SELASA lalu di Auditorium Sultan Muhammad V, Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam telah berlangsung sidang media pra pelancaran filem Tombiruo berdasarkan adaptasi novel popular tulisan Ramlee Awang Murshid.

Syarikat milik Ramlee Awang Murshid, Layar Sunan, Ideate Media dan Karangkraf akan berkolaborasi untuk menerbit dan memproduksikan filem ini.

Selepas 27 tahun bergerak di belakang tabir, sekarang aku dipertanggungjawabkan oleh Layar Sunan untuk mengarah filem sulung terbitan syarikat ini.

Filem terakhir arahan aku ialah filem Rozana Cinta 87; 1987. Filem tersebut merupakan filem kedua arahan aku selepas mengarah filem pertamaku Kembara Seniman Jalanan pada 1986. Filem arahan pertama aku ini juga adalah filem pertama lakonan M Nasir (Datuk).

Aku ditanya wartawan tentang comeback aku ini untuk mengarah filem Tombiruo. Bagaimana aku menghadapi keadaan ini? Sebenarnya agak sukar untuk aku menyatakan tentang keadaan dan perasaan berpeluang mengarah semula filem selepas menyepi sebegitu lama. Apatah lagi mengarah filem karya novelis thriller nombor 1 Malaysia berdasarkan adaptasi novel yang telah 14 kali diulang cetak.

Untuk menggalas tanggungjawab mengarah filem sulung terbitan Layar Sunan ini, aku hanya mampu meminjam semangat dan keyakinan pengarah tersohor, Terrence Mallick untuk aku jadikan motivasi.

Kenapa Terrence Mallick? Sebenarnya, Terrence merupakan salah seorang pengarah filem yang aku minati. Perjalanan hidupnya sebagai seorang pengarah filem memberi aku semangat, inspirasi dan motivasi untuk aku terus berdepan dengan segala macam cubaan dan pancaroba dalam bidang dan industri filem tanah air sehingga hari ini.

Aku pernah menulis dalam kolum ini terdahulu tentang bagaimana aku terpaksa berdepan dengan kerenah-kerenah birokrasi pihak kerajaan dan pihak berkuasa. Berdepan masalah yang timbul akibat daripada penentangan aku terhadap pihak berkuasa ketika itu. Ini merupakan salah satu sebab mengapa peluang untuk aku terus mengarah filem tersekat hampir 30 tahun.

Terrence Mallick yang merupakan seorang graduan dalam bidang falsafah dari Universiti Harvard dan mempelajari bidang filem di American Film Institute. Aku jadikan beliau sebagai sumber kekuatan aku.

Aku tidak pernah membuat kerja lain yang tiada kaitan langsung dengan bidang perfileman selama peluang mengarah tertutup rapat ketika isu rambut panjang dan pengharaman karyawan serta artis-artis berambut panjang, terutamanya artis-artis rock hangat dimainkan oleh pihak berkuasa.

Aku tetap bertahan selagi mampu sebagai seorang filmmaker sehingga sekarang.

Terrence Mallick mengarah filem pertamanya, Badland (1973) ketika beliau baru berusia 30 tahun. Filem kedua beliau Days Of Heaven (1978) dengan penampilan Richard Gere dihasilkan lima tahun selepas filem pertamanya. Dari 1978 sehingga 1998, untuk selama 20 tahun, Terrence tidak mengarah satu pun filem.

Beliau bosan dengan keadaan industri filem di Amerika dengan segala permainan dan intrig-intrig politiknya. Beliau menghilangkan diri lalu menetap di Perancis sambil membuat penyelidikan untuk skrip filemnya berjudul Q selama waktu itu.

Akhirnya, skrip dan idea Q menjadi asas bagi skrip filemnya, The Tree of Life(2011).

Selepas 20 tahun menghilang, Terrence kembali ke gelanggang dengan mengarah ketiganya, The Thin Red Line pada 1998. Selepas itu, beliau makin produktif menghasilkan skrip dan mengarah filem seperti The New World (2005), The Tree of Life (2011), To The Wonder (2012) dan paling terkini yang bakal ditayangkan pada 2015 ialah filem Knight Of Cups, dibintangi oleh Christian Bale.

 Walaupun masalah kami hadapi tidak sama, tetapi perkiraan yang penting ialah masa yang lama untuk membuat kemunculan semula atau comeback. Pastinya rekod 20 tahun Terrence Mallick, sekarang berusia 71 tahun berjaya aku pecahkan. Aku berjaya membuat comeback selepas 27 tahun.

Alhamdulillah berkat kesabaran aku selama ini akhirnya membuahkan peluang untuk mengarah filem semula. Paling bermakna kepada aku, filem ketiga bakal aku arahkan ini merupakan filem pertama aku berdasarkan adaptasi daripada novel. Filem ini juga merupakan filem pertama arahan aku bergenre action thriller.  

