PEMBUNUHAN Kim Jong-nam di KLIA2 pada 13 Februari lalu telah menambah satu lagi insiden buruk yang melanda negara. Sebelum ini, kita telah berdepan dengan pelbagai tragedi-tragedi besar yang mendapat perhatian dunia.

Serangan di Lahad Datu pada 2013, kehilangan kapal terbang MH370 dan MH, kedua-duanya pada 2014, dan kini pembunuhan abang tiri Presiden Korea Utara Kim Jong-un membuka lembaran intrig Malaysia-Korea Utara di persada antarabangsa. Tiada sesiapa pun yang suka Malaysia menjadi perhatian dunia kerana insiden-insiden buruknya.

Namun, ia mencatat sejarah negara bahawa kita juga pernah berdepan dengan pelbagai malapetaka berskala besar yang negara lain hadapi. Kita biasa berdepan dengan banjir, gempa bumi, bangunan runtuh, tsunami dan ribut dan juga kemalangan yang mendapat liputan meluas.  

Mudah-mudahan, kita tidak berdepan dengan malapetaka yang lebih buruk daripada apa yang kita telah dan sedang alami. Untuk itu, kita perlu sama-sama berdoa agar terhindar daripada kesukaran ini.

Peristiwa pembunuhan Kim Jong-nam melibatkan dua buah negara. Setelah masing-masing menunjukkan ketegasan, nampaknya kemelut ini akan berpanjangan.

Ia bakal mengundang respons mahupun campur tangan negara lain. Apa-apa sahaja boleh terjadi sama ada menjadi jernih kembali mahupun sebaliknya.

Dalam pada itu, kita sebagai rakyat perlu memainkan peranan yang sewajarnya. Cara yang paling berkesan ialah menghormati tugas mereka yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk menangani masalah ini. Ini adalah soal jenayah yang bersangkut paut dengan hal-hal diplomatik di antara dua negara.

Mereka yang menjalankan tanggungjawab itu tidak perlulah diasak dengan pelbagai pandangan yang tidak membantu menyelesaikan masalah yang ada. Kita tidak boleh main-main dengan kekuatan media sosial. Satu sahaja perbuatan ikut suka hati atau seronok-seronok yang dilakukan, yang kemudiannya menjadi tular, boleh dihidu dalam waktu yang singkat.

Akhirnya ia menyukarkan kerja mereka yang bertanggungjawab. Tidak molek seandainya mana-mana individu atau kumpulan, atas nama kebebasan bersuara, kebebasan  menuntut keadilan, memandai-mandai menuntut itu dan ini kepada pihak Korea Utara. Niat kita mungkin baik, tetapi persepsi pihak yang menerimanya mungkin sebaliknya.

Tidak cantik seandainya ada mana-mana aktivis yang ingin angkat bakul menjadi hero lalu menggunakan mulut laser untuk menangguk populariti.

Mudah sangat mengeluarkan kritik ke atas pihak yang bertanggungjawab kononnya menyelesaikan kemelut ini menurut pandangan mereka. Pandangan negatif atau mencabar mereka ini tidak diperlukan sama sekali pada saat dan ketika ini.

Kita sebagai warga negara Malaysia, perlu faham dan sedar di mana waktu dan ketikanya yang wajar kita suarakan komen-komen sinis.

Pemimpin-pemimpin yang ada adalah pemimpin negara yang dipilih mengikut lunas demokrasi. Meskipun ada sisi-sisi mereka yang kita tidak senangi, kita perlu beri ruang dan peluang kepada mereka untuk menonjolkan sisi-sisi hebat mereka. Ini soal kedaulatan negara yang lebih utama daripada politik sempit.

Kita sendiri pun ada sisi baik dan sisi buruk. Sisi cantik dan sisi hodoh. Kita lahir dengan pakej yang tidak sempurna sebagai manusia. Bagaimana jika orang di sekeliling kita menolak kita secara total semata-mata kerana kita punyai dua-tiga perangai buruk?

Apa perasaan kita seandainya mereka di sekeliling kita melihat apa sahaja yang kita lakukan untuk kebaikan itu sebagai mengada-ada, palsu, menunjuk-nunjuk, riak, ujub dan apa-apa sahaja yang negatif. Mereka tidak nampak satu pun kebaikan kita semata-mata kerana satu kesalahan yang telah kita lakukan.

Berbalik pada kemelut yang sedang kita hadapi, cara yang paling bagus ialah mengikuti perkemba-ngan dengan tenang.

Kita boleh mengeluarkan pendapat yang berbeza, tetapi tidak perlulah pandangan itu diangkat seolah-olah ia adalah pendapat yang perlu didengar dan ditunaikan oleh pihak yang berwajib.

Kita tidak wajar menjadi nasi tambah dalam hal-hal yang serius sebegini. Ikut sahaja adab yang dibawa Rasulullah SAW: “Barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan Hari Akhir maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam.” (Al-Bukhari)