SEMALAM berakhirlah Syawal, ini bererti tamatlah perayaan menyambut Aidilfitri selama sebulan menurut budaya dan kelaziman orang-orang Melayu – puasa sebulan, raya pun sebulan.

Aku akan menyambung menulis kisah menyambut dan meraikan hari raya pada era 60-an walaupun hari ini kita sudah berada pada bulan Zulkaedah 1436.

Aku ada mencatatkan sebelum ini, pada era 60-an walaupun aktiviti menonton filem di pawagam cuma mampu dilakukan dua kali setahun ketika Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha tetapi peluang terhad ini tanpa aku sedari menyemai suburkan minat aku kepada filem.

Menyambut hari raya dengan ritual menonton wayang ini membuka ruang untuk aku mengenali nama pelakon-pelakon dan pengarah-pengarah filem Melayu ketika itu.

Di antara nama pelakon hero filem Melayu yang aku mula kenali selain P Ramlee ialah Nordin Ahmad, Yusuf Latif, Jins Shamsuddin dan Aziz Jaafar. Sementara heroin-heroin filem Melayu yang aku berpeluang menonton filem-filem lakonan mereka di antaranya ialah Latifah Omar, Roseyatimah, Suraya Harun, Saadiah, Mariani dan Sarimah.

Nama-nama pengarah filem Melayu yang mula aku kenali ialah P Ramlee, M Amin dan Hussain Hanif.

Aku lebih terdedah kepada filem-filem terbitan syarikat Cathay Keris berbanding dengan filem-filem dari studio Malay Film Productions, Shaw Brohers, Jalan Ampas, Singapura.

Pada pendapat aku keadaan ini terjadi mungkin kerana sistem tayangan yang berbeza bagi filem-filem keluaran kedua studio tersebut di pawagam-pawagam di bandar Melaka ketika era 60-an. Maksud aku, filem-filem Melayu ditayangkan terbahagi kepada first run film dan second run film.

Apakah perbezaan filem-filem first run dengan second run?

First run film ialah filem-filem paling terbaharu dan terkini ditayangkan serentak di panggung-panggung di Singapura, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Bharu, Kuantan, Melaka dan di bandar-bandar utama lain di Malaysia ketika itu.

Filem-filem second run adalah filem-filem first run yang telah tamat tayangannya di panggung wayang di bandar-bandar utama dan seterusnya ditayangkan pula di panggung wayang di bandar-bandar kecil. Selalunya sebulan selepas tayangan first run.

Di bandar Melaka hanya filem-filem first run keluaran syarikat Cathay Keris sahaja sering ditayangkan di panggung wayang Cathay di Jalan Munshi Abdullah, terletak bersebelahan jambatan merentangi Sungai Melaka.

Hampir kesemua filem Melayu keluaran Malay Film Productions, Shaw Brothers ditayangkan di panggung Lido, Melaka merupakan filem-filem second run.

Penonton filem Melayu di bandar Melaka berpeluang menonton filem first run terkini dan filem second run setiap bulan. Kenapa terdapat pola penontonan begini?

Panggung Cathay, Melaka pada awal 60-an merupakan panggung wayang terbaik dari segi keselesaan dengan berhawa dingin dan kedudukannya yang strategik – bertentangan dengan pusat hentian bas dan teksi.

Kelebihan ini bertahan sehinggalah awal 90-an sebelum ia ditutup. Atas sebab-sebab ini filem-filem Melayu paling terkini keluaran Cathay Keris ditayangkan di panggung ini.

Berbeza dengan filem-filem keluaran Malay Film Productions, Jalan Ampas yang ditayangkan di panggung Lido, Melaka. Kesemuanya adalah filem-filem second run. Ini berlaku disebabkan panggung Lido tidak mempunyai ciri-ciri terkini seperti panggung Cathay. Masih berkipas angin tanpa kelas khas - circle seats. 

Panggung-panggung Shaw Brothers setanding dengan panggung Cathay di Melaka ketika itu ialah panggung Rex dan Federal. Tetapi kedua panggung ini cuma menayangkan filem-filem Hollywood, Hindustan dan Hong Kong sahaja.

Seingat aku hanya satu sahaja filem Melayu pernah ditayangkan di panggung Federal, Melaka iaitu filem Raja Bersiong (1968) arahan Jamil Sulong dalam bentuk warna dan bidang luas berdasarkan skrip tulisan Almarhum Tengku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Tidak silap aku, cuma inilah satu-satunya filem Melayu first run keluaran Malay Film Productions ditayangkan di pawagam kepunyaan Shaw Brothers di Melaka ketika itu.

