TAHUN-tahun 1981 sehingga 1985 merupakan jangka masa penting dalam proses dan usaha aku untuk menjadi seorang pembikin dan pengarah filem. Aku juga mengalami dan melalui perubahan peribadi dalam melengkapkan diri mengejar cita-cita.

Perubahan peribadi yang aku maksudkan ialah peralihan dari pembikinan filem iklan ke bidang pembikinan filem feature atau filem cereka untuk layar lebar – filem untuk panggung. Aku mengambil langkah sedemikian kerana aku mahu mencari pengalaman bekerja dengan pengarah-pengarah filem cereka. Ketika aku terlibat dalam filem iklan, aku sering berpeluang bekerja dengan pengarah-pengarah luar dari London dan Australia selain pengarah filem iklan tempatan seperti Othman Hafsham dan Kamal Mustapha.

Dalam bidang pembikinan filem iklan tempatan, penglibatan pengarah filem iklan daripada semua anak bangsa Malaysia lebih terserlah dibandingkan dengan bidang pembikinan filem cereka khususnya filem Melayu. Lebih separuh dari filem-filem iklan yang dihasilkan adalah untuk tayangan televisyen dan selebihnya untuk tayangan di panggung-panggung terutamanya iklan-iklan yang melibatkan minuman keras dan rokok. Ini adalah kerana, iklan untuk dua jenis produk ini tidak dibenarkan di televisyen.
 
Penggambaran filem-filem iklan tidak memakan masa panjang. Selalunya untuk filem iklan berdurasi 30 saat mengambil masa di antara 24 jam, dua hingga tiga hari dan paling lama seminggu.

Selalunya iklan komersial dilakukan dalam studio di mana aspek pencahayaan dan logistik mudah dikawal. Perubahan cuaca hujan dan panas tidak menjadi halangan. Iklan begini selalunya tidak melibatkan ramai pelakon dan adakalanya cuma melibatkan produk sahaja. Penggambaran jenis ini dipanggil pack shoot.

Penggambaran filem iklan yang berdurasi 60 saat atau lebih bergantung kepada konsep kreatif dan skrip cerita yang hendak dipaparkan. Semua ini divisualkan di papan cerita atau storyboard. Dari visual papan cerita menjadi panduan untuk menentukan berapa lama masa dan bajet diperlukan untuk penggambaran iklan produk yang mahu dihasilkan. Kebiasaannya iklan berdurasi 60 saat atau lebih akan memakan masa penggambaran antara seminggu hingga sepuluh hari. Ada juga yang memakan masa sehingga sebulan. Semua ini bergantung kepada betapa canggih dan uniknya filem iklan yang ingin dihasilkan atas permintaan pelanggan.

Perbezaan paling asas ialah jangka masa penggambaran antara filem iklan dengan filem cereka. Selalunya filem cereka pasti akan memakan masa sekurang-kurangnya 45 sehingga 50 hari penggambaran. Pengalaman kelainan cara bekerja seperti ini yang aku mahu cuba. Kebelakangan ini aku sering terbaca berita ada penggambaran filem-filem cereka untuk panggung dihasilkan dalam masa dua minggu sahaja.    
   
Untuk mencapai cita-cita menjadi pengarah filem, aku mengorak langkah menceburi bidang pembikinan filem cereka sebagai pembikin filem bebas atau freelancer. Selepas hampir tiga tahun bergiat menimba pengalaman dalam pembikinan filem-filem iklan, aku memberanikan diri memikul tugas sebagai penolong pengarah dan dalam masa sama sebagai pengarah seni atau art director. Aku juga minat kepada kerja-kerja seni dan rekaan produksi – production design selain meminati bidang pengarahan dan penulisan skrip. Pengalaman aku kutip selama dalam bidang pembikinan filem iklan merupakan aset berharga untuk meyakinkan produser-produser dan pengarah-pengarah filem untuk mengambil aku bekerja dalam produksi mereka.

Untuk pengetahuan pelajar-pelajar filem, pembikin, penggiat filem dan pembaca generasi sekarang, mereka yang terlibat dalam industri perfileman Malaysia ketika itu secara keseluruhannya terbahagi kepada dua kelompok.

