AKU memulakan langkah menjadi penolong pengarah pada tahun 1981. Aku bermula dengan sebuah produksi antarabangsa dari Perancis untuk penggambaran filem berjudul After The River.

Filem yang menjalani penggambaran di Setiu, Terengganu ini berlatarbelakangkan perang Vietnam yang berlaku sejak 1955 sehingga 1975. Perang yang melibatkan pertembungan antara Amerika Syarikat dengan blok fahaman komunis Vietnam Utara ketika itu.

Ini merupakan filem cereka pertama aku terlibat sebaik sahaja aku berhenti dari syarikat Profilms. Untuk filem ini aku berpeluang bertugas sebagai penolong pengarah ketiga. Tugas aku memastikan lokasi dan logistik melibatkan kru tempatan dalam keadaan tersusun dan siap siaga. Tenaga kerja terlibat dalam produksi ini terdiri dari Perancis dan tempatan berjumlah hampir 60 orang.

Pengalaman aku lalui dengan keterlibatan dalam produksi dari warganegara Perancis itu membuka mata aku untuk memahami berbagai benda boleh dilakukan dan dihasilkan melalui filem sama ada baik atau buruk. Terpulang kepada niat dan rasa tanggungjawab sang pengarah terhadap hasil kerja seninya yang bernama filem.

Pengarah menentukan ke arah mana mahu dibawanya karya seni filemnya itu. Kementerian Dalam Negeri mengarahkan penggambaran filem After The River dibatalkan dan diarah berhenti selepas seminggu penggambaran.

Ini terjadi kerana kes pengarah filem ini telah cuba membuat adegan melibatkan seorang kanak-kanak perempuan Melayu berusia 8 tahun melakonkan watak kanak-kanak Vietnam berlari dalam keadaan bertelanjang bulat dari serangan bom napalm ketika dalam perang Vietnam.

Pengarahnya cuba melakonkan semula insiden yang berlaku di kampong Trang Bang pada 8 Jun 1972 ketika perang Vietnam sedang memuncak. Aku mengamuk dalam set penggambaran untuk menyelamatkan maruah seorang anak dara sunti Melayu dari menjadi mangsa manipulasi oleh produksi filem dari luar.

Ia suatu pengalaman kerja yang meninggalkan kesan dramatik di luar jangkauan aku ketika mula-mula hendak mencari pengalaman dan tapak dalam pembikinan filem cereka. Inilah pengalaman paling mencabar fizikal dan mental sebagai seorang filmmaker.

Pada penghujung 1981 aku mendapat peluang untuk menjadi penolong pengarah untuk satu filem feature keluaran syarikat Indra Filem Sdn Bhd. Aku dihubungi oleh Shaharudin Wahid yang merupakan pengurus produksi untuk syarikat tersebut.

Aku memang telah mengenali beliau lama sebelum ini. Beliau yang senang dengan panggilan Shah sesama rakan juga bermula dari bidang filem iklan. Ketika aku di Profilm, Shah bertugas sebagai pengurus produksi di Gaya Filem, syarikat filem iklan kepunyaan Datuk L Krishnan. Kemudian beliau berpindah menceburi bidang filem cereka bertugas sebagai pengurus produksi di Indra Filem Sdn Bhd.

Beliau yang juga merupakan pengurus produksi unit tempatan yang terlibat dalam produksi filem After The River. Shah menawarkan tugas penolong pengarah kepada aku untuk satu produksi baharu bakal diterbitkan oleh syarikat Indra Filem Sdn Bhd. Beliau juga menawarkan tugas itu kepada aku kerana beliau tahu aku minat dan boleh membuat kerja-kerja dalam bidang art direction.

Aku tanya siapa pengarah dan apa tajuk filem yang bakal aku terlibat jika aku setuju? Shah memberitahu aku, filem ini berjudul KAMI bakal dibintangi oleh Sudirman Hj Arshad, penyanyi sedang top ketika itu. Sudirman merupakan juara Bintang RTM 1976. Beliau juga baharu selesai pengajiannya dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya ketika itu.

Pengarahnya pula, Patrick Yeoh, seorang wartawan dan pengkritik filem dengan akhbar berbahasa Inggeris, The New Straits Times. Ramai yang menyangka pengarah filem ini ialah Patrick Teoh yang merupakan seorang deejay radio, pelakon teater dan filem-filem keluaran tahun-tahun 2000. Mereka adalah dua orang yang berbeza cuma berkongsi nama awal yang sama – Patrick.

