MINGGU lalu aku menulis bidang kritikan filem dalam filem Melayu era 80-an sehingga awal 90-an. Salah seorang tokoh pengkritik filem paling menonjol ketika itu Mansor Puteh. Beliau dikenali dengan kelantangan dan sikap berterus-terang ketika menulis kritikan sesebuah filem Melayu yang dihasilkan ketika itu.

Aku nyatakan minggu lalu, kebanyakan pembikin dan pengarah filem ketika itu secara tidak resmi menganggap Mansor bagaikan ‘musuh’. Hanya kerana kritikan pedas dan berilmu beliau sering tidak selari dengan cita rasa dan kemahuan kebanyakan produser dan pengarah filem ketika itu.

Himpunan artikel dan kritikan Mansor telah dibukukan dengan tajuk – Kritikan Filem Mansor Bin Puteh pada 1995.

Selepas 20 tahun aku berpeluang membaca semula buku himpunan kritikan Mansor ini, aku ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca dan peminat, penggiat filem generasi sekarang. Pengalaman aku lalui dalam konteks dan berhubung kait bidang kritikan filem dengan perkembangan filem Melayu pada era 80-an dan 90-an.

Ketika itu aku sedang mencari tapak dalam bidang perfileman tanah air. Keadaan ini membuka danberi aku peluang mengutip pengalaman terlibat dalam produksi, berdepan dan berinteraksi dengan generasi lama pembikin filem kita. Generasi kurang senang dengan kehadiran dan kritikan Mansor.

Sejujurnya aku merasakan ia pengalaman mencabar minda dan daya fikir kreatifku ketika itu. Episod hidup pahit, tetapi penting dalam hidupku dan kerjayaku sebelum aku berjaya duduki kerusi pengarah filem.

Tulisan dan pemerhatianku ini bukan berdasarkan kajian ilmiah tentang bidang kritikan filem tempatan. Pengalaman peribadi yang aku kutip kerana aku berada sewaktu dengan filem-filem yang jadi bahan kritikan Mansor pada era awal dan pertengahan 80-an.

Aku dapati ilmu bidang kritikan filem masih terlalu amat asing kepada pembikin filem Melayu tempatan ketika itu. Aku perhatikan penulisan tentang filem Melayu yang tersiar di akhbar lebih menjurus kepada ulasan filem. Bukan kritikan filem dalam erti kata sebenar.

Ulasan filem ini sering ditulis wartawan hiburan syarikat akhbar berkenaan di ruangan seni dan hiburan akhbar mereka. Aku perhatikan ulasan filem oleh wartawan hiburan ini selalunya hanya menceritakan sinopsis filem terbaharu, selain informasi tentang berkesan atau tidaknya lakonan pelakon-pelakon utama filem tersebut. Ulasan-ulasan ini akan disiarkan selepas tayangan previu khas untuk wartawan dan komuniti filem diadakan oleh produser filem berkenaan.

Hampir kesemua ulasan filem yang tersiar dalam akhbar dan majalah ketika itu, tidak mendalam dan tidak ilmiah. Ulasan filem di ruangan hiburan akhbar seringnya berdasar pemerhatian mudah tanpa didasari ilmu filem. Lebih kepada kesan peribadi penulis terhadap tema, lakonan dan aspek teknikal seperti sinematografi dan suntingan selepas menonton previu sesebuah filem.

Apabila Mansor dan beberapa pengkritik filem lain yang ada latar belakang ilmu filem muncul dengan kritikan lebih ilmiah, penggiat dan pembikin filem Melayu mengalami kejutan budaya.

Lewat peluang aku berinteraksi dengan pembikin filem Melayu ketika itu yang kebanyakannya bekas tenaga kerja dan tenaga kreatif Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura, aku berhasil memahami mengapa mereka bersikap anti pengkritik filem.

Aku dapati kebanyakan mereka tidak ada asas ilmu dan sejarah filem dunia. Maaf cakap, hampir kesemua mereka beranggapan jika mereka pernah bekerja di bawah P Ramlee di Singapura sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, maka itulah lesen besar membolehkan mereka terus diberi kepercayaan produser baharu untuk terlibat dalam bidang filem.

Kebanyakan produser baharu Melayu Bumiputera yang menerbitkan filem dengan bajet sendiri atau dengan pinjaman bank dan Finas pun berkongsi dan sealiran pemikiran dengan bekas tenaga kerja dan kreatif daripada dua studio Singapura yang telah ditutup itu.

Inilah senario atau latar belakang keadaan industri filem Melayu pada akhir 70-an dan awal 80-an. Aku agak skeptikal bila menggunakan perkataan ‘industri’. Bolehkah dipanggil industri jika jumlah filem Melayu dihasilkan ketika itu di antara 10 hingga 15 filem sahaja setahun?

Berbalik kepada isu pertembungan antara pengkritik filem generasi baharu dengan pembikin dan penggiat filem generasi era hitam putih. Ketika sembang-sembang santai dengan ramai bekas pembikin filem era Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura ini, rata-rata mereka berpendapat pengkritik filem seperti Mansor dan yang sewaktu dengannya perlu buat filem dahulu sebelum cuba kritik filem orang lain.

