AKU menyarankan supaya kita semua menambah pengetahuan dan informasi tentang dunia perfileman, sama ada tempatan mahupun sinema dunia lewat tulisan aku minggu lalu.

Saranan ini aku tujukan kepada diri aku, penonton, peminat, penyokong, penggiat dan pembikin filem kita tanpa mengira generasi baharu atau lama.

Jangan salahkan aku jika beranggapan masih ramai di antara kita kurang peka tentang perkembangan  perfileman.

Bayangkan kami di Layar Sunan belum mengumumkan siapa pelakon bakal memerankan watak Ejim aka Tombiruo tetapi dengan kehadiran M Nasir di sidang media pra pelancaran filem Tombiruo telah menimbulkan polemik, terutamanya dalam kalangan peminat Ramlee Awang Murshid.

Kehadiran beliau hanya untuk memberi sokongan kepada aku seperti dinyatakannya bila ditanya oleh wartawan.  

Itu baharu bab pelakon. Aku belum lagi sentuh olahan cerita bakal diadaptasikan daripada novel Tombiruo dalam kolum ini. Aku bertanya kepada diri sendiri kenapa terjadi polemik ini dan aku masih mencari jawapannya. Inilah tanggapan aku peroleh selepas hampir 30 tahun tidak berpeluang berkarya secara aktif.

Maaflah jika ada pihak yang terasa. Aku memilih untuk bersikap jujur dan berterus-terang. Ia lebih baik daripada berpura-pura hanya untuk menjaga hati sesetengah pihak sehingga bakal memandulkan proses membentuk sikap terbuka untuk aku terus berkarya.   

Aku menyentuh sikap ketidakpekaan ini bukan dalam bidang perfileman sahaja tetapi meliputi apa juga bidang yang kita ceburi dan minati. Kita perlu menambahkan nutrisi minda supaya ada peningkatan diri dan daya fikir.

Dalam konteks budaya menonton dan apresiasi filem, nutrisi minda diperoleh dalam bentuk informasi dan ilmu pengetahuan tentang filem. Aku mahukan supaya perkembangan budaya menonton dan penghargaan terhadap filem kita akan terus meningkat.

Kehadiran filem-filem Terbaik Dari Langit, Lelaki Harapan Dunia dan Ophilia di penghujung 2014 menjanjikan 2015 yang lebih optimis. InsyaALLAH.

Maaf, aku perlu ulang sekali lagi kata-kata U-wei Hj Saari -  aku perlukan penonton cerdik untuk buat filem cerdik!
Kenyataan beliau sangat relevan bagi sesiapa sahaja yang terlibat dalam industri filem. Ia relevan untuk dimanfaatkan bagi menjamin kesinambungan industri filem Melayu khasnya dan filem Malaysia amnya.  

Sama ada suka atau tidak aku terpanggil untuk setuju dengan pandangan beliau. Bukan sebab aku kenal U-wei dan dia sahabat aku tetapi lebih kepada kejujuran kenyataan beliau tentang sikap yang dituntut daripada setiap pembikin filem yang tulen dan peka.

Sikap ini perlu ada dan difahami oleh setiap filmmaker sebelum terjun ke bidang pembikinan filem.

Tanpa sikap dan kefahaman ini seseorang filmmaker akan berpotensi untuk terjerumus dan terperangkap dengan permainan sistem kapitalis yang tujuan utama untuk mengaut sebanyak mungkin untung di atas pelaburan mereka. Sistem kapitalis tidak perlukan penonton cerdik. Mereka cuma perlukan seramai mungkin penonton tanpa perkiraan cerdik atau kurang cerdik.

Berbalik kepada topik adaptasi, mari kita menyusur sejarah pengadaptasian novel ke filem dalam sinema tempatan khususnya filem-filem Melayu. Aku hanya memberi penumpuan kepada adaptasi novel ke filem sahaja dan tidak adaptasi novel ke siri drama televisyen yang hangat sekarang ini.

Cinta Gadis Rimba (Virgin of Borneo) (1958) arahan L Krishnan (Datuk) merupakan filem Melayu pertama diadaptasi dari novel Melayu karya Harun Aminurrashid. Filem ini dibintangi oleh S Roomai Noor (Allahyarham) merupakan salah satu filem Melayu terawal dihasilkan dalam warna.

Di antara novel-novel Melayu yang pernah diadaptasikan ke filem ketika era filem Melayu hitam putih adalah novel Rumah Itu Duniaku karya Hamzah Hussein dengan judul sama arahan pengarah M Amin pada 1964. Filem keluaran Cathay Keris Production ini membariskan di antaranya pelakon-pelakon Tony Kassim (Allahyarham), Latifah Omar (Allahyarhamah) dan S Roomai Noor (Allayarham).

