AHLI-AHLI teori filem berdebat bahawa pengarah tidak harus sepenuhnya terikat dengan sumber cerita dalam mengadaptasikan novel ke filem. Pertama, sesebuah novel adalah sebuah novel, sebuah filem adalah sebuah filem.

Kedua, kerja seni ini mesti dilihat sebagai entiti berasingan yang berdiri sendiri. Kedua-dua penghasilan seni ini mesti wujud dengan ciri-cirinya yang tersendiri. Ada tertib serta susun atur serta cara berasingan untuk melahirkan dan menghasilkan karya seninya.

Kesukaran memahami ciri-ciri inilah menimbulkan suasana salah faham dan kekeliruan tentang konsep ‘kesetiaan’ kepada karya asal dalam membuat adaptasi sesebuah novel ke filem. Keadaan ini sering melibatkan penulis novel dan pembikin filem tempatan. Kekeliruan ini juga turut berjangkit kepada penonton.

Menurut Louis Giannetti, penulis buku Understanding Movies  menghuraikan tiga peringkat perbezaan terhadap konsep ‘kesetiaan’ dalam penggunaan bahan-bahan daripada karya asal iaitu — penggunaan secara longgar, secara setia tanpa perubahan dan secara literal atau harfiah.

Dalam konteks adaptasi longgar, penulis lakon layar dan pengarah hanya menggunakan situasi asal, idea cerita dan watak-watak untuk mencipta sebuah filem yang mempunyai sedikit persamaan dengan teks asal.

Giannetti memberi contoh filem Ran(1985) arahan Akira Kurosawa yang berdasarkan secara longgar daripada skrip pentas kisah King Lear karya Shakespeare. Kurosawa hanya menggunakan cerita asal tersebut sebagai asas atau tulang belakang cerita untuk mencipta versi sendiri dalam konteks kebudayaan yang sama sekali berbeza.

Kurosawa mengadaptasikan tragedi King Lear berlatar belakangkan budaya Inggeris ke filem Ran dengan diberi semangat atau roh budaya Jepun daripada aspek naratif, lokasi, busana dan reka cipta produksi.
 
Bagi adaptasi yang setia kepada karya asal tanpa perubahan semampu mungkin pula bila diadaptasi ke filem akan mengekalkan watak-watak dan jalan cerita asal. Sebagai contoh, filem-filem Tom Jones (1963), Emma (1996), Henry V (1989), dan Much Ado About Nothing (1993).

Kesetiaan adaptasi secara literal selalunya akan berdepan dengan masalah menterjemahkan ke visual perlambangan atau metafora dari segi bahasa dan bahan daripada karya asal. Contohnya, novel karya F Scott Fitzgerald The Great Gatsby (1925) telah diadaptasikan ke filem sebanyak empat kali sejak 1926 dengan versi pertama dalam bentuk filem bisu. Versi terkini The Great Gatsby arahan Baz Luhrmann pada 2013 dengan barisan pelakon Leornado DiCaprio,Tobey Magiure dan Carey Mulligan.

Sehingga ke tahap mana kesetiaan versi filem terhadap karya asal sesebuah novel? Dalam buku Reading the Movies tulisan William Costanzo, beliau memetik kata-kata George Bluestone, merupakan salah seorang pertama mengkaji filem adaptasi daripada karya-karya sastera.

Bluestone percaya seorang pembikin atau pengarah filem merupakan seorang artis yang mesti punya kebebasan berkarya. Pengarah filem bukan merupakan seorang penterjemah bagi karya-karya seseorang pengarang, tetapi lebih merupakan seorang penulis baharu dalam kedudukannya yang tersendiri.

Pemikir seperti Bluestone bersetuju bahawa terjemahan secara literal atau harfiah sering dianggap sebagai 'pengkhianatan' kepada karya asal. Tugas penulis lakon layar dan pengarah filem ialah untuk membentuk semula semangat cerita dari sesebuah novel dengan wawasan dan visinya sendiri.

