MINGGU ini aku akan sambung menulis tentang eccentricity atau kegilaan esentrik kesenimanan pengarah muda Rusia bernama Ilya Khrzhanovsky yang baru berusia 40 tahun.

Eccentricity adalah perkataan Inggeris menurut Kamus Inggeris – Melayu Dewan membawa makna sifat, perlakuan aneh, idea-idea ganjil dan aneh.

Eccentric atau esentrik ialah sifat seseorang yang mempunyai pandangan, perangai dan tingkah laku ganjil, aneh dan tidak konvensional.

Dau adalah filem kedua arahan Ilya Khrzhanovsky mengisahkan kehidupan saintis Rusia pemenang The Nobel Prize in Physics, 1962, Lev Landau (1908-1968). Filem ini merupakan salah satu projek terbesar dan paling kontroversial dalam sejarah sinema Rusia sehingga ke saat ini.

Khrzhanovsky memulakan proses pra-produksi filem Dau pada 2006. Selepas dua tahun, baru penggambaran sebenarnya bermula pada 2008 dan berlangsung sehingga 2010. Penggambaran memakan masa selama tiga tahun telah menghasilkan bahan rakaman visual-visual mentah berdurasi 700 jam bersamaan 42,000 minit!

Tayangan perdana dunia filem Dau dijangka diadakan di Cannes Film Festival 2012 tetapi terpaksa dijadualkan semula kepada Mei 2014. Tetapi sehingga saat ini (November 2015), Khrzhanovsky masih belum selesai proses menyunting Dau di studio suntingan 100, Piccadilly, London. Apakah Dau akan ditayangkan di Cannes Film Festival pada Mei 2016? Belum ada kepastian lagi.

Berbalik kepada sikap ‘kegilaan’ esentrik Khrzhanovsky, perangai ‘gila’ esentrik kesenimanannya bermula selepas beliau berjaya mendapat kepercayaan daripada pelabur-pelabur selepas kejayaan di luar jangkaan melalui filem arahan pertamanya berjudul Chetyre atau 4 (2005) di Rotterdam International Film Festival.

Filem Dau berdasarkan buku How We Lived – Bagaimana Kita Hidup tulisan Kora T Drobanzeva, isteri Lev Landau. Khrzhanovsky tertarik dengan kisah hidup Lev Landau, seorang genius dalam bidang fizik.

Pengalaman peribadi Landau melibatkan gaya hidup seksualnya, kehebatan penemuan baharu dalam bidang fizik dan kesengsaraan hidupnya selepas terlibat dalam kemalangan kereta yang membuatnya koma hampir dua bulan pada 1962.

Majlis penyampaian anugerah The Nobel Price 1962 kepada Landau terpaksa diadakan di hospital ketika beliau terlantar di katil pesakit. Rentetan kesemua peristiwa ini menjanjikan Khrzhanovsky satu naratif menarik untuk sebuah filem bergenre bioepik.  

Dengan keyakinan dan bajet daripada pelabur-pelabur Rusia dan Eropah, Khrzhanovsky dengan segera membentuk sebuah syarikat penerbitan dengan tujuan membawa kehidupan Landau ke skrin lebar.

Melalui rundingan Khrzhanovsky berjaya meyakinkan pelabur-pelabur yang berminat untuk setuju memberi beliau kuasa mutlak dan kebebasan berkarya sepenuhnya dalam memproduksikan filem Dau.

Menurut kontrak dimeterai dengan pelabur-pelabur Rusia dan Eropah, Khrzhanovsky diberi kuasa penuh menentukan penyuntingan filem ini sehingga ke peringkat suntingan akhir – final editing. Beliau juga diberi kuasa penuh untuk memecat sesiapa sahaja daripada produksi ini tanpa penjelasan.

Syarat paling menarik dalam kontrak tersebut yang merupakan idaman semua pengarah filem di atas planet bumi ini, baik yang hidup atau mati ialah tiada tarikh akhir untuk Khrzhanovsky menyiapkan filem Dau ini. Hebat dan beruntung sungguh Khrzhanovsky. Salut!