Studio Malay Film Productions, Jalan Ampas tutup buat selama-lamanya selepas filem Raja Bersiong, berskala epik ini gagal menghasilkan kutipan pecah panggung.
Begitulah secara ringkasnya senario aktiviti menonton filem dan pawagam-pawagam yang terdapat di bandar Melaka di era 60-an.

Pengalaman pertama aku menonton wayang di pawagam bukannya pada hari raya tetapi pada tayangan hari biasa filem first run pada 1963 ketika aku di sekolah rendah dalam darjah tiga.

Panggung Cathay, Melaka merupakan panggung wayang pertama aku menjejakkan kaki buat pertama kalinya ke dalam bangunan dipanggil panggung wayang gambar. Sememangnya aku sangat teruja dan bersemangat untuk berasa pengalaman baharu – tengok wayang di panggung wayang!

Pertama kali menonton filem di pawagam Cathay ini, aku dibawa oleh arwah bapa aku ketika beliau balik bercuti di kampung dari Singapura.

Secara peribadi aku menganggap pawagam Cathay, Melaka adalah sekolah filem pertama aku. Di pawagam inilah aku didedahkan kepada apa itu filem, baik filem Melayu atau filem Barat dan Hollywood.

Kami menonton filem Chuchu Datok Merah (1963) arahan M Amin (Allahyarham). Filem ini dibintangi oleh Nordin Ahmad, Latifah Omar, Roseyatimah dan A Rahim. Kami menonton bukan pada hari raya.

Filem ini merupakan filem tayangan first run. Memori pertama kali menonton wayang di panggung 50 tahun lalu ini melekat kemas di minda aku sehingga hari ini.

Aku dibawa oleh arwah bapaku menonton di kelas khas – circle seats. Terkejut aku bila lampu dipadamkan sebelum tayangan bermula. Pelajaran pertama – menonton wayang mesti dalam gelap!

Filem Chuchu Datok Merah diproduksikan dalam bentuk hitam putih adalah pengalaman pertama aku menonton filem di layar lebar yang berbeza dengan filem-filem propaganda Malayan Film Unit yang sering ditayangkan di padang sekolah di kampung aku. Tayangan percuma yang dikenali sebagai wayang pacak.

Aku diresapi oleh rasa takut, cemas dan seram menonton adegan-adegan Wan Kuntum diperankan oleh Latifah Omar setelah terminum air akar kayu beracun mencari suaminya, Awang Janggut yang diperankan oleh Nordin Ahmad. Sehingga mereka berdua mati ditelan oleh air pusing di lubuk puaka sangat terkesan kepada aku.

Pada aku kesan ditimbulkan oleh lakonan Latifah Omar dan Nordin Ahmad amat realistik, pergerakan kamera, pencahayaan walaupun dalam bentuk hitam putih yang menyeramkan dengan dilatari muzik suspens membuat aku teringat-ingat urutan adegan-adegan tersebut walaupun setelah keluar dari panggung.

Poster filem Chuchu Datok Merah dengan reka bentuk visual memaparkan Nordin Ahmad dan Latifah Omar terapung-apung ditelan pusaran air dalam lubuk puaka terbentang besar di luar panggung sungguh menarik perhatian untuk memanggil penonton ke panggung.

Ditambah dengan kesan efek pada akhir filem ini, di mana Wan Kuntum dan Awang Janggut terjatuh daripada jambatan lalu ditelan oleh lubuk puaka. Efek-efek ini dihasilkan ketika dunia belum tahu lagi apa itu CGI. Adegan-adegan ini meninggalkan kesan penuh ketakjuban kepada aku - seorang kanak-kanak berusia 9 tahun ketika itu.

Bermula saat itu aku menyimpan tekad mahu selalu menonton wayang kerana kepada aku wayang adalah magik!

Tidak aku nafikan panggung Cathay, Melaka banyak menyumbang kepada proses aku mengenali apa itu filem sehingga aku berjaya menjadi seorang filmmaker dan pengarah filem.

Minggu depan aku akan sambung lagi kisah sumbangan sekolah filem awal aku – panggung Cathay, Melaka kepada kerjaya aku dalam filem. Insya-ALLAH.