SECARA peribadi aku mengambil semangat daripada kelompok pembikin-pembikin filem new wave Perancis – French New Wave untuk aku melakukan perubahan dalam bidang pengarahan dan penghasilan filem. Makna mudah New Wave ialah gelombang baharu.

Di antara nama-nama penting membawa gelombang baharu dalam kelompok French New Wave ini ialah pengarah Francois Truffaut dan Jean Luc Godard.

Mereka ini sebelum menduduki kerusi pengarah bermula dari penulis dan pengkritik filem untuk majalah filem Perancis terkenal Cahiers du Cinema yang diasaskan oleh Andre Bazin, seorang pengkritik dan pakar teori filem.

Gerakan gelombang baharu kelompok penggiat dan aktivis filem, French New Wave ini berada di kemuncak kepopularan mereka di antara 1958 hingga 1964.

Tetapi pengaruh mereka ini terus mempengaruhi pembikin-pembikin filem lain sehingga tahun-tahun 70-an. Pengaruh mereka menular bukan sahaja kepada ramai pembikin filem Eropah tetapi juga Hollywood.

Malah pemikiran mereka ini masih terus dikaji dan diguna pakai sehingga sekarang.

Sumbangan paling penting daripada kelompok French New Wave ialah konsep auteur theory. Auteur adalah bahasa Perancis yang bermaksud author dalam bahasa Inggeris. Auteur atau author membawa maksud pengarang, penulis atau karyawan dalam bahasa Melayu.

Auteur Theory secara literal membawa makna the policy of authors iaitu dasar atau amalan seorang pengarah. Auteur theory holds that a director’s film reflects the director’s personal creative vision.

Terjemahan ringkasnya – teori auteur ini berpegang kepada dasar iaitu filem-filem arahan sang pengarah filem melambangkan pandangan (visi) kreatif peribadi pengarah filem tersebut.
 
Auteur theory, theory of filmmaking in which the director is viewed as the major creative force in a motion picture.

Teori auteur menyarankan keperluan kuasa kreatif mutlak pengarah atau karyawan filem terhadap filem-filem arahannya. Menerima dan mengiktiraf kuasa dan visi peribadi pengarah dalam membentuk style atau gaya filem arahannya dan juga isu yang mahu diangkat oleh skrip.

In spite of and sometimes even because of the production of the film as part of an industrial process, the auteur’s creative voice is distinct enough to shine through studio interference and the collective process.

Terjemahan ringkasnya - ada kalanya walaupun memproduksikan sesebuah filem adalah sebahagian daripada proses pembuatan secara bersama, namun pendapat kreatif auteur sang pengarah yang berbeza masih dikira boleh mengatasi campur tangan studio.

Kesimpulannya, pemahaman mudah konsep auteur theory dalam pembikinan sesuatu filem ialah pengarah adalah teraju dan tunggak kreatif paling penting dalam pembikinan sesebuah filem.

Mengapa aku bersusah payah cuba memberi terjemahan dan penerangan tentang teori auteur ini? Apa kepentingan teori ini dalam konteks perkembangan filem Melayu di tahun-tahun akhir 70-an dan awal 80-an?

Aku lihat masa itu pembikin filem-filem Melayu hilang dan tidak ada arah dalam menghasilkan filem-filem mereka. Mereka hanya memikirkan keuntungan dan tiada usaha untuk meningkatkan dan mencerdikkan cerita-cerita yang diangkat dalam filem-filem terbitan dan arahan mereka.

Memang pahit ketika itu untuk disuarakan tetapi kepahitan ini perlu dinyatakan untuk pedoman pembikin-pembikin filem masa depan. Ini semua terjadi kerana kebanyakan pembikin filem ketika itu tidak ada ilmu dan pembelajaran khusus dalam bidang pembikinan filem.

Tanpa ilmu kita tidak akan maju baik dalam apa juga bidang.

Hassan Muthalib merumuskan keadaan ini dalam bukunya, Malaysian Cinema In A Bottle (2013) – The Singapore veterans who were making movies in Kuala Lumpur had no understanding of theory and so were not moving vertically but horizontally in their approaches. Their stories with weak plots and inane dialogue and their directorial styles were totally out of date.

Terjemahan ringkasnya – pengarah-pengarah veteran dari Singapura yang menghasilkan filem di Kuala Lumpur tiada kefahaman tentang teori filem lalu pendekatan mereka tidak bergerak menegak tetapi mendatar.

Jalan cerita dengan plot yang lemah dan dialog membodohkan serta seluruh gaya pengarahan mereka ketinggalan zaman.

Sesiapa yang pernah melalui zaman itu tidak boleh menafikan filem-filem Melayu ketika itu sungguh lemah dari segi cerita dan isu yang cuba diangkat.

Ditambah dengan sikap bodoh sombong penggiat-penggiat filem golongan veteran ini. Mereka tidak boleh menerima kritikan dan ulasan yang tidak memuji filem-filem mereka.

Mereka bermusuh dengan penulis, pengkritik dan wartawan generasi baharu yang mengkritik filem-filem mereka.

Kebanyakan produser dan pengarah veteran ini hanya mahu filem mereka dipuji kononnya untuk menarik penonton walaupun realitinya filem-filem mereka hasilkan  bermutu rendah.

Aku juga menyaksikan ketika itu ada dua golongan wartawan hiburan. Golongan pertama adalah mereka yang ‘cium mulut’ dengan produser-produser dan pengarah-pengarah veteran dari Singapura.

Kebanyakan wartawan golongan ini juga memulakan kerjaya mereka di Singapura ketika zaman kegemilangan filem Melayu. Bila studio Jalan Ampas dan Cathay Keris tutup mereka juga turut berpindah ke Kuala Lumpur seperti juga pengarah-pengarah filem yang sewaktu dengan mereka.

Golongan kedua adalah wartawan-wartawan hiburan generasi muda yang memulakan kerjaya kewartawanan mereka selepas zaman kejatuhan filem-filem Melayu. Kebanyakan mereka punya lulusan dari institut pengajian tinggi. Mereka terdedah kepada perkembangan filem dari seluruh dunia.

Aku saksikan ketika itu padang permainannya ialah di satu pihak golongan pembikin filem veteran dan wartawan sewaktu dengan mereka.

Di satu pihak lagi ialah golongan bakal pembikin filem muda baharu yang belum mendapat peluang mengarah filem. Golongan ini disokong oleh wartawan yang rata-ratanya muda. Mereka juga mahu melihat mutu filem Melayu meningkat.

Lalu apa jalan keluar dari senario ini? Pertembungan ini berjaya melahirkan produser-produser baharu yang mahu sama berkongsi semangat mencari pembaharuan bagi meningkatkan mutu filem Melayu. Di antara produser-produser dan syarikat baharu ini ialah Syed Kechik Film Productions, Fleet Communication dan ZSA Holdings Sdn Bhd.

Syarikat Fleet Communications merupakan pembuka gelanggang pembikinan filem yang seratus peratus digalas oleh generasi baharu pembikin dan penggiat filem Melayu.

Pada 1981 syarikat Fleet Communications menerbitkan filem pertama mereka Abang arahan sulung Rahim Razali (Datuk). Maka bermulalah era new wave Malaysia.

Minggu depan kita bercerita tentang gelombang baharu new wave Malaysia ini melanggar pantai dan tebing jurassik perfileman Melayu.