MINGGU ini aku mahu berkongsi dengan pembaca-pembaca, latar belakang beberapa filem-filem adaptasi daripada novel-novel karya penulis-penulis terkenal dunia dan serantau.

Adaptasi sesebuah filem yang baik bukan setakat mengekalkan semangat dan tema novel tetapi mengolahnya menjadi karya sinematik yang unik.

Berdasarkan pendapat dan pandangan di atas aku ingin berkongsi informasi tentang filem-filem adaptasi dari novel yang aku rasa perlu diketahui oleh pembaca dan penonton bagi menambah kefahaman tentang filem dan meningkatkan budaya menonton filem.

Ramai penonton dan pembaca novel selalunya mengharapkan  filem-filem adaptasi rata-ratanya akan  mengikut penceritaan seratus peratus seperti dalam novel. Kenyataan ini memang tidak dapat dipisahkan daripada sikap dan budaya menonton filem oleh kebanyakan penonton-penonton filem di seluruh dunia. Tetapi tuntutan ini hampir pasti belum berjaya dipenuhi seratus peratus oleh pengarah-pengarah filem tempatan dan antarabangsa.  

Kenapa ada perbezaan antara penceritaan dalam novel berbanding dengan naratif filem yang dihasilkan? Perbezaan hasil adaptasi ini berlaku atas sebab-sebab tertentu dan tersendiri.
 
Filem Ranjau Sepanjang Jalan (1983) arahan Jamil Sulong (Allahyarham) daripada novel karya Shahnon Ahmad, terdapat perbezaan antara pengakhiran versi novel berbanding dengan versi filem. Dalam filem watak Jeha diperankan oleh Sarimah diubah menjadi watak yang sembuh daripada sakit mental yang dihidapinya selepas kematian suaminya, Lahuma. Jeha berjaya bangkit semula dengan bersemangat untuk meneruskan hidup dengan anak-anaknya.

Kenapa perubahan ini dilakukan telah dijelaskan oleh Sarimah selaku pemeran watak Jeha dan produser bersama filem  ini dalam satu forum anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara pada 2012.

Menurut beliau, perubahan ini dilakukan atas keinginan untuk membina watak Jeha yang bersemangat tidak mudah mengalah dan bersikap positif. Aku secara peribadi setuju dengan alasan ini kerana filem boleh digunakan untuk menerap nilai dan sikap positif yang mampu mengubah pemikiran masyarakat. Sebagai produser bersama, Sarimah berjaya menggunakan peluang dan ruang ini.

Filem epik klasik arahan David Lean, Doctor Zhivago (1965), diadaptasi daripada novel agung karya penulis Russia, Boris Pasternak. Novel ini mengisahkan Yuri Zhivago, seorang pakar perubatan dan penyair yang kehidupannya berubah akibat peperangan.

Perbezaan paling ketara antara versi filem dan novel ialah pengadaptasiannya adalah secara longgar. Ini mengakibatkan perubahan agak besar pada naratifnya. Namun filem ini direkodkan filem kelapan dunia yang berjaya meraih kutipan tertinggi sepanjang zaman. Ia juga dianggap filem yang menepati definisi sebuah filem epik.

Filem genre gengster paling terkenal, The Godfather (1972) arahan Francis Ford Coppola memaparkan perbezaan paling ketara dalam pembentukan watak-watak Fabrizio dan Calo pengawal peribadi kepada watak Michael Corleone, diperankan oleh Al Pacino ketika di Sicily. Perkembangan nasib watak-watak ini tiada persamaan langsung antara versi novel dan filem.

Novel ini ditulis oleh Mario Puzo (1920–1999). Adaptasi dan lakon layarnya ditulis oleh Francis Ford Coppola dan Mario Puzo sendiri. Penglibatan Mario dalam menulis lakon layar memudahkan lagi proses perubahan yang perlu dilakukan untuk mengadaptasikan novel terbitan 1969 ini ke filem. Filem ini memenangi tiga Anugerah Akademi 1972 untuk Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Marlon Brando) dan Lakon Layar Adaptasi Terbaik untuk Puzo dan Coppola.

Stephen  King adalah seorang novelis  Amerika paling popular yang terkenal dengan karya-karya  seram kontemporari, sains fiksyen  dan fantasi. Novel-novel beliau telah terjual lebih daripada 350 juta naskhah.

Novel sulung karya Stephen berjudul Carrie terbitan 1974 adalah filem pertama daripada lebih 100 filem dan siri televisyen yang diadaptasi daripada karya-karya beliau. Aku anggap novel Carrie ini contoh paling menarik untuk kita bincangkan tentang proses adaptasi novel ke filem dan remake sesebuah filem berdasarkan sumber cerita yang sama.    
Di tangan Stephen, penceritaannya tentang fenomena telekinesis dalam novel Carrie adalah dalam bentuk siri artikel akhbar dan kandungan surat menyurat.
 
Telekinesis adalah kemampuan memanipulasi objek fisikal hanya dengan kekuatan minda semata-mata. Tetapi untuk filem Carrie (1976), pengarah Brian De Palma mengambil pendekatan struktur penceritaan yang sama sekali berbeza untuk memenuhi tuntutan penceritaan secara cinematic.

Filem Carrie adalah satu-satunya filem seram yang dicalonkan untuk Anugerah Akademi berganda pada 1977.

Sissy Spacek, pemeran watak utama Carrie dicalonkan untuk anugerah Pelakon Wanita Terbaik. Sementara Piper Laurie menerima pencalonan untuk anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk  watak ibu Carrie, seorang pendera yang kejam.

Novel Carrie ini juga telah diadaptasikan semula untuk diremake atau filem yang dibuat semula pada 2013. Menggunakan judul yang sama, filem Carrie versi 2013 arahan Kimberly Peirce dan lakon layar ditulis oleh Roberto Aguirre-Sacasa bersama Lawrence D Cohen (penulis lakon layar filem asal) adalah remake daripada Carrie versi pertama 1976. Kali ini watak Carrie diperankan oleh pelakon berusia 16 tahun Chloe Grace Moretz.

Aku rasa perlu untuk berkongsi informasi menarik tentang versi remake ini. Menurut ramai pengkritik dan pengulas filem, versi remake ini lebih setia kepada versi filem adaptasi asal 1976 berbanding bahan sumber novel sebenar.

Melalui versi filem remake ini kita akan melihat bagaimana adaptasi dilakukan untuk menjadikan naratif asal filem Carrie lebih kontemporari dan semasa. Teknologi moden seperti rakaman telefon bimbit dan muat naik YouTube digunakan selain menambah beberapa watak dan adegan-adegan baharu tanpa mengubah struktur penceritaan. Elemen-elemen terkini ini berjaya menjadikan filem Carrie versi remake sebagai filem untuk generasi sekarang.

Filem Carrie adalah contoh terbaik proses adaptasi daripada novel ke filem dan diadaptasi pula daripada filem asal untuk dijadikan filem remake. Menarik.

Visual terjelma dalam minda aku bila berbicara tentang novel dan filem Carrie ini adalah wajah-wajah si penulis karya asal Stephen King dan diikuti sang pengarah, Brian De Palma – Carrie (1976) dan  Kimberly Peirce – Carrie (2013).

Kesimpulannya, proses adaptasi bersifat sangat terbuka dan memberi ruang berkarya seluas-luasnya untuk menambah nilai kreatif kepada sesebuah novel.