Ungkapan “Filem ini tidak seperti cerita dalam buku” sering kedengaran dari pembaca sesebuah novel selepas menonton filem adaptasi dari novel yang pernah dibacanya. Pemikiran seperti ini akan berkait dengan perspektif dan fahaman kononnya adaptasi hanya merosakkan novel asal.

Apa yang mereka imaginasi tidak sama dengan apa mereka tonton. Tetapi inilah kenyataan hakiki perlu diterima dan difahami bila kita membincangkan proses mengadaptasikan sebuah novel ke filem.

Dalam satu perbincangan tentang adaptasi novel karya Shahnon Ahmad, Ranjau Sepanjang Jalan ke filem arahan Jamil Sulong (Allahyarham) dengan judul yang sama, A Wahab Hamzah, pengkritik filem menyifatkan setiap penonton atau pembaca mempunyai tafsiran dan kayu ukur tersendiri terhadap sesebuah karya yang diadaptasi.

Menurut A Wahab, penulis skrip dan lakon layar bertanggungjawab kepada kegagalan atau kejayaan filem yang berasaskan adaptasi. Beliau merumuskan adaptasi adalah proses kreatif baharu bukan sekadar menyalin semula naskhah. Penulis lakon layar perlu tahu apakah niat asal penulis novel itu semasa mengarang naskhah berkenaan. Kata kuncinya ialah ‘niat asal’.

Dengan mengetahui niat asal penulis, sumber bahan asal yang ingin diadaptasikan itu memudahkan seseorang penulis lakon layar menterjemahkan semangat karya tersebut.

Terdapat tiga sebab utama penulis lakon layar mungkin membuat perubahan besar dalam karya sastera dan novel untuk diadaptasikan ke filem.

Sebab pertama adalah perubahan yang dituntut oleh medium baharu iaitu filem. Sebagai contoh, filem dan karya sastera masing-masing mempunyai cara, struktur dan ciri-ciri tersendiri untuk menghasilkan naratif mengikut medium masing-masing.

Dalam sesebuah novel, kemunculan bab baru digunakan untuk membawa pembaca ke masa dan tempat yang berbeza dalam naratif atau penceritaan.

Dalam filem, naratif yang sama dilahirkan menggunakan teknik imbas kembali atau flashback, teknik suntingan crosscut atau bersilang dan teknik dissolve.

Dalam filem semua ini boleh berlaku dalam hanya satu sekuen. Tuntutan-tuntutan teknikal ini mencorakkan perubahan dan perbezaan dari segi penceritaan di antara novel dan filem.

Sering juga berlaku pembikin-pembikin filem melakukan perubahan kepada novel untuk mengangkat dan menonjolkan tema baharu yang tidak terdapat dalam novel asal.

Perubahan perlu juga dilakukan oleh penulis lakon layar dan pengarah untuk memberi penekanan kepada sifat-sifat baharu yang diciptakan untuk watak-watak dalam filem yang tidak ada dalam novel asal.

Tema serta watak-watak baharu ini akan dibentuk untuk menambah nilai kepada filem yang diadaptasikan itu.

Ada juga perubahan dilakukan atas dorongan cinematic dan ilham kreatif baharu untuk membuat cerita asal lebih menarik dan percubaan untuk mengangkat karya novel itu untuk menjadi lebih kontemporari dan seiring dengan perubahan semasa.

Perubahan seperti ini dilakukan untuk memenuhi cita rasa penonton supaya sesuai dengan masa dan budaya menonton terkini.

Proses perubahan ini tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Pengadaptasi dan penulis lakon layar memikul tanggung jawab berat.

Mereka mesti memastikan setiap karya bakal diadaptasikan perlu kajian yang teliti dan perbincangan dengan tuan punya karya asal mesti dilakukan terlebih dahulu.

Usaha awal ini penting bagi memudahkan pengarah membuat keputusan sama ada untuk mengekal, mengubah atau membuang sebahagian karya asal mengikut kesesuaian terutamanya dari segi durasi sesebuah filem itu.

Sememangnya adaptasi adalah satu proses yang sangat kompleks tetapi ianya merupakan perkara yang mencabar pengarah dalam menjayakan pembikinan filem adaptasi.