ANTARA 1994 sehingga 2000, aku tidak berpeluang langsung untuk berkarya sama ada mengarah filem ataupun drama untuk televisyen. Selama enam tahun ini peluang untuk aku berkarya tertutup rapat.

Masa aku banyak terbuang melayan karenah birokrasi hiburan dan seni tanah air seperti isu rambut panjang, selain aku terpaksa berdepan dengan hubungan kurang mesra dengan Finas dan penentangan aku terhadap rejim Mahathir.

Keadaan hidup aku sekeluarga makin meruncing kerana ketidakmampuan aku untuk menampung kos hidup yang tinggi di ibu kota. Akhirnya, pada 1996 aku terpaksa meninggalkan Kuala Lumpur dan balik ke tempat kelahiran aku di Alor Gajah, Melaka. Kisah hidup aku ini pernah aku ceritakan dalam temu bual dengan Zass setahun lalu.

Aku berusaha mendepani tekanan hidup dan penindasan pihak berkuasa walaupun peluang berkarya dan ‘cari makan’ disekat. Aku di‘gam’ tanpa surat rasmi hitam putih daripada pihak berkuasa yang menyekat drama-drama dan filem-filem arahan aku disiarkan di televisyen. Aku terpaksa mencari rezeki dengan menulis skrip drama menggunakan nama samaran untuk menampung hidup.

Tiba-tiba pada tanggal 22 Julai 2001 bersamaan hari Ahad, aku dikunjungi oleh sahabat lama aku, Dinsman – seorang penyajak, penulis dan ketika itu sudah bergiat sebagai penerbit program-program untuk televisyen dan filem dokumentari.

Aku mengenali Dinsman sejak dari zaman ‘Anak Alam’ ketika aku mula berjinak-jinak bergiat dalam teater di penghujung tahun 70-an. Dinsman datang mencari aku di Melaka untuk menawarkan peluang mengarah filem dokumentari yang bakal dipasarkan dalam bentuk VCD.

Bukan untuk siaran mana-mana stesen televisyen. Alhamdulillah, pada saat-saat aku hampir putus harapan untuk terus berkarya, datang peluang dan rezeki ini. Moga ALLAH SWT membalas kebaikan budi beliau. Terima kasih, Din!

Aku tanya beliau, apakah bentuk dan cerita filem dokumentari yang mahu diterbitkan oleh syarikatnya itu. Dinsman memberitahu aku, dokumentari mengenai Tok Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan ketika itu. Aku terkejut besar! Biar betul Dinsman ni - itulah reaksi pertama aku.

Menurut beliau, subject matter atau bahan-bahan bakal dimuat dan dipaparkan lewat dokumentari tersebut ialah tentang kehidupan Tok Guru Nik Aziz. Aku terkejut bukan kerana tawaran ini merupakan filem dokumentari pertama bakal aku arahkan.

Sebelum ini pun aku pernah mengarah filem-filem dokumentari di antaranya dokumentari tentang peluang pelaburan di sebuah negeri untuk delegasi kerajaan negeri tersebut gunakan ketika bertemu bakal pelabur-pelabur di luar negara.

Melalui dokumentari ini juga aku diperlukan menemu bual dan merakam visual menteri besar negeri tersebut. Tidak perlulah aku sebut negeri mana dan siapa menteri besar tersebut kerana beliau telah lama bersara daripada jawatan tersebut dan juga politik.

Berbalik kepada tawaran Dinsman, aku tanya beliau siapa tulis skrip dan apa hendak diceritakan tentang Tok Guru lewat dokumentari ini? Menurutnya, beliau akan menulis skripnya yang menceritakan kehidupan Tok Guru sebagai seorang pemimpin parti politik berlandaskan perjuangan Islam dan rutin hidupnya sebagai satu-satunya Menteri Besar sebuah negeri yang diperintah oleh pembangkang.

Selain itu, dokumentari ini juga diharapkan dapat memaparkan sisi lain atau the other side of Tok Guru sebagai seorang agamawan, pendakwah, ketua keluarga dan manusia biasa.

Aku secara peribadi memang tertarik dengan idea Dinsman itu. Menarik dan lain daripada biasa. Tetapi ada sesuatu asyik mengganggu minda aku tentang tokoh dikenali sebagai seorang ulama yang bukan calang-calang statusnya ini.

Apa pendekatan dan olahan naratif akan aku ambil untuk menggalas tanggungjawab menghasilkan dokumentari ini. Berdasarkan pengalaman yang pernah aku lalui, terus-terang aku katakan lebih mudah mengarah dokumentari melibatkan pemimpin-pemimpin atau tokoh-tokoh politik biasa – senang cerita pemimpin-pemimpin golongan sekular berbanding dengan pemimpin ulama seperti Tok Guru. 

