengetahuan tentang perkembangan filem terkini dan sejarah filem dunia. Seseorang film bluff tidak semestinya individu terlibat secara langsung dalam bidang filem. Sesiapa sahaja yang punya minat mendalam tentang filem dan sejarah filem tanpa mengira profesinya boleh dikategorikan a film buff. Aku tidak nafikan beliau ini punya pengetahuan yang mantap mengenai bidang filem dan informasi tentang pengarah-pengarah filem tersohor dunia.

Menurut si film buff ini, aku tidak berlaku adil kepada pengarah-pengarah yang lebih otai dan kegilaan esentrik kesenimanan mereka lebih hebat dibandingkan dengan Illya Khrzhanovsky. Beliau memberi nama tiga pengarah filem tersohor dunia yang dianggapnya belum ada tandingannya daripada segi kegilaan kesenimanan serta sikap esentrik berkarya dalam pengarahan filem-filem mereka. Beliau menyebut nama-nama pengarah, Werner Herzog, Alejandro Jodorowsky dan Francis Ford Coppola.

Sememangnya ketiga nama tersebut adalah nama besar yang aku kenali dan hampir kesemua filem mereka pernah aku tonton. Aku mula tahu tentang Herzog dan Coppola sejak pertengahan 70-an. Mula tahu dan mengenali Jodorowsky pada awal 90-an lewat filem ketiga arahannya, Santa Sangre (1989). Filem pertamanya, El Topo dihasilkannya pada 1970.
Si film buff aka peminat filem tegar ini juga mengingatkan aku supaya berlaku adil kepada generasi muda pembikin dan pelajar filem kita. Mereka perlu didedahkan kepada kegilaan dan esentrisiti tokoh-tokoh pengarah di atas selain kegilaan pengarah Khrzhanovsky sahaja.

Beliau menganggap kegilaan Khrzhanovsky lewat filem Dau yang masih belum siap itu ibarat langit dengan bumi jika dibandingkan dengan kegilaan Herzog mengarah filem Fitzcarraldo (1982) di tengah-tengah belantara rimba hutan Amazon. Bagaimana Herzog melakukan penggambaran mengalihkan sebuah kapal  sungai – river steamboat untuk menggelakkan jeram dan air terjun yang berada di tengah-tengah dua batang sungai untuk sampai ke destinasi dituju oleh watak utamanya, Fitzcarraldo yang diperankan oleh mendiang Klaus Kinski (1926-1991).

Beliau memberi pendapat menarik bila menyatakan sikap dan perangai esentrik pengarah Khrzhanovsky yang ala-ala syok sendiri dan poyo itu, belum cukup mantap untuk dijadikan inspirasi dan motivasi bagi penggiat filem dan bakal pengarah generasi muda kita.

Menurut beliau, keesentrikan Khrzhanovsky lebih kepada untuk memenuhi ego besar dan nafsu kerana pengarah tersebut tidak berdepan dengan masalah bajet. Khrzhanovsky mahu meniru perangai tokoh yang dijadikan wira filemnya, Lev Landau, pakar fizik dan Pemenang Hadiah Nobel, 1962.  

Menurut si film buff lagi, Khzrhanovsky bukan contoh yang sesuai untuk dijadikan bahan perbincangan tentang keesentrikan kegilaan kesenimanan seorang pengarah. Tingkat paras keesentrikan Khzrhanovsky masih di peringkat budak hingusan lagi!  

Ini sangat berbeza dengan kegilaan dan esentriknya Herzog yang sentiasa terpaksa berdepan dengan masalah mendapatkan bajet untuk hampir kesemua filem arahannya.
Kegilaan sama ditempuhi oleh Francis Ford Coppola ketika mengarah filem klasiknya, Apocalypse Now (1979). Filem ini sekarang diiktiraf oleh pengkritik-pengkritik filem sebagai filem perang tentang Vietnam terbaik sepanjang zaman.

Coppola berdepan dengan masalah bencana alam – ribut typhoon yang melanda dan menghancurkan set di lokasi penggambarannya di Filipina. Terpaksa bergolok gadai untuk menyiapkan filem yang diinspirasikan daripada novel Heart of Darkness karya Joseph Conrad itu. Segala rintangan dan kegilaan yang terpaksa dilalui oleh Copolla ini dirakam dan didokumentasikan dalam filem dokumentari – Heart of Darkness: A Filmmaker’s Apocalypse (1991) arahan isteri Copolla, Eleanor Copolla.

Begitu juga pengalaman penuh kegilaan terpaksa ditempuhi Herzog boleh ditonton lewat dokumentari pembikinan filem Fitzcarraldo berjudul Burden of Dreams (1982) arahan Les Blank.
Seterusnya, si film buff bertanya adakah aku terlepas pandang hal ini? Sejujurnya aku nyatakan kepadanya, aku akui sememangnya terlepas pandang isu yang beliau bangkitkan itu. Kenapa? Aku tidak ada jawapannya. Namun aku berterima kasih kepada beliau kerana menimbulkan persoalan itu. Ia membolehkan aku membaik pulih dan menambah pengisian informasi dalam membincangkan keesentrikan seseorang pengarah filem.

Beliau berpandangan pengarah dan filem-filem arahan mereka punya kuasa mempengaruhi khalayak penonton. Paling merisaukan beliau ialah filem boleh mempengaruhi bakal penggiat dan pembikin filem muda. Menurut beliau, contoh kegilaan kesenimanan Khrzahnovsky yang aku tulis dan nukilkan tidak ada unsur positif dalam memotivasikan pembikin dan penggiat filem generasi muda kita. Sekali lagi aku tidak mahu menafikan pandangan beliau kerana aku perlu berfikiran terbuka.

Panjang lebar beliau berhujah lewat tazkirah sinematiknya. Aku cuba menjadi pendengar yang baik dan berimbang. Beliau sangat tidak bersetuju dengan pendapat sesetengah pembikin filem terutamanya pengarah dan pembikin filem tempatan menyatakan unsur-unsur negatif dipaparkan lewat filem mereka tidak menyumbang kepada masalah sosial seperti kes rempit dan gengsterisme. Tanpa berselindung beliau menyalahkan pengarah-pengarah yang banyak menghasilkan filem-filem mengangkat mat rempit dan figura daripada dunia gengster sehingga menjadi ikutan dan dikagumi oleh anak-anak muda. Beliau mencadangkan aku dan pengarah lain melihat dan mengkaji kes-kes buli dan pukul yang banyak berlaku di sekolah serta asrama sekolah sekarang ini. Paling beliau bengang bila sejak kebelakangan ini pelajar-pelajar perempuan pun berlagak seperti gengster. Dengan sinis beliau menyuarakan kekagumannya dengan ‘kemajuan’ terkini anak-anak bangsa kita yang mudah dipengaruhi oleh filem-filem aksi gengster tempatan yang sering gagal mengimbangi nilai negatif dengan nilai positif melalui bahasa filem dan visual. Aku akur dan tidak menafikan pendapat dan pandangan jujur si film buff ini. Terima kasih.

Berbalik kepada cadangan beliau supaya aku menulis tentang pengarah-pengarah esentrik selain Khzrhanovsky, aku akan cuba usahakan. Aku akan mulakan minggu depan dengan pengisahan keesentrikan Werner Herzog, insya-ALLAH.