SATU-SATUNYA kumpulan blues terunggul Malaysia, Blues Gang diiktiraf dengan penganugerahan prestij The BrandLaureate Country Branding Award 2014. Berita penganugerahan ini disiarkan dalam ruangan Zass, Sinar Harian pada Ahad lalu.

Menurut Ito, penyanyi dan pemain blues harp Blues Gang ini, kumpulan mereka merupakan kumpulan pemuzik tempatan pertama menerima anugerah ini melalui kategori Country Branding Award. Kumpulan Blues Gang dianugerahkan dengan sijil plak dan trofi emas 24 karat.

Anugerah ini telah disampaikan kepada kumpulan Blues Gang oleh Presiden Asia Pacific Brands Foundation (APBF),Dr KK Johan sempena Blues and Roots Festival di Experimental Theatre, Universiti Malaya pada awal Disember 2014 lalu.

Apakah sebenarnya Anugerah The Brand Laureate ini? Anugerah ini dianjurkan oleh Asia Pacific Brands Foundation (APBF) yang ditubuhkan pada 2005. Foundation atau Yayasan ini adalah yayasan penjenamaan bertujuan untuk menambah baik amalan penjenamaan dan piawaian di seluruh dunia. Anugerah Brand Laureate mengiktiraf pencapaian bertaraf dunia dalam penjenamaan dalam kalangan individu dan syarikat.

Anugerah Brand Laureate diberikan dalam tiga kategori utama: korporat, produk dan individu. Yayasan APBF telah menganugerahkan The Brand Laureate kategori Country Branding Award kepada Blues Gang kerana sumbangan mereka kepada muzik genre blues dan rock dan menggalakkan jenama Malaysia melalui lagu-lagu ciptaan mereka.

Menurut Presiden APBF, Dr KK Johan, di antara penerima anugerah APBF yang patut diberi perhatian termasuk mendiang Presiden Nelson Mandela, Mark Zuckerberg (pengasas Facebook) dan Tiger Woods, pemain golf profesional dunia.

Golongan penghibur, penyanyi dan pemuzik yang pernah dipilih sebagai penerima anugerah ini terdiri daripada  Sir Cliff Richard, Aretha Franklin, Kitaro, Richard Clayderman, Neyo, Lea Salonga, Lee Ritanour dan kumpulan Earth, Wind and Fire serta nama-nama dari rantau ini seperti komposer dan pemain piano Indonesia, Indra Lestana dan pemain perkusi tempatan, Steve Thorton.

Menurut Presiden APBF lagi, Blues Gang telah benar-benar berakar umbi di Malaysia dengan cara yang luar biasa. Kumpulan Blues Gang dianggotai oleh Ito Mohd (penyanyi utama dan pemain blues harp), Julian Mokhtar (gitar), Abdul Ghani Datuk Abu Talib (gitar/kibod), Jim Madasamy (bass/penyanyi), Shaik Karim (dram/penyanyi) dan Azizi Ithnin (gitar).

Blues Gang ditubuhkan di Johor Bahru pada 1973 dengan anggota paling asalnya Jim Madasamy, si pemetik gitar bass dan Shaik Karim, pemain dram dan gitaris, Mat Dollah. Pada pertengahan 1976 mereka berhijrah ke Kuala Lumpur. Sejak itu bermulalah perjalanan seni Blues Gang dengan tekad dan azam memperjuangkan muzik – blues dan rock.   

Blues Gang berjaya menggabungkan irama muzik dunia genre blues dan rock sehingga berhasil mencipta satu bentuk muzik blues dan rock bersemangat dan beridentitikan Malaysia. Dengan kemahiran dan kematangan berkarya sebagai satu kumpulan, mereka telah berkembang dan banyak menyumbang kepada industri muzik di Malaysia sejak 1979.

