SEDAYA upaya aku berusaha elakkan hutang dan berhutang dalam hidupku ini. Tidak kiralah berhutang duit atau hutang janji. Kenapa tiba-tiba minggu ini aku mulakan nukilanku dengan isu hutang?

Sebenarnya, baru-baru ini aku terbaca respons daripada pembaca kolum ini menyatakan aku mungkir janji. Menurut pembaca tersebut aku sepatutnya menyambung pengisahan tentang pengarah esentrik Jerman, Werner Herzog pada 13 Disember 2015. Sebaliknya aku menulis tentang kisah bangsawan tanpa tajuk.

Diikuti beberapa minggu seterusnya dengan tulisan mengenai isu-isu lain. Sepatutnya aku menyambung menulis bagaimana Herzog mengarah filem Fitzcarraldo yang memenangkan beliau Anugerah Pengarah Terbaik di Cannes Film Festival ke-35, 1982.

Aku tidak menafikan kegagalan aku meneruskan pengisahan tentang Herzog dan penggambaran filem Fitzcarraldo. Aku minta maaf kepada pembaca-pembaca yang menunggu sambungan kisah pengarah tersohor dengan kegilaan esentrik kesenimanannya. Ini berlaku kerana hal-hal tidak dapat dielakkan. Apa pun selepas hampir sebulan setengah, minggu ini aku akan melunaskan janjiku itu.

Satu lagi isu yang ada kaitan dengan hutang – "Hutang Darah Dibayar Darah". Ada pembaca kolum ini memberi respons membetulkan fakta senarai filem-filem arahan pengarah Allahyarham Hussein Haniff. Sepanjang awal September dan Oktober 2015 lalu aku banyak menulis tentang Hussein di kolumku ini. 

Menurut pembaca ini, filem Hutang Darah Dibayar Darah adalah arahan pengarah India, BN Rao bukannya Hussein.

Ketika aku menulis tentang Hussein, aku berpandukan senarai filem-filem Melayu dihasilkan oleh studio Malay Film Productions, Jalan Ampas dan  studio Cathay Keris, Singapura sepanjang 30-an sehingga 70-an. Pembaca ini mengemukakan bahan bukti bercetak majalah lama, Berita Filem keluaran 1964. Fakta beliau adalah betul dan sahih.

Aku akui kesilapan fakta yang tidak aku sengajakan. Terima kasih kepada pembaca yang berjaya membuktikan kesahihan fakta tersebut.

Berbalik kepada kisah penggambaran filem Fitzcarraldo yang dilakukan di hutan Amazon selama hampir tiga tahun bermula 1979. Aku berjanji akan menulis tentang penggambaran filem penuh dengan segala kegilaan dan esentrisiti seorang pengarah yang terlalu obses dengan karya seninya. Sikap ‘gila’ Herzog ini sukar difahami oleh penonton dan juga kalangan komuniti filem sendiri.

Herzog mendapat ilham untuk naratif Fitzcarraldo ini setelah beliau membaca kisah seorang saudagar getah di Peru, berbangsa Irish bernama Brian Sweeney Fitzgerald. Tetapi kaum Asli Indian Amazon sukar menyebut namanya, Fitzgerald, lantas beliau dikenali dengan sebutan Fitzcarraldo. 

Beliau memperoleh hak untuk 400 batu persegi kawasan getah di Peru. Tetapi kawasan ini amat sukar untuk didatangi dan dianggap tidak berguna kerana jeram maut dan air terjun yang ada di sepanjang dua sungai menghalang bot dan kapal stim sungai untuk sampai ke situ.

Menurut kisah sebenarnya, Fitzgerald aka Fitzcarraldo merancang ke lokasi paling dekat di antara dua sungai Ucayali di bahagian atas untuk mengumpul hasil getah dan membawa turun ke sungai Pachitea di bahagian bawah. Kedua anak sungai ini seterusnya bercantum dengan Sungai Amazon untuk ke pelabuhan di pinggir lautan Atlantik.

Untuk usaha ini, Fitzgerald aka Fitzcarraldo telah membuka bahagian-bahagian dan kepingan-kepingan bot seberat 32 tan lalu mengangkut dan memasangnya semula selepas melepasi kawasan berjeram dan air terjun berbahaya di antara dua sungai tersebut.

Teruja dan diinspirasikan oleh peristiwa tersebut, Herzog sebaliknya membayangkan imej sebuah kapal stim sungai besar digerak dan ditarik ke atas lereng bukit di antara dua sungai. Lalu lahirlah skrip filem dengan skala lebih besar dan epik berbanding kejadian sebenar yang pernah berlaku.

Di tangan Herzog naratif filem ini mengisahkan, Fitzcarraldo, seorang ‘baron’ atau saudagar getah kaya raya yang sanggup melakukan sesuatu di luar jangkauan akal fikir manusia. Fitzcarraldo mahu menarik secara fizikal kapal atau kapal stim bot sungai setinggi tiga tingkat dan seberat 300 tan melintasi lereng bukit dan cerun berlumpur di antara dua anak Sungai Amazon tersebut untuk membolot hasil getah di kawasan itu. 