Tok Guru ternyata ada banyak kelainan dan keluarbiasaan yang hanya dimiliki oleh beliau sahaja. Aspek ini yang perlu diambil perkiraan sebelum aku memulakan penggambaran walaupun skripnya aku yakin dalam keadaan terjamin dan mantap isi kandungannya di tangan Dinsman sebagai penulisnya.

Pastinya memenuhi tuntutan dan syarat yang menepati ciri-ciri pemimpin sebuah gerakan Islam. Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat adalah pemimpin Pas yang merupakan parti Islam terbesar di Malaysia.

Kelainan yang perlu aku pertimbangkan sebagai pengarah filem dokumentari ini ialah daripada aspek shooting iaitu penggambaran keseluruhan filem dokumentari tersebut. Kami berbincang dan menemukan cara kerja di mana aku akan menggunakan pendekatan cinema verite – perkataan Perancis bermakna truthful cinema atau terjemahan ringkasnya sinema atau filem benar/asli bukan dilakon-lakonkan.

Gaya cinema verite ini adalah cara penggambaran filem dokumentari yang dicipta oleh pengarah filem dokumentari Perancis dan ahli antropologi bernama Jean Rouch (1917-2004).

Penggunaan kamera digabungkan dengan improvisasi kejadian dan peristiwa sebenar berlaku kepada subjek filem itu bagi menyatakan dan mengetengahkan apa sebenarnya berlaku di sebalik realiti yang dirakamkan.

Skrip dokumentari ini ditulis dan diolah untuk dijadikan cuma sebagai rangka paling asas supaya kami dapat mengawal dan memantau footage atau bahan-bahan bakal dirakamkan tidak lari daripada storyline atau jalan cerita/naratif dokumentari ini. Skrip asas ini juga untuk membantu produser membuat bajet dan untuk kami menyusun jadual penggambaran.

Pasukan produksi kami terdiri daripada seorang jurukamera dan pembantunya, seorang jururakam suara dan bunyi/soundman dan seorang kru lampu. Aku dan Dinsman merancang shooting atau kaedah penggambaran kami ini tidak akan mengganggu rutin harian dan tugasan Tok Guru.

Sedaya yang termampu aku tidak akan cuba mengarah Tok Guru seperti sering dan lazim dilakukan untuk penggambaran filem baik dokumentari apatah lagi filem cereka. Aku dan Dinsman memilih mewujudkan sepanjang penggambaran ini kaedah supaya Tok Guru tidak perlu dan tidak pernah membuat apa-apa persediaan untuk dirinya dishoot.

Sistem penggambaran dokumentari ini dirumuskan oleh Dinsman dalam artikelnya di majalah Tamadun, Februari 2002 – ‘Kami merakam kehidupan hariannya yang real. Yang betul-betul dilakukannya dalam hidupnya.

Kami mengikuti pergerakannya. Kami menunggu dia melakukan sesuatu dan kami shoot. Atau ada sesuatu yang terjadi waktu kami mengikut dia, maka kami pun shoot.’

Bagi melicinkan gerak kerja ini, kami mendapat kerjasama dan komitmen yang sungguh baik daripada Anual Bakri Haron, Setiausaha Politik Tok Guru ketika itu. Beliau akan sentiasa memberitahu kami jadual pergerakan dan program harian Tok Guru supaya mudah kami memilih yang mana untuk dirakam sebagai bahan dokumentari ini.

Di lapangan pula kami beruntung mendapat khidmat ‘tidak rasmi’ Zainuddin Abdullah (Allahyarham), Setiausaha Pas Kawasan Kota Bharu merangkap ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ketika itu.

Allahyarham juga banyak membantu dalam usaha kami untuk lebih mengenali perwatakan Tok Guru. Zainuddin punya hubungan baik dan akrab dengan Tok Guru yang dipanggilnya, Ayah Zid.

Satu perkara aku respek Dinsman ialah hubungan yang dijalinnya dengan pengawal peribadi Tok Guru ketika itu, Zakaria Deraman atau lebih mesra dipanggil Pok Ya. Tugas beliau akan sentiasa berada bersama Tok Guru setiap masa melainkan bila Tok Guru balik ke rumah.

Hubungan Dinsman dengan Pok Ya memudahkan lagi kami menyusun dan mengesan pergerakan Tok Guru supaya sentiasa dalam radar pengesan kami. Bila segala perancangan dan gerak kerja telah dikenal pasti maka kami mulakan penggambaran pada 15 Oktober 2001.

Minggu depan aku akan ceritakan pengalaman-pengalaman menarik ketika shooting dokumentari Tok Guru – satu kembara visual yang spiritual.