SUDAH tiga hari kita berada di tahun baharu 2016. Aku rasa belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada pembaca Lantera. Moga kita lebih sukses dan berjaya mencapai impian yang mungkin gagal dipenuhi tahun lalu.

Selalunya, pada awal tahun kebanyakan kita akan berazam baharu atau membaharui azam yang gagal dicapai tahun sebelumnya. Aku tidak ada azam baharu mahupun azam lama belum dipenuhi.

Azam aku sejak dahulu hingga bila-bila cuma satu – hendak mencari peluang mengarah dan berkarya melalui filem. Tetapi azam itu gagal aku penuhi tahun lalu. Moga 2016 ini memberi aku kesempatan merealisasikan azam untuk mengarah filem tercapai. Insya-Allah.

Minggu ini aku ingin mengimbas kembali peristiwa-peristiwa aku kira penting berlaku dalam industri dan dunia perfileman tempatan sepanjang tahun lalu.

Tahun 2015 bermula lembab dan tidak memberangsangkan dari segi sambutan penonton terhadap filem-filem tempatan, khususnya filem Melayu. Sepanjang empat bulan pertama hanya tiga filem berjaya mencatat kutipan pecah panggung.

Filem Villa Nabila (RM2.8 juta) dan Suamiku Encik Perfect 10 (RM2.9 juta). Seterusnya, pada April, filem arahan Osman Ali, Pilot Kafe berjaya mengutip RM1.6 juta. Keadaan bertambah muram untuk lima bulan berikutnya sehingga kemunculan filem Polis Evo pada September 2015.

Kejutan paling gempak filem Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar mendapat sambutan hangat daripada penonton dan peminat filem Melayu.

Sambutan terhadap filem Melayu berjaya diwujudkan semula. Produser dan pengarah filem Melayu masih punya harapan untuk terus berkarya. Sebelum ini ramai menganggap filem Melayu hampir kehilangan penonton.

Filem bergenre aksi kepolisian ini berjaya menarik minat penonton kembali semula ke panggung. Filem Polis Evo membuktikan penonton filem Melayu tetap ada dan sedia menyokong filem tempatan.

Pembikin filem Melayu dan tempatan perlu memikirkan satu pakej persembahan dengan adunan dan olahan elemen-elemen yang digemari oleh kebanyakan penonton Melayu.

Lewat filem Polis Evo, Ghaz Abu Bakar berhasil mengadunkan dengan baik elemen aksi lasak, dramatik, lawak dan dibumbui dengan barisan pelakon popular untuk memenuhi cita rasa penonton sehingga filem ini berjaya memecahkan rekod filem pecah panggung paling teratas dan terkini.

Filem Polis Evo mencatatkan kutipan RM17.4 juta dan memecahkan rekod filem Cina tempatan The Journey yang sebelum ini mencatatkan kutipan pecah panggung RM17.3 juta sebagai filem terlaris Malaysia pada 2014.

Festival Filem Malaysia ke-27 yang berlangsung pada 5 September 2015 menimbulkan kontroversi khususnya dalam kalangan penggiat dan pembikin filem Melayu.

Kontroversi dan ketidakpuasan hati mereka tercetus bila filem Lelaki Harapan Dunia diangkat sebagai filem terbaik dan anugerah pengarah terbaik dirangkul oleh pengarahnya, Liew Seng Tat. Aku secara peribadi tidak mengikuti perkembangan dan program Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 ini secara khusus.

Isu ketidakpuasan hati dan protes terhadap keputusan FFM 27 timbul semula dan menarik perhatianku ketika bertemu seorang pelakon dan pengarah filem wanita yang berjaya menghasilkan kelainan melalui filem arahan pertamanya. Aku rasa tidak perlu aku sebutkan namanya di sini buat masa ini. Aku bertemu beliau dua minggu lalu atas urusan kerja.

Aku memang menghormati karya sulungnya dan paling aku kagumi komitmennya dalam bidang lakonan.

Baik untuk drama televisyen apatah lagi filem. Lewat sembang-sembang kami itu, beliau meluahkan apa terbuku di hatinya tentang kemenangan filem Lelaki Harapan Dunia di FFM 27.

Aku difahamkan ketidakpuasan ini dikongsi sama oleh ramai penggiat dan pelakon filem Melayu. Apa yang mereka protes?
Protes dan ketidakpuasan hati penggiat filem Melayu sudah bermula sejak tayangan umum filem berkenaan dimulakan pada penghujung 2014.

Isunya ialah kurang keprihatinan pengarahnya, Liew Seng Tat terhadap sensitiviti orang Melayu dan agama Islam terhadap ritual korban sempena menyambut Hari Raya Haji yang dipaparkan dalam filem tersebut.

Babak unta bakal dijadikan korban oleh orang kampung telah dilepaskan oleh watak dua kanak-kanak atas sebab perlakuan ritual korban itu dianggap menzalimi haiwan. Naratif ini menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan orang-orang filem berbangsa Melayu Islam.

Sedangkan ritual ini adalah tuntutan agama Islam yang bersifat qat’ie – arahan daripada ALLAH yang tidak boleh dipersoalkan. Sama seperti ibadah wajib lain yang mesti dilakukan tanpa banyak soal dan songeh.

