HUJUNG minggu lalu aku dan penulis novel Tombiruo, Ramlee Awang Murshid telah dijemput menghadiri satu rakaman program untuk Sinar TV sempena Karnival Karangkraf. Rakaman temu bual itu boleh ditonton secara online di Sinar TV, YouTube dan juga di Facebook – Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC).

Siapakah pelakon bakal memerankan watak Ejim a.k.a Tombiruo dan watak Amiruddin? Itulah soalan cepumas yang diajukan kepada kami. Sememangnya keinginan peminat dan pembaca setia novel Tombiruo ingin mengetahui siapakah pelakon bakal memerankan watak Ejim aka Tombiruo, si penunggu rimba mula membara sejak sidang media pra-pelancaran filem Tombiruo sebulan lalu.
 
Aku pernah menulis dalam kolum ini tentang keterujaan peminat dan pembaca setia siri novel Tombiruo untuk mengetahui pelakon tanah air yang mana bakal dipilih untuk watak tersebut. Ramai pelakon-pelakon lelaki tanah air diuar-uarkan oleh peminat-peminat novel Tombiruo melalui komen-komen mereka di Facebook RAMFC.

Di antara nama paling popular menjadi sebutan, cadangan dan spekulasi peminat-peminat setia Tombiruo ialah pelakon Bront Palarae, Zul Ariffin dan Beto Kusyairy. Sehinggakan M Nasir, member lama aku yang
datang untuk memberi sokongan moral kepada aku di sidang media pra pelancaran tempoh hari turut terheret dalam polemik di antara peminat novel Tombiruo.
 
Geli juga hati kami membaca komen-komen mereka tentang M Nasir jika dipilih menjadi Ejim. Biasalah gelagat peminat. Kami faham sangat. Berbalik kepada sesi rakaman Sinar TV itu, Ramlee dan aku telah berusaha menerangkan keadaan yang sedang berlaku dalam proses pemilihan pemegang watak utama filem ini iaitu Ejim.

Di peringkat sekarang produser filem ini terdiri dari Layar Sunan (syarikat milik Ramlee Awang Murshid dan rakan kongsinya, Abid Kamal), Ideate Media dan Karangkraf belum lagi memutuskan siapa heronya. roses pemilihan pemeran watak Ejim ini akan melalui proses casting atau sesi uji bakat yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Bagi memuaskan hati semua pihak terutamanya peminat, pelakon-pelakon dan pihak produser-produser yang terlibat, Ramlee merasakan mengadakan sesi uji bakat adalah langkah paling adil dan neutral. Dalam masa sama, kami sudah menyenarai pendek calon-calon pelakon bakal diuji bakat untuk watak-watak penting dalam filem Tombiruo ini.

Selain watak Ejim dan Amiruddin, kembar Ejim, kami juga sedang menimbangkan beberapa nama untuk watak wartawan bernama Wan Suraya. Menurut Ramlee, sesi uji bakat akan dilakukan sedikit masa lagi ini akan juga dibuka kepada semua yang berminat.

Ia tidak terhad kepada pelakon-pelakon yang sudah ada nama atau popular sahaja. Uniknya watak Ejim ciptaan Ramlee ini merupakan satu watak yang berbeza dengan watak-watak lain. Wajah Ejim ini sentiasa
berselindung di sebalik topeng. Tidak salah rasanya jika kami berpandangan watak Ejim boleh diperankan oleh pelakon baharu.

Syarat utamanya, pelakon yang dipilih nanti perlu memiliki tubuh badan yang sasa, berkulit sawo matang dan mampu bersilat. Peluang untuk memerankan watak Ejim ini terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk
mencuba. Memiliki pengetahuan asas lakonan akan lebih membantu bakat-bakat baharu untuk kami pertimbangkan bagi watak penunggu rimba ini.

Menurut Ramlee lagi, sesiapa yang mampu membawa watak ini dengan berkesan tanpa mengira siapa mereka maka dialah Tombiruo yang kami cari. Kepada sesiapa yang berminat tunggu pengumuman untuk sesi uji bakat diadakan nanti. Peluang terbuka luas untuk sesiapa yang berminat untuk mencuba watak Ejim.