Satu kelompok terdiri dari pengarah dan pembikin filem yang terlibat hanya memproduksikan filem-filem cereka Melayu. Dalam kelompok inilah berkumpulnya pengarah dan pembikin filem yang berlatar belakangkan pengalaman pembikinan filem dari studio Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura. Akibat penutupan dua studio filem Melayu terbesar ini pada akhir 60-an dan awal 70-an, ramai antara mereka berhijrah ke Kuala Lumpur. Mereka meneruskan kerjaya filem mereka dengan Merdeka Filem Studio, Ulu Klang.

Di antara pengarah dalam kelompok ini ialah Jins Shamsuddin, Aziz Sattar, Malek Selamat, Ahmad Mahmud, Aziz Jaafar dan A Rahim. Mereka ini merupakan pelakon ketika zaman kegemilangan filem Melayu di Singapura. Selain Jamil Sulong dan Omar Rojik yang banyak mengarah filem-filem keluaran studio Jalan Ampas, S Sudarmaji pula banyak terlibat sebagai penolong pengarah kepada P Ramlee ketika di Singapura sebelum menjadi pengarah setelah berhijrah ke Kuala Lumpur. Dari studio Cathay Keris pula, Salleh Ghani dan M Amin sudah bergelar pengarah sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kerjaya pengarahan mereka.

Pada akhir 70an dan awal 80an, pengarah-pengarah ini mula mengarah filem-filem keluaran syarikat-syarikat filem kepunyaan produser-produser Melayu. Suasana ini terjadi selepas Merdeka Filem Studio, Ulu Klang ‘tutup kedai’. Ketika ini semua filem terbitan produser-produser Melayu dihasilkan dalam warna dan bentuk bidang luas.

Kelompok kedua terdiri dari pengarah dan pembikin filem yang terlibat dalam bidang filem iklan. Dalam kelompok ini juga terdapat mereka yang datang dari latar belakang pentas teater dan mereka yang berpengalaman bekerja dengan stesen televisyen.

Othman Hafsham bermula dari pengarah filem iklan. Rahim Razali dan Yassin Salleh berbekal pengalaman sebagai pelakon dan pengarah teater yang telah terbukti kemampuan mereka. Shahrom Mohd Dom berlatar belakangkan kerjaya sebagai penerbit tv di RTM. Tidak boleh dikesampingkan sumbangan pengarah filem Patrick Yeoh yang merupakan wartawan akhbar Inggeris dan pengkritik filem sebelum mengarah filem Kami (1982) lakonan Allahyarham Sudirman. Filem Kami adalah filem pertama dan terakhir Patrick Yeoh sebagai pengarah dan Allahyarham Sudirman sebagai pelakon.
          
Kami, generasi pembikin filem baru ketika itu terpaksa lalui pembaharuan sememangnya menuntut ketabahan dan kecekalan tahap tinggi. Bukan mudah untuk mencari dan meyakinkan produser yang mahu bersama menghasilkan filem yang tidak membodohkan penonton. Dalam masa sama pulangan modal dan keuntungan perlu diambil perkiraan. Situasi memenatkan dan boleh mematahkan semangat mereka yang tidak kuat dan lemah serta mudah mengalah.

Bila Rahim Razali memulakan langkah mengarah filem Abang pada 1981 maka gelanggang baharu perfileman Melayu mula terbuka. Pengarah dan pembikin filem seperti Rahim Razali, Othman Hafsham, Shahrom Mohd Dom, Yassin Salleh dan Patrick Yeoh mula masuk bertarung dalam gelanggang ini. Aku pun tidak mahu ketinggalan. Aku memulakan langkah sulungku di tepian gelanggang perfileman tanah air kerana ketika itu aku merupakan orang baharu sedang mencari tapak.

Idea tentang dalam gelanggang dan tepian gelanggang ini menjentik minda aku selepas hampir 30 tahun setelah semuanya berlaku. Inilah cara paling mudah untuk aku menceritakan laluan yang aku lalui sebelum berjaya menduduki kerusi pengarah selepas hampir lima tahun menjadi pembantu di tepian gelanggang kepada ‘abang-abang’ pengarah yang bertarung dalam gelanggang.  

Minggu depan aku akan mula menulis pengalaman aku menjadi penolong pengarah kepada pengarah-pengarah yang membawa gelombang baru dalam industri perfileman Malaysia. InsyaAllah.