Aku minta penjelasan mereka kenapa pengkritik filem mesti buat filem dulu. Mereka merasionalkan bila pengkritik sudah pernah buat filem baharulah mereka tahu betapa sukar menghasilkan sesebuah filem. Lantas bila mengkritik filem, pengkritik akan ada sifat  timbang rasa supaya tidak mengkritik teruk sesuatu filem itu sehingga gagal menarik penonton ke pawagam. Pengkritik jangan kritik sehingga produser rugi.

Sebenarnya, pendapat ini tidak boleh diguna pakai dalam menulis kritikan filem. Pengkritik mengupas dan mengkritik berdasarkan kerja seni filem yang telah siap digarap dan arahkan oleh sang pengarah. Kritikan ini pula perlu berlandaskan ilmu dan sejarah filem bukan atas sifat peribadi dan emosi.

Pengkritik filem seantero dunia tidak diwajibkan perlu tahu dan bersimpati dengan kesukaran yang dilalui oleh pengarah dan pasukan produksinya dalam melahirkan sesebuah filem. Diakui umum, tugas utama pengkritik filem ialah memberi komen dan kritikan apa yang terpancar di skrin - hasil filem yang muktamad.

Dengan ilmu dan pengetahuan sejarah filem dunia dan tempatan, tugas pengkritik mentafsirkan yang tersurat dan tersirat lewat visual yang dipancarkan di skrin. Memberi kefahaman dan menegur kelemahan terdapat pada teks naratif (tersurat) dan subteks (tersirat) sesebuah filem. Ini tugas utama seorang pengkritik filem. Paling penting tidak semua orang boleh menggalas tanggung jawab seorang pengkritik filem jika tidak belajar filem dan sejarah filem dunia termasuk sejarah filem tanah air kita!

Berdasarkan himpunan kritikan dan artikel dalam buku Kritikan Filem Mansor Bin Puteh, kita boleh mendapat gambaran keseluruhan suasana perfileman dari segi sikap, mentaliti dan komitmen pembikin, penggiat dan produser filem Melayu era 80-an.

Dunia filem Melayu di era 80-an ketika peralihan daripada sistem studio berpusat di Singapura kepada wujudnya syarikat-syarikat filem persendirian milik produser Melayu Bumiputera berpusat di Kuala Lumpur melihatkan kita jauh tertinggal di belakang dalam aspek paling penting dalam pembikinan filem iaitu naratif atau penceritaan.

Cuba perhatikan di antara tajuk-tajuk artikel kritikan Mansor dalam buku tersebut – 1) ESOK MASIH ADA: Jins + Lukemia + Polis + Melodrama Tulen! 2) SUMPAH SEMERAH PADI: Bertelagah di antara KeIslaman dan Tahyul dan Metos Animisme 3) KABUS TENGAH HARI : Tajuknya Indah dan Menarik, Tetapi Cerita dan Wataknya... 4) SENJA MERAH: Melodrama Cinta Tiga Segi Ala Filem Hindustan 5) BERTUNANG: Seks, Makanan dan Pak Pandir 6) BILA HATI TELAH RETAK: Meneroka Tema Baru Dipuji Tetapi Pengolahannya... dan 7) JAUH DI SUDUT HATI: Obsesi dengan Seks!

Daripada tajuk-tajuk di atas kita melihat Mansor mengupas dan mengkritik elemen paling utama dan penting untuk sesebuah filem iaitu naratif atau cerita. Beliau mengkritik pengolahan cerita dan plot yang berterabur dan tidak mengikut sistem ilmu penulisan skrip - three act play. Pertama pengenalan tema, cerita dan watak, kedua kewujudan konflik dan ketiga penyelesaian.

Tidak dinafikan inilah kelemahan paling ketara berlaku dalam hampir kesemua filem Melayu arahan bekas pengarah dan bekas pelakon daripada sistem studio Singapura yang menjadi pengarah berpusat di Kuala Lumpur.

Apa mahu disentuh dan dikritik oleh Mansor dan pengkritik sewaktu dengan beliau ialah tukang cerita (pengarah) mesti tahu dan belajar cara serta tertib bercerita lewat visual filem. Inilah yang mahu dibetulkan dan difahamkan oleh tukang kritik kepada tukang cerita!

Tetapi sejarah mencatatkan tukang cerita era 80-an bermentaliti jumud, beku, bengap dan beremosi melulu tidak kena tempat. Aku sendiri pernah dicabar bertumbuk oleh seorang produser (arwah) kerana mengkritik filemnya lewat artikelku di akhbar tempatan. Al-fatihah buat roh produser tersebut.

Paling manis buat aku, artikel tersebut adalah usaha pertama aku menulis kritikan filem. Belum apa-apa sudah terpaksa bertumbuk!

Bila aku kenangkan semula insiden 37 tahun lampau itu, terlintas di fikiranku - apakah kita sudah ke depan atau masih di takuk lama? Kelakar sungguh dunia filem negaraku ini!