Sekarang aku dan pasukan produksi sedang menyusun atur gerak kerja di peringkat pra produksi. Proses awal ini melibatkan kerja-kerja penyusunan jadual penggambaran, pemilihan tenaga-tenaga penting teknikal
seperti pengarah fotografi , pengarah seni, penyunting, pengarah muzik dan mengenal pasti masalah-masalah logistik.

Kami juga dalam proses memantapkan penulisan lakon layar Tombiruo. Dalam rakaman temu bual itu, aku dan Ramlee ditanya tentang proses pengadaptasian novel thriller Tombiruo ini ke layar lebar. Adaptasi novel Tombiruo ke filem juga menimbulkan berbagai-bagai reaksi dan komen-komen dari peminat dan pembaca novel-novel karya Ramlee.

Aku juga terbaca komen yang kontra dengan kebanyakan komen-komen daripada peminat dan pembaca tegar novel Tombiruo. Pemberi komen tersebut mencadangkan supaya tenaga pengadaptasian ini tidak
mengikut bulat-bulat atau seratus peratus jalan cerita novel asal Tombiruo.

Beri ruang untuk sang pengadaptasi berkreatif. Satu pandangan yang aku anggap mampu menyuburkan dan meningkatkan kefahaman penonton filem tempatan terhadap konsep adaptasi. Satu perkembangan positif yang
perlu diteruskan.

Sejujurnya aku suka kepada kepelbagaian pendapat daripada peminat dan pembaca yang wujud disebabkan usaha Ramlee melalui syarikatnya Layar Sunan untuk memindahkan novel itu ke layar lebar. Reaksi mereka itu
membolehkan aku merumuskan bahawa kebanyakan peminat, pembaca dan penonton kita masih belum memahami dan menerima konsep adaptasi sepenuhnya.

Agak melegakan juga bila ada pembaca dan penonton yang memahami konsep adaptasi novel sehingga boleh melontarkan pandangan kontra yang segar, menarik dan sihat. Ramlee memaklumkan yang beliau
sangat cerewet dalam pembikinan filem adaptasi ini.

Sikap cerewet Ramlee itu penting dan perlu diberi perhatian oleh penulis novel, pelajar-pelajar penulisan skrip filem dan tidak terkecuali pengarah-pengarah filem. Ramlee membuktikan apa yang beliau yakini iaitu penglibatan penulis novel dalam proses pengadaptasian bagi memastikan roh dan semangat novel dipertahankan.

Dalam masa sama tidak menjejaskan naratif filem yang bakal dihasilkan. Sememangnya, selama menghasilkan lakon layar Tombiruo ini, sejak menulis draf pertama skrip ini pada 2010, Ramlee terlibat sepenuhnya dan
sentiasa memastikan inti pati, semangat dan roh Tombiruo tidak dinodai dan dikesampingkan.

Satu komitmen yang tulen dan penuh tanggungjawab jitu daripada seorang novelis terhadap karyanya. Aku ingin memetik kata-kata Ramlee dalam rakaman tersebut tentang proses adaptasi novel Tombiruonya.

“Bukan bermakna saya tidak dapat terima idea orang lain malah, saya benarkan penambahan untuk mencantikkan jalan cerita. Ubahlah dinding ataupun tingkap, namun jangan sesekali ubah tiangnya,” katanya.

Pendapat dan pandangan Ramlee ini selari dengan apa pernah aku tulis sebelum ini tentang definisi adaptasi yang dipegang oleh pembikin-pembikin filem sejagat ialah ‘adaptasi sesebuah fi lem yang baik bukan
setakat mengekalkan semangat dan tema novel tetapi mengolahnya menjadi karya sinematik yang unik.’

Kesimpulannya, pengarah dan penonton filem adaptasi perlu menerima hakikat perubahan pasti akan berlaku namun ‘tiang seri’ iaitu semangat dan tema novel perlu dikenal pasti dan dipertahankan.