Khrzhanovsky berkuasa memilih tenaga kerja dan kru terdiri daripada orang-orang berlatar belakangkan bidang seni dan teater sahaja yang punya tenaga kreatif menepati cita rasa beliau berpeluang bergabung dengannya menghasilkan filem ini.

Dalam pemilihan pelakon pula, untuk peranan utama, Khrzhanovsky meletakkan satu ketetapan – beliau mahukan watak utama Lev Landau, seorang genius mesti diperankan oleh seorang genius yang sebenar juga, tanpa mengira disiplin dan latar belakang bidang kepakarannya.

Khrzhanovsky bertegas - “I needed people who would have those energy levels,” he reasons. “Geniuses to play geniuses, the powerful to play the powerful.” Terjemahannya - “Saya mahukan orang-orang yang mempunyai tahap tenaga yang diperlukan,” katanya. “Genius memerankan watak genius, yang berkuasa memerankan watak yang berkuasa.”

Beliau akhirnya memilih Teodor Currentzis, seorang konduktor muzik klasik daripada Greece memerankan watak Lev Landau.

Seorang sahaja pelakon profesional yang dipilih iaitu pelakon Radmila Shchegoleva untuk memerankan watak Kora, isteri Landau. Sebelum penggambaran bermula, atas kehendak Khrzhanovsky, Radmila terpaksa menghabiskan satu tahun bekerja di sebuah kilang coklat dan hospital. Ini lebih merupakan penderaan tanpa sedar ke atas Radmila oleh Khrzhanovsky untuk mengeluarkan dan membentuk watak yang diingininya.

Kecuali untuk tiga watak utama, mereka yang terlibat dalam penggambaran Dau memerankan diri masing-masing. Pakar fizik membawa watak seorang pakar fizik, bekas ketua Parti Komunis memerankan semula watak ketua parti.

Sehinggakan bekas ejen-ejen KGB juga diambil semula untuk memerankan watak yang sama. Sementara pelakon-pelakon ekstra dipilih daripada pangkalan data berjumlah 210,000 calon.

Filem Dau berlatar belakangkan era 50-an dan 60-an ini memulakan penggambaran pada 2006 dengan penggambaran dilakukan di pelbagai tempat di Rusia, Ukraine, Jerman, United Kingdom dan Denmark.

Separuh daripada penggambaran filem Dau ini dilakukan dalam set yang dibina khas dipanggil The Institute - Institut. Set Institut ini dibina di bandar Kharkiv di timur laut Ukraine. Ia adalah set filem terbesar pernah dibina di Eropah.

Set ini merangkumi keluasan kawasan berjumlah 12,000 meter persegi. Ia adalah pembinaan semula secara kreatif dan dinamik bangunan dan kawasan larangan Institut yang pernah wujud di Moscow pada 1938-1968. Set Institut ini dibina secara besar-besaran mengandungi replika benar-benar realistik untuk menggambarkan era Stalin dan Moscow.

Akhirnya, set Institut ini dimusnahkan bagi memenuhi sebahagian penting daripada plot cerita. Penggambaran kemusnahan set Institut dilakukan pada dan 8 November 2011.

Apa yang terjadi dalam set Institut? Menurut laporan daripada wartawan dan penulis yang dibenarkan melawat set penggambaran Dau di Institut, Khrzhanovsky menggunakan kebebasan berkaryanya dengan segala keensentrikan yang mampu difikirkannya dalam mengarahkan dan menghasilkan filem mengenai seorang tokoh pakar fizik yang juga eksentrik.

Minggu depan kita akan melawat dan masuk ke set Institut untuk melihat ‘kegilaan’ esentrik kesenimanan Khrzhanovsky, pengarah muda yang mampu membuat pelabur-pelabur filemnya menurut kemahuan dan segala ‘kegilaan’ eksentriknya.