Filem pertama arahan Jins Shamsuddin, Bukan Salah Ibu Mengandung (1969) adalah adaptasi dari novel dengan judul asalnya Memang Nasib Celaka Badan karya Harun Hassan. Filem ini terbitan Merdeka Film Production dan dibintangi oleh Jins Shamsuddin, Sarimah dan Ed Osmera (Allahyarham). Sebuah lagi novel karya Harun Hassan diadaptasikan ke filem dengan judul yang sama Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh (1971) arahan Omar Rojik. Dibintangi oleh Noor Azizah, Ismail Mahmud dan diterbitkan oleh Merdeka Film Production.

Bermula dari pertengahan 70-an, filem Melayu mula diproduksikan dalam warna. Di era ini usaha mengadaptasikan novel ke filem diaktifkan semula  pada 1982 selepas hampir 10 tahun ketiadaan usaha menghasilkan filem adaptasi dari novel.

Novel Langit Petang karya Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said telah diadaptasikan ke filem oleh Shahrom Mohd Dom dengan judul yang sama pada 1982. Watak-watak utama diperankan oleh Dharma Harun dan Azean Irdawaty (Allahyarhamah).

Ini diikuti dengan filem Ranjau Sepanjang Jalan (1983) arahan Jamil Sulong (Allahyarham) daripada novel karya seorang lagi Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dato Dr Shahnon Ahmad. Kisah tentang penderitaan satu keluarga pesawah berdepan dengan bencana alam dan musuh-musuh perosak hasil tanaman padi mereka. Watak utama Lahuma diperankan oleh Ahmad Mahmud (Allahyarham) dan watak isterinya, Jeha diperankan oleh Sarimah (Datuk).

Menariknya kedua novel tersebut merupakan novel sastera yang bukan dari kelompok novel-novel popular. Novel Ranjau Sepanjang Jalan pernah menjadi teks untuk mata pelajaran sastera Melayu untuk pelajar tingkatan enam.

Selepas tujuh tahun berlalu, Zulkifli M Osman mengarah filem Mira Edora (1990) adaptasi daripada novel popular karya Khadijah Hashim. Novel ini merupakan filem pertama yang diadaptasikan dari sebuah novel popular tempatan. Kisah tentang perebutan cinta antara anak dan sang ibu terhadap seorang lelaki ini dibintangi oleh pelakon remaja sedang meletup ketika itu Julia Rais. Dibantu oleh pelakon terkenal Noorkumalasari dan Kamal Mustapha.

Selepas berjaya dengan filem pertamanya, Perempuan, Isteri dan... (1993), U-wei Hj Saari mengadaptasikan novel popular Black Widow karya Raja Azmi ke filem dengan judul Black Widow – Wajah Ayu pada 1994. Tetapi sayang filem ini gagal mengulangi kejayaan filem pertamanya dari segi sambutan dan kutipan panggung.

Seterusnya, novel Juara (1976) karya S Othman Kelantan telah diadaptasikan ke filem oleh U-wei dengan judul Jogho (1997). Walaupun gagal dari segi kutipan namun melalui filem ini selepas filem Perempuan, Isteri dan...(1993) sekali lagi U-wei berjaya dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik di Festival Filem Malaysia 14.

Secara peribadi, Jogho adalah filem U-wei yang paling berkesan kepada aku. Aku nampak - Sam Peckinpah at work...! Untuk nutrisi minda, mendiang Sam Peckinpah adalah pengarah filem tersohor dikenali dengan filem-filem bersifat kejantanan dan rugged. Di antaranya, The Wild Bunch (1969), Bring Me The Head of Alfredo Garcia (1974) dan Pat Garett and Billy the Kid (1973).   

Untuk era 2000, sebuah lagi novel karya Khadijah Hashim berjudul Pelangi Pagi diadaptasikan ke filem dengan judul Bicara Hati (2004) arahan Rosnani Jamil. Filem ini merupakan kemunculan sulung Nur Fazura yang menjanjikan potensi menjadi heroin filem Melayu era milenium. Watak Noraini dalam filem ini membolehkan beliau memenangi anugerah Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia ke-17.

Kesimpulannya, di antara 1958 sehingga akhir 90-an terdapat hanya 9 filem adaptasi dihasil sebelum Ombak Rindu dan Lagenda Budak Setan mencetuskan kembali fenomena adaptasi novel ke filem.

Filem Tombiruo, Semangat Hutan akan menggenapkan menjadi 10. Insya-ALLAH.