Jujur berpegang kepada semangat sebagai satu kumpulan band telah membuat mereka berjaya menghasilkan lagu-lagu dengan gaya dan bahasa/lirik mereka sendiri. Lagu-lagu menarik diciptakan dengan diiringi muzik blues dan rock bersalut cita rasa tempatan.

Keberanian berkarya dan mencipta kelainan melalui campuran lagu-lagu luar biasa dengan menggabungkan unsur-unsur yang lebih lokal sifatnya berjaya melahirkan karya seni seperti lagu klasik Blues Gang - Apo Nak Di Kato yang menggunakan dialek Negeri Sembilan.

Alunan melodi unik dan berbeza dengan yang lain menjadikan Apo Nak Di Kato lagu yang evergreen dan melangkaui batas kaum dan bangsa. Satu usaha dan pencapaian kreatif yang menarik dan unik.

Penganugerahan itu juga mencatatkan Blues Gang sebagai sebuah kumpulan dengan barisan pemuzik yang berbakat telah berkembang untuk menyumbang kepada bidang seni hiburan tanah air sejak tahun 1979.

Tercatat dalam surat penganugerahan itu kemunculan Blues Gang di layar perak lewat filem arahan sulung aku yang kontroversial, Kembara Seniman Jalanan (1986), hampir tiga dekad yang lalu.

Aku berkongsi rasa gembira dan bangga dengan member-member Blues Gang kerana tercatat juga sumbangan aku walaupun tidak besar tetapi sungguh bermakna kepada aku sebagai seorang pembikin filem. Satu kolaborasi yang berjaya untuk pertama kalinya mencetuskan kesedaran tentang isu dan masalah cetak rompak melalui filem.

Walaupun kumpulan ini pernah berpecah namun anggota-anggotanya masih aktif. Mereka terus menyumbang kepada dunia muzik tempatan. Tanpa jemu Blues Gang terus menghiburkan pendengar dengan lagu-lagu dan persembahan yang benar-benar menarik dan luar biasa.

Pada masa sama hasil karya seni mereka meningkatkan semangat serta berjaya mengusir blues – rasa duka dan kesedihan yang melanda peminat dan pendengar melalui lagu-lagu mereka.

Berdasarkan penglibatan Blues Gang dalam menghasilkan muzik bermutu di samping mengukir nama dan kemasyhuran di persada seni tanah air, Yayasan APBF ini juga mengiktiraf Blues Gang sebagai salah satu komponen dalam asas keharmonian budaya Malaysia yang perlu dipertahankan dalam catatan sejarah negara kita untuk sepanjang masa. Menurut APBF atas sebab-sebab di atas maka sangat bertepatan dan layak Blues Gang diiktiraf dan dianugerahkan The BrandLaureate Country Branding Award!

Syabas diucapkan juga atas usaha Blues Gang yang masih terus memperjuangkan hak pemuzik dan karyawan tempatan. Blues Gang sememangnya layak menjadi jenama negara berlandaskan inspirasi yang melambangkan sebuah kumpulan muzik yang luar biasa.

Sebaik sahaja aku selesai menyiapkan artikel ini pada kira-kira jam 10 malam hari Khamis malam Jumaat, anak-anak aku memberitahu berita kepergian buat selama-lamanya Tok Guru Nik Aziz, bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas.

Aku terkaku agak lama. Perasaan aku bercampur baur – sedih, tidak percaya dan speechless. Tokoh ikonik Islam ini ada tempatnya dalam sejarah perjalanan hidup aku serta perjuangan seni dan filem yang aku tempuhi selama ini.

Aku terus teringat pengalaman aku pada 2001 mengarah dokumentari tentang Tok Guru Nik Aziz untuk sahabat aku, Dinsman, produser dokumentari tersebut. Minggu depan aku akan menceritakan pengalaman aku mengarah dokumentari berjudul Sehari Dalam Kehidupan Tok Guru Nik Aziz. Al-Fatihah buat Tok Guru.