Walaupun selepas proses pemutihan, Umno dikatakan memiliki 3.2 juta ahli pada akhir bulan lalu dan daripada jumlah ini, sudah tentu terdapatnya beberapa ribu ahli dan juga pemimpin di semua peringkat yang memiliki kelayakan akademik cemerlang, berkaliber dan berpotensi.

Malah mereka mempunyai pengalaman bekerja secukupnya untuk diberikan tanggungjawab Kabinet, namun amalan umum menunjukkan seolah-olah parti mengalami kekurangan serius mencari calon sesuai.

Tunku Abdul Rahman memberikan Tun Razak sebuah portfolio lain selain Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan kemudian pada zamannya, Tun Razak memegang sebuah kementerian lain di samping menjadi PM.

Zaman Tun Hussein Onn, walaupun amalan dwi-portfolio berterusan bagi PM dan TPM, nampaknya beliau melakukan eksperimen baru dalam pelantikan Kabinet. Bukan sahaja memperkenalkan golongan muda yang tidak berpengalaman, tetapi berpendidikan tinggi, beliau tidak teragak-agak menggugurkan muka lama.

Menerusi falsafah ini, sebagai contoh Isa Samad (Tan Sri) menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada usia 30-an dan begitu juga Abdul Rahim Tamby Chik dilantik ke jawatan Ketua Menteri Melaka pada usia yang relatifnya cukup muda. Mereka yang ditunjukkan jalan keluar oleh Hussein antaranya tokoh veteran Umno, Ghafar Baba (Tun) dan beberapa yang lain.

Tidaklah begitu jelas sama ada percubaan baru ini membawa sebarang impak positif kepada pentadbiran negara. Namun apa yang pasti Hussein berjaya memecahkan tembok amalan lama yang menyaksikan seseorang tokoh bergayut kepada jawatan kerajaan sehingga hijau tiang pejabat kementerian.

Zaman Dr Mahathir menyaksikan kesinambungan. Dr Mahathir tidak teragak-agak tidak melantik orang lama atau menggugurkan mereka dan menggantikannya dengan muka baru yang langsung tidak dikenali umum. Tidak ramai yang tidak ingat bagaimana Muhammad Haji Muhd Taib (Tan Sri) atau Mohd Khir Toyo (Datuk Seri) dilantik menjadi Menteri Besar Selangor.

Begitu juga perihal Anwar Ibrahim (Datuk Seri) ibarat bidan terjun menyertai Umno kemudian “diupah” jawatan Timbalan Menteri. Tentu ada yang belum lupa bagaimana Dr Mahathir mengurangkan keutamaan Datuk Seri Abu Zahar Isnin dari menjadi Ketua Menteri Melaka kepada hanya seorang Setiausaha Parlimen.

Paling menonjol dalam peninggalan warisan pembentukan Kabinet ini yang dilakukan Dr Mahathir ialah pelantikan sebagai Menteri Kewangan, selain jawatan PM yang disandangnya ketika itu.

Langkah bersifat peralihan ini, iaitu sementara menunggu adanya calon yang sesuai untuk dilantik rupa-rupanya dijadikan tradisi, bermula apabila Pak Lah turut menamakan dirinya untuk memegang jawatan berkenaan. Tradisi ini disahkan oleh Najib apabila beliau juga turut menjejaki Pak Lah dalam melantik dirinya selaku Menteri Kewangan.

Sejak 1993 pertumbuhan ekonomi negara menempuh zaman paling lembab. Unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun fiskal 2012 sebagaimana Laporan Bank Negara terbaru ialah di antara 4 hingga 5 peratus sahaja. Ramai pemerhati ekonomi meramalkan Malaysia boleh dianggap bernasib baik sekiranya berjaya mencatatkan pertumbuhan melebihi 4 peratus untuk tahun semasa.

Tidak sesiapa yang dapat atau berani memperkatakan sama ada prestasi ekonomi Malaysia di bawah purata ini adalah akibat pelbagai krisis ekonomi global atau kurangnya fokus Menteri Kewangan terhadap urusan kewangan dan ekonomi negara.

Maklumlah bagi melangsaikan tugas selaku PM dan juga Presiden parti pun tidak mencukupi inikan pula memberikan tumpuan ke atas tugas Menteri Kewangan yang merupakan satu key-post.

Saya masih ingat sindiran seorang rakan dari Singapura (merupakan negara maju dan terkaya di dunia) di mana PMnya turut menjadi Menteri Kewangan. Itu pun hanya sembilan hari sahaja (15 - 23 Oktober 1983) apabila Lee Kuan Yew menggantikan tempat Hon Sui Sen yang bersara secara mendadak.

Moral ceritanya ialah, tokoh sehandal Lee Kuan Yew sendiri pun tidak berani memegang jawatan tersebut.

Tapi nampaknya Najib mara selangkah lagi apabila memegang tiga portfolio dalam satu masa sebaik jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjadi kosong berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Shahrizat Jalil. Nampaknya amalan pemegangan jawatan berganda ini sudah menular ke peringkat jawatan dalam kerajaan pula.

Persoalannya apakah sudah tidak ada lagi calon layak untuk mengisi segala kekosongan sehinggakan Perdana Menteri harus menjadi pak sanggup?

Mungkin juga ini semua sebahagian daripada transformasi yang ingin dilakukan. Tidak mustahil, inilah perkara paling unik tentang Umno berlaku pada masa ini.