Aku mula membaca karya-karya Ramlee Awang Murshid selepas diperkenalkan oleh anak-anak aku pada penghujung 2008. Selepas direkomen oleh anak-anak, novel pertama karya beliau aku baca ialah Ungu Karmila (2008). Sebelum 2008 aku sememangnya kurang memberi perhatian kepada novel-novel popular Melayu.

Aku dapati kebanyakan novel-novel popular lebih banyak berkisar kepada kisah-kisah cinta anak-anak remaja dan kisah-kisah krisis dan konflik keluarga serta hubungan suami isteri. Aku kurang berminat dengan cerita-cerita jenis ini.

Tetapi selepas aku berjaya mengkhatamkan Ungu Karmila, baru aku menemui seorang penulis novel popular yang menulis novel-novel bergenre misteri dan thriller. Aku tertarik dengan gaya penulisan serta penceritaan Ramlee lewat novelnya itu.

Ketika itu dalam masa sama, sahabat lama aku, penyajak dan pelakon Pyanhabib memperkenalkan aku dengan Abid Kamal. Beliau seorang penerbit drama televisyen yang berminat untuk menerbitkan filem.

Dalam pertemuan itu Abid Kamal memberitahu aku yang dia berminat untuk membuat sambungan filem arahan pertama aku, Kembara Seniman Jalanan (1986). Aku memang teruja dengan idea dan rancangannya itu.

Aku bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal kerana mendapat peluang untuk mengarah semula filem selepas hampir 20 tahun ketika itu tidak berpeluang mengarah. Aku diperlukan untuk menulis treatment atau rangka jalan cerita yang kami beri judul tidak resmi atau working title – Kembara Seniman Jalanan 2 atau KSJ2.

Sepanjang tahun 2009 aku menumpukan masa kepada penulisan treatment KSJ2. Selepas hampir dua tahun, tiba-tiba pada 2011, Abid menemui aku dengan membawa novel Ramlee Awang Murshid berjudul Tombiruo untuk aku baca. Menurut Abid ada pertukaran rancangan. Dia bercadang untuk menerbitkan filem daripada adaptasi novel tersebut dahulu sebelum menerbitkan filem KSJ2. Aku setuju dengan pertukaran tersebut.

Pada masa sama, aku juga terlibat dalam penulisan skrip untuk sebuah siri TV berdasarkan seorang tokoh sejarah Melayu Nusantara. Apa pun dalam kesibukan itu aku berhasil menghabiskan bacaan novel Tombiruo. Aku makin menyenangi cara gaya penulisan Ramlee dan cerita-cerita yang diangkat lewat novel-novelnya.

Hampir penghujung 2011, aku ditemukan oleh Abid dengan Ramlee Awang Murshid. Mereka bercadang untuk memulakan penulisan untuk mengadaptasikan novel tersebut untuk dijadikan screenplay filem. Ramlee memberi aku satu naskhah percubaannya menulis screenplay Tombiruo untuk aku semak dan memberi komen.

Dalam pertemuan seterusnya, aku mencadangkan supaya kami bertiga berkolaborasi untuk menghasilkan adaptasi novel Tombiruo untuk dijadikan naskhah filem.

Kenapa aku meminta kami bergabung untuk menulis screenplay Tombiruo? Aku mengambil pendekatan ini kerana aku percaya sesebuah screenplay yang baik selalunya dihasilkan secara kolektif. Dalam bahasa mudahnya – lagi banyak ‘kepala’ lagi mampu melahirkan lebih banyak idea untuk dipilih.

Bermula dari penghujung 2011 kami bertiga berusaha mengolah dan menulis draf screenplay Tombiruo berdasarkan draf screenplay percubaan pertama yang ditulis oleh Ramlee pada 2010.

Mulai awal 2014, Layar Sunan berjaya menjalin kerjasama dengan Ideate Media dan Karangkraf untuk memproduksikan filem Tombiruo. Ketika itu aku dengan Ramlee dan Abid telah menghasilkan screenplay Tombiruo hingga draf ke-14.

Dengan bermulanya kerjasama ini, proses penulisan screenplay Tombiruo turut melibatkan kumpulan penulis dari Ideate Media.

Sehingga hari sidang media pra pelancaran filem Tombiruo pada Selasa lalu kami di peringkat akhir dalam proses mengemaskinikan draf terkini screenplay filem itu.

Untuk mengadaptasikan dan memindahkan karya novel ke filem bukan kerja mudah. Banyak perkara dan keputusan kreatif perlu dipertimbangkan dan diperhalusi oleh penulis asal novel dengan penulis screenplay sebelum ia dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat.

Apa pun baik Ramlee si penulis dan penerbit serta aku sang pengarah bertekad untuk memberi yang terbaik untuk filem Tombiruo. Kita doakan bersama moga niat ini tercapai dan dikabulkan ALLAH SWT.