Tidak cukup dengan kegilaan itu, Herzog membentuk watak Fitzcarraldo berdasar ciptaan dan khayalannya sebagai seorang kaya yang sangat meminati dan gilakan persembahan opera. Fitzcarraldo punya impian untuk membina sebuah panggung opera di tengah-tengah hutan belantara Amazon. Dia bercita-cita untuk menjemput penyanyi opera tenor terkenal ketika itu, Enrico Caruso (1873-1921) membuat persembahan di panggung opera bakal dibinanya itu.

Itulah yang terhasil di atas kertas. Tetapi realitinya tidak semudah yang dijangkakan. Herzog terpaksa berdepan dengan berbagai cabaran, dugaan dan rintangan di luar jangkaannya. Beliau terpaksa berdepan dengan masalah melibatkan pelakon yang terpaksa diganti setelah empat bulan penggambaran dilakukan dan durasi penggambaran berlarutan kerana perlu dilakukan penggambaran semula.

Pada mulanya watak Fitzcarraldo diperankan oleh Jason Robard dan watak Wilbur, sidekick kepada hero diperankan oleh Mick Jagger, penyanyi Rolling Stones kumpulan rock tersohor dunia. Tetapi selepas empat bulan penggambaran Robard terkena sakit taun.

Beliau balik ke Amerika untuk menerima rawatan. Doktor menasihatkan Robard supaya tidak meneruskan penggambaran kerana khuatir diserang semula penyakit yang sama disebabkan keadaan persekitaran di lokasi hutan Amazon itu. Mick pula tidak boleh menunggu lama sehingga Herzog mendapat pengganti Robard. Mick perlu bersama dengan kumpulannya mengadakan konsert jelajah dunia bagi mempromosikan album terbaharu mereka ketika itu, Tatoo You. 

Akhirnya, Klaus Kinski (1926-1991), pelakon Jerman yang terkenal dengan perangai esentrik dan kontroversial dipilih oleh Herzog untuk memerankan watak Fitzcarraldo. Watak Wilbur untuk Mick ditiadakan dalam olahan skrip terbaharu.

Tetapi selepas Herzog berjaya mendapat pelabur baharu, beliau berdepan pula dengan masalah hubungan antara pengarah dengan pelakon sepanjang penggambaran semula dilakukan. Paling dahsyat hubungan tegang antara Herzog dengan Kinski. Kinski sering membuat onar kerana masalah-masalah kecil ketika di set penggambaran. Beliau sentiasa berlaga angin dan berkonflik dengan Herzog kerana tekanan kerja dan mental. Keadaan hubungan mereka ‘meletup’ sehingga pelakon-pelakon ekstra terdiri daripada kaum Indian Amazon meminta izin Herzog untuk membunuh Klaus aka Fitzcarraldo!

Filem Fitzcarraldo dan Herzog menjadi ikon dan sebutan ramai kerana kegilaannya, kekentalan semangatnya memfilemkan babak Fitzcarraldo mengerah orang-orang puak Asli Indian Amazon menarik kapal stim bot sungai seberat 300 tan dengan hanya menggunakan tenaga dan kudrat manusia semata-mata, di samping cara konvensional berdasar beberapa prinsip asas mekanik – bloc and pulley. 

Herzog tidak mahu menggunakan special effect atau kesan efek khas untuk penggambaran babak ini. Ketika itu belum ada lagi CGI – Computer Generated Imagery. Untuk menghasilkan babak seperti itu pengarah perlu membuat kapal dalam bentuk berskala kecil, dipanggil miniature supaya kelihatan seperti kapal sebenar yang ditarik dan dialih daripada satu sungai melalui tanah curam berlumpur ke satu sungai bertentangan. 

Seorang penasihat jurutera Brazil yang terlibat dalam penggambaran babak tersebut telah menarik diri. Beliau tidak berani bertanggungjawab dengan cara Herzog mahu merakamkan babak tersebut. Penggambaran berisiko tinggi yang memungkinkan kehilangan nyawa anggota produksi yang terlibat. Tetapi Herzog berkeras meneruskan juga penggambaran babak tersebut. Selepas melalui rintangan dan jerih perih, Herzog berjaya merakam babak ‘gila’ itu.

Filem Fitzcarraldo dan dokumentari pembikinannya, Burden of Dreams (1982) arahan bersama Les Blank dan Maureen Gosling mencatat sejarah kerana keduanya mendapat sambutan dan perhatian penonton dan khalayak pembikin filem seantero dunia. Kejayaan seiring buat kedua filem dan pengarahnya. Aku ada juga terbaca komen pengulas filem menyatakan dvd, Burden of Dreams, dokumentari pembikinannya lebih laris jualannya daripada filem asal, Fitzcarraldo.

Ketika menulis tentang filem Fitzcarraldo ini, tiba-tiba aku teringat kisah Sultan Muhammad Al Fateh (1432-1481) yang berjaya membebaskan kota Konstantinopel atau Istanbul daripada kuasa Kristian Bizantin pada 1453.

Bila Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah, Al Fateh mengangkut 72 buah kapal perangnya ke atas gunung dan diluncurkan semula ke Teluk Golden Horn untuk menyerang kota Konstantinopel dari bahagian belakang. Taktik perang ini diakui oleh para sejarawan Barat yang terbaik dunia.

Adakah Herzog diinspirasikan juga oleh peristiwa perang ini selain kisah Brian Sweeney Fitzgerald aka Fitzcarraldo? Aku secara peribadi berpandangan dvd filem Fitzcarraldo dan dokumentarinya, Burden of Dreams perlu ada dalam koleksi peribadi setiap pembikin filem.