Aku rasa jika pengarahnya, juga penulis lakon layar dan memenangi anugerah cerita asal terbaik untuk filem ini faham atau sekurang-kurangnya diberi kefahaman oleh tenaga kerja beragama Islam mungkin isu kontroversial ini tidak timbul.

Aku telah menonton filem ini dengan sikap terbuka dan pendekatan melihat karya ini daripada sudut film as film. Tetapi pengalaman 30 tahun aku pernah lalui segala intrik serta sepak terajang dan mainan politik dalam industri ini membuat aku tidak boleh bersikap melepas pandang rungutan dan ketidakpuasan yang disuarakan oleh penggiat-penggiat filem Melayu terhadap filem itu. Aku dapati kemarahan pelakon Khir Rahman lewat komennya di alam siber dan luahan kejengkelan si pelakon dan pengarah filem wanita yang aku kenali itu ada asasnya. Mereka kurang puas hati dan marah dengan pendekatan kurang teliti si pengarah terhadap pemaparan ritual Islamik dan agama Islam lewat filem tersebut.

Masih terngiang-ngiang lagi di telingaku dialog pelakon dan pengarah filem wanita kenalanku itu – "Kau buatlah filem tentang bangsa kau mengikut tafsiran kau tetapi jangan permainkan bangsa dan agama aku!"

Secara peribadi aku berpandangan komen pengarah Ahmad Idham tentang agenda tersembunyi melibatkan isu perkauman yang diselitkan tanpa disedari melalui naratif filem itu perlu juga difikirkan dengan minda terbuka. Aku tidak menuduh sang pengarah filem itu punya niat atau nawaitu yang negatif. Tetapi pengalaman aku dalam industri ini sebagai pembikin filem menemukan aku dengan sikap sesetengah pembikin filem baik tempatan mahupun luar yang bersikap buat dahulu kemudian jika terjadi isu kontroversial, ambil sikap apologetik dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Ditapis atau tidak oleh pihak berwajib merupakan persoalan kedua. Paling penting apa niat mahu ditonjolkan lewat filem itu apatah lagi yang berunsur negatif telah berjaya dirakamkan. Noktah. Khalas.

Jangka hayat setiap karya seni bernama filem adalah panjang tanpa tarikh pupus yang muktamad. Sesebuah filem jika dijaga serta disimpan dengan baik dan dinaik tarafkan dengan teknologi canggih digital terkini boleh memanjangkan hayatnya. Tidak keterlaluan jika aku katakan hayat sesebuah filem era sekarang mungkin berakhir bila hari dunia ini kiamat!

Kekusutan melibatkan sikap dan pendekatan pengarah filem yang boleh dipersoalkan ini berjaya dileraikan dengan kemunculan filem Tamil tempatan berjudul Jagat arahan Shanjhey Kumar Perumal. Aku telah menulis tentang filem Jagat minggu lalu. Shanjhey mengarah dengan jujur kerana isu yang diangkatnya lewat Jagat dekat dengan dirinya.

Beliau faham dan jujur dengan apa mahu diceritakan kepada penonton. Paling penting nawaitu seninya jelas keikhlasannya kepada diri dan bangsanya.

Aku teringat perbualan aku pada awal 90-an dengan Mansor Puteh, pengarah filem Seman. Ketika itu aku berdepan berbagai isu kontroversial dengan Finas.

Peluang untuk mengarah filem hampir tiada langsung. Mansor mencadangkan supaya aku mengarah filem Cina. Seingat aku, aku tidak memberi apa-apa respons. Hilang begitu sahaja kerana aku jujur dengan diri aku.

Kesempitan hidup ketika itu tidak mengubah pegangan dan perjuangan seniku. Aku tidak mahu menghasilkan sesuatu yang jauh daripada diri dan pemahamanku. Apatah lagi filem adalah satu bidang seni paling tinggi statusnya.

Selepas mendengar luahan marah pelakon, pengarah wanita yang aku kenali itu dan penggiat filem Melayu lain tentang filem Lelaki Harapan Dunia, aku teringat semula cadangan Mansor Puteh hampir 20 tahun lalu.

Aku rasa untuk berlaku adil kepada industri filem dan karyawan filem Malaysia, sudah sampai masanya pengarah filem Melayu juga mengarah filem Cina tempatan pula.

Paling penting tanpa mengira pengarah Melayu, Cina, India mahupun kaum Peribumi Sabah dan Sarawak, mereka mesti jujur dengan nawaitu seni masing-masing menghasilkan filem. Anggap ini sebagai ujian dan cabaran sejauh mana kejujuran dan keikhlasan kita berkarya melalui filem dalam negara majmuk ini.

Menurut para bijak pandai – kejujuran umpama seekor semut hitam di atas batu hitam, di dalam gua hitam pekat di malam gelap gelita. Tetapi kejujuran seorang pembikin filem pasti boleh dilihat lewat visual dihasilkannya. Walaupun frame atau bingkai itu cuma hitam dan gelap tanpa cahaya!

Aku harap 2016 akan melahirkan lebih ramai karyawan filem yang jujur tanpa mengira kaum dan bangsa menghasilkan filem cerdik dan bermaruah.