Menurut Shah, Patrick Yeoh tidak ada pengalaman mengarah dan penglibatan dengan kerja-kerja filem sebelum ini. Beliau meminta aku membantu Patrick dalam hal-hal pengarahan dan teknikal. Jujur aku katakan, sebenarnya aku risau kerana sebelum ini aku tidak pernah bekerja dengan pengarah filem yang tidak ada langsung pengalaman asas cinematic.

Ini pertama kali aku bekerja dengan pengarah yang akan hanya mengarah pelakon-pelakonnya berdasarkan skrip tulisannya sendiri tanpa pengetahuan asas pembikinan filem. Satu tugas berat dan penuh cabaran. Aku agak skeptikal tetapi aku terima tawaran itu kerana ini adalah peluang pertama untuk aku terlibat dalam produksi filem cereka dari peringkat awal sehingga akhir, insya-Allah.

Aku suka dan tertarik dengan  cerita Kami selepas membaca skrip hasil tulisan Patrick Yeoh itu. Cerita Kami ini lain dari cerita filem-filem Melayu ketika itu. Ada kesegaran dari segi tema dan isu yang ingin diangkat oleh Patrick.

Kami bukan cerita klise. Ada statement - penyataan tentang masalah anak-anak gelandangan terbiar disebabkan oleh masalah sosial dan ketandusan nilai kasih sayang kekeluargaan. Kisah sebuah persahabatan dan pengorbanan. Tema seperti ini sememangnya tidak pernah disentuh oleh pengarah-pengarah filem Melayu ketika itu.

Aku berjumpa dan berbincang dengan Shah, Patrick dan Sudirman tentang produksi yang bakal kami usahakan ini. Dari perbincangan-perbincangan yang kami adakan, aku bertanggungjawab menyusun atur cara kerja yang akan kami gunakan untuk melicinkan penggambaran.

Secara asasnya, tugas aku adalah membantu Patrick dari aspek teknikal, susun atur jadual dan gerak kerja penggambaran. Patrick dan Sudirman menumpukan kepada skrip, penceritaan, lakonan dan pemilihan pelakon.

Ketika peringkat pra-produksi atau pre-production aku menumpukan perhatian kepada pemilihan lokasi, props dan paling penting menyediakan jadual penggambaran. Aku menyusun jadual penggambaran berdasar kepada kemampuan dan kefahaman Patrick sebagai pengarah untuk melaksanakan babak-babak bakal diarahkannya pada setiap hari.

Aku faham tentang kekurangan pengetahuan teknikal Patrick dari segi komposisi, pergerakan kamera, pencahayaan dan kesinambungan untuk semua aspek melibatkan penghasilan sesebuah filem.

Pada aku kekurangan Patrick dalam aspek ini tidak merupakan masalah besar kerana paling penting beliau tahu apa yang hendak dihasilkan dari pelakon-pelakonnya untuk merealisasikan jalan cerita dan tema cerita yang telah dituliskannya. Akhirnya, aku menyediakan jadual untuk 50 hari penggambaran. Penggambaran untuk 45 hari dengan 5 hari tambahan untuk luar jangkaan atau contingency.

Penggambaran dimulakan dengan babak-babak yang tidak berapa berat dan mencabar. Aku masih ingat hari pertama shooting ialah babak Tookoo (Sudirman) dan Din (Zul Zamanhuri) mengambil upah memotong rumput di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail.

Jika tidak silap aku selepas seminggu baru dilakukan penggambaran di banglo lama yang merupakan tempat kediaman Tookoo dan Din. Lokasi banglo lama itu terletak di Jalan Pinang berhampiran dengan Impiana KLCC Hotel sekarang.

Sejujurnya aku berasakan melalui filem Kami, aku tidak banyak belajar dan menimba pengalaman kerja dari aspek pengurusan dan teknikal pembikinan sesebuah filem cereka atau feature film. Sebaliknya penglibatan aku dalam filem Kami ini banyak memberi aku pendedahan dan pengalaman berharga tentang sikap, perangai dan intrik-intrik tipu muslihat di belakang tabir pembikinan sesebuah filem. Aku akan ceritakan minggu